post-image

KETUA PENGARAH AGENSI NUKLEAR MALAYSIA KONGSI PERKEMBANGAN TEKNOLOGI NIKLEAR DALAM TEMU BUAL KHAS BERSAMA BERNAMA

BANGI, 27 Ogos 2026 – YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini menerima kunjungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi sesi temu bual khas yang membincangkan perkembangan teknologi nuklear serta peranannya dalam menyokong pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sesi temu bual berkenaan turut menyentuh pelbagai aplikasi teknologi nuklear untuk tujuan aman termasuk dalam bidang kesihatan, pertanian, industri, alam sekitar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D). Menerusi sesi tersebut, YBrs. Dr. Ketua Pengarah turut berkongsi pandangan dan penjelasan berkaitan usaha Nuklear Malaysia dalam memperkukuh pembangunan serta manfaat teknologi nuklear di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan teknologi berkenaan.

Pada kesempatan yang sama, pihak media BERNAMA turut dibawa melawat ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan reaktor penyelidikan negara serta mendapatkan penerangan mengenai peranannya dalam menyokong aktiviti penyelidikan, pembangunan teknologi, latihan dan aplikasi nuklear.

Lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada pihak media mengenai aspek keselamatan, sekuriti dan pengoperasian fasiliti nuklear, sekali gus membantu memastikan maklumat berkaitan teknologi nuklear dapat disampaikan secara tepat kepada masyarakat awam.

Penganjuran sesi temu bual khas dan lawatan ini mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik dengan media sebagai rakan komunikasi untuk memperluas penyampaian maklumat dan meningkatkan kesedaran awam terhadap teknologi nuklear.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) serta pendekatan Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) dalam memperkukuh komunikasi awam dan mengetengahkan manfaat teknologi nuklear kepada rakyat serta pembangunan negara.