• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

img

PUTRAJAYA, 25 Jun 2025 - Teknologi nuklear telah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia. Peranan teknologi nuklear dijangka akan semakin meningkat pada masa hadapan. Ini selaras dengan kemajuan pesat industri yang semakin berkembang serta kelebihan teknologi nuklear sebagai penyelesaian secara kos efektif yang merentasi pelbagai sektor.

Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi peluang kerjasama dalam teknologi nuklear di sektor pertanian negara, YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia.

Sesi kunjungan hormat yang berlangsung Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Jabatan Pertanian Putrajaya ini telah membincangkan berkaitan penerokaan aplikasi teknologi eBeam/X-ray yang berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuk industri makanan, pertanian serta perindustrian.

Antara perkara yang turut dibincangkan semasa sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan keperluan pelaksanaan bengkel kajian analisis bagi kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi memperkenalkan teknologi tersebut dengan lebih meluas di Malaysia.

Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai daripada Nuklear Malaysia.

Diharapkan menerusi sesi kunjungan hormat ini ianya dapat membuka ruang bagi potensi kerjasama yang lebih kukuh selaras dengan hasrat serta keperluan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam memfokuskan kepada peranan teknologi nuklear ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing.

 

img

KAJANG, 25 Jun 2025- Karnival STEM di SMK Sungai Ramal berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 300 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Program ini menjadi lebih menarik dengan penyertaan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerusi inisiatif outreach "NEO@School" yang bertujuan memperkenalkan teknologi nuklear secara aman kepada generasi muda.

Antara pengisian utama daripada Unit Jangkau Luar, Bahagian Pengurusan Maklumat, adalah Menjejak Zarah Radioaktif dengan Kebuk Awan. Melalui aktiviti ini pelajar berpeluang melihat sendiri jejak zarah alfa dan beta melalui kebuk awan elektrik, memberikan gambaran visual yang unik terhadap konsep sinaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Selain itu, pelajar juga diperkenalkan dengan alat pengesan sinaran iaitu Meter Tinjau (Survey Meter). Melalui aktiviti "Mr Gamma: Ukur Sinaran" ini pelajar mencuba sendiri bagaimana sinaran dikesan dalam persekitaran harian. Nuklear Malaysia turut menyediakan permainan interaktif STEM yang mencabar minda dan menggalakkan pembelajaran secara santai.

Manakala, Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) membawa Model Gamma Green House (GGH) sebagai ilustrasi kaedah penyinaran dos rendah secara berterusan yang digunakan untuk mengaruh mutasi secara kronik dalam tanaman bagi tujuan pembiakbakaan varieti baharu. Pelajar turut diberi pendedahan kepada teknologi kultur tisu, yang berperanan mempercepatkan proses biak baka mutasi serta menjimatkan masa dan sumber dalam bidang pertanian.

Aplikasi teknologi nuklear dalam penyinaran makanan juga diterangkan dengan menggunakan dua petri dish kacang kuda – satu disinarkan, satu tidak disinarkan. Hasilnya, pelajar dapat melihat sendiri kesan penyinaran terhadap ketahanan makanan, kacang kuda yang disinarkan mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Kehadiran pelajar SMK Sg. Ramal yang aktif bertanya dan mencuba aktiviti telah membuktikan keberkesanan pendekatan hands-on dalam menyemai minat terhadap sains dan teknologi nuklear. Program NEO@School terus komited membawa ilmu ke sekolah-sekolah bagi membina generasi celik sains yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Program ini turut melibatkan petugas dari pelbagai bahagian dalam Nuklear Malaysia iaitu En. Mustapha Akil daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Pn. Norzehan Ngadiron dan Pn. Khalilah Dukol daripada Bahagian Pengurusan Maklumat, serta Pn. Leyreina Merry Anak Paul Vencent daripada Bahagian Teknologi Industri.

 

img

BANGI, 19 Jun 2025- Pusat Teknologi Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerima kunjungan pasukan pakar antarabangsa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi melaksanakan Integrated Nuclear Safety Assessment for Research Reactors (INSARR) ke atas Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP).

Misi ini bertujuan untuk menilai tahap keselamatan dan amalan pengoperasian RTP yang telah beroperasi lebih 40 tahun serta memberi cadangan penambahbaikan mengikut piawaian antarabangsa terkini. Sepanjang misi, pasukan IAEA telah menyemak dokumentasi teknikal, menjalankan pemerhatian tapak dan mengadakan perbincangan bersama pegawai teknikal RTP.

RTP merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan di Malaysia dan berfungsi penting dalam penghasilan radioisotop, latihan akademik serta penyelidikan pelbagai disiplin sejak tahun 1982. Melalui sokongan teknikal dan kerjasama berterusan dengan IAEA, RTP terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan sains dan teknologi nuklear negara.

Misi INSARR ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan nuklear, ketelusan operasi dan penambahbaikan secara berterusan.

img

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai pameran sempena Seminar Potensi Air Bawah Tanah di Parlimen Malaysia. Seminar ini menghimpunkan pakar-pakar dari pelbagai agensi bagi berkongsi dan membincangkan pendekatan strategik dalam pengurusan sumber air negara.

Dalam pameran ini, Nuklear Malaysia telah mempamerkan dan memfokuskan kepada aplikasi teknologi nuklear dalam pengurusan sumber air. Antara yang diketengahkan ialah kaedah pengukuran radon dalam air, iaitu gas radioaktif semula jadi yang digunakan sebagai penyurih (tracer) bagi mengesan interaksi antara air bawah tanah dan air permukaan.

YB Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Rakyat mengunjungi reruai pameran Nuklear Malaysia

 

Sesi perkongsian matlumat dan informasi

Kaedah ini membolehkan interaksi hidraulik dikenal pasti secara lebih tepat dan saintifik. Turut dipamerkan ialah teknik pengukuran keradioaktifan dalam air mineral sebagai langkah pemantauan keselamatan dan kualiti air.

Diharap penglibatan aktif Nuklear Malaysia dalam program seumpama ini dapat mempertingkatkan penerimaan penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian terutamanya dalam memyokong pengurusan sumber air secara mampan melalui pendekatan sains dan teknologi.

 

img

BANGI, 18 Jun 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang diketuai oleh YBrs. Ir. Fam Yew Hin, Ahli Lembaga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Korporat BEM, hari ini.

Kunjungan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan pemahaman mengenai aplikasi teknologi dan penyelidikan nuklear dalam pelbagai sektor kejuruteraan dan industri.

Ketibaan delegasi BEM disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia. Sesi dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai peranan, kepakaran dan pencapaian diikuti dengan sesi perbincangan dan interaksi bersama pengurusan tertinggi agensi.

Perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam bidang pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi, pensijilan profesional dan pengukuhan kecekapan kejuruteraan dalam aplikasi teknologi nuklear secara selamat dan beretika.

Diharapkan kunjungan ini dapat membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mantap pada masa hadapan sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan profesional kejuruteraan dan aplikasi teknologi nuklear di Malaysia.

 

img

Sungkai, 13 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit, Sungkai, Perak melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), sekali gus membuka ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan serta pembangunan komuniti setempat.

Bagi memulakan kerjasama ini, satu mesyuarat pelarasan telah diadakan di Bilik Gerakan sekolah dengan dihadiri oleh delegasi Nuklear Malaysia yang diketuai oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan, Dr. Shukri bin Mohd, bersama enam pegawai dari pelbagai bahagian.

Mereka telah disambut mesra oleh Pengetua SMK Sungai Kruit, Encik Amran Marhamdan. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Puan Nor Azizah binti Mohamad dan Puan Noor Aida Ahmad, serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Encik Mohd Halmi bin Miswan dan Encik Mohd Azizul Zamry.

 

Mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada pembentangan cadangan projek berdasarkan keperluan dan keutamaan pihak sekolah. Tiga projek utama yang dicadangkan ialah penaiktarafan Dewan Jauhari, penaiktarafan astaka padang sekolah, dan pelaksanaan program kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Encik Amran, penaiktarafan Dewan Jauhari akan memberi manfaat bukan sahaja kepada warga sekolah tetapi juga komuniti setempat kerana ia sering digunakan sebagai pusat pemindahan sementara ketika musim banjir serta lokasi utama penganjuran program akademik berskala besar. Penaiktarafan astaka pula dijangka meningkatkan motivasi pelajar dan kualiti penganjuran aktiviti sukan padang di peringkat daerah.

"Program kecemerlangan STEM pula akan direka bentuk bagi memberi manfaat kepada pelajar sekolah ini dan juga sekolah-sekolah sekitar, selaras dengan matlamat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam bidang sains dan teknologi," tambah beliau.

Kesemua cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada Nuklear Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. Pihak-pihak terlibat beriltizam untuk merealisasikan agenda Sekolah Angkat Madani ini dengan harapan agar impaknya dapat dirasai secara menyeluruh oleh warga sekolah dan masyarakat.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan holistik, perpaduan dan kesejahteraan rakyat melalui kerjasama merentas agensi.

 

img

BANGI, 16 Jun 2025 - Dr. Kirsten Cutler, Senior Strategist for Nuclear Energy Innovation, U.S. Department of State bersama Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur telah mengadakan kunjungan hormat ke Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) pada 16 Jun 2025. Kunjungan hormat ini bertujuan meneroka potensi kerjasama dua hala antara Amerika Syarikat dan Nuklear Malaysia dalam bidang penggunaan tenaga dan teknologi nuklear secara aman.

Mesyuarat sempena kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan (Program Pengkomersilan & Perancangan Teknologi), Nuklear Malaysia dan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Sokongan Teknikal, Bahagian Pengkomersilan Teknologi dan Bahagian Pengurusan Maklumat  serta Bahagian Antarabangsa dan Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Antara topik perbincangan dalam kunjungan Dr. Kirsten Cutler ialah Program Foundational Infrastructure for Responsible Use of Small Modular Reactor Technology (FIRST) iaitu inisiatif Kerajaan A.S. yang menyokong usaha negara rakan strategik dalam membangunkan kapasiti dan infrastruktur berkaitan reaktor modular kecil (SMR) dan teknologi reaktor nuklear termaju.

Kunjungan hormat Dr. Kirsten Cutler, Senior Strategist For Nuclear Energy Innovation, U.S. Department of State ke Agensi Nuklear Malaysia

 

 

img

BANGI, 13 Jun 2025  - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat dari Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur yang diketuai oleh En. Shivakumar Nair, Timbalan Pesuruhanjaya Tinggi Singapura pada 13 Jun 2025. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk meneroka potensi hubungan kerjasama dua hala antara Singapura dan Nuklear Malaysia mengenai penggunaan tenaga dan teknologi nuklear secara aman.

Perbincangan semasa kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan turut dihadiri oleh Pengurusan Atasan dan wakil-wakil dari Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Sokongan Teknikal serta Pusat Teknologi Reaktor.

Perbincangan turut merangkumi teknologi dan kemudahan nuklear yang terdapat di Nuklear Malaysia, termasuk pelbagai produk yang telah dihasilkan melalui aplikasi teknologi nuklear. Dalam sesi tersebut, Nuklear Malaysia juga telah menawarkan kepada Singapura untuk menyertai program latihan dalam bidang reaktor penyelidikan nuklear yang dikendalikan oleh Nuklear Malaysia.

img

BANGI, 11 Jun 2025 - Seramai 50 orang peserta daripada pelbagai bahagian dan latar belakang perkhidmatan telah menyertai Kursus Pemerkasaan Jati Diri anjuran AKRAB Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang berlangsung pada 10 hingga 11 Jun 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.

Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif susulan daripada dapatan UjianDepression, Anxiety, Stress Scale (DASS) tahun 2023 yang menunjukkan seramai 32 kakitangan berumur antara 31 hingga 40 tahun mencatatkan skor kebimbangan pada tahap rendah. Meskipun jumlah tersebut tidak besar, dapatan ini menjadi indikator awal terhadap keperluan melaksanakan intervensi yang lebih berfokus, khususnya dalam aspek kesedaran kendiri dan pengurusan tekanan secara berkesan.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan menyifatkan kursus ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh nilai peribadi, membina kekuatan dalaman serta mempertingkat penghayatan elemen kerohanian dalam kalangan warga kerja.

Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan psikologi penjawat awam tidak seharusnya hanya bergantung pada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan kesedaran diri yang mendalam serta kejelasan terhadap tujuan dan peranan masing-masing.

"Kita mahu melahirkan warga kerja yang seimbang bukan sahaja cekap dalam tugas, malah stabil dari segi emosi dan berdaya tahan dalam menangani tekanan kerja dengan bijaksana," katanya.

Kursus ini diharap dapat memberi manfaat menyeluruh kepada para peserta khususnya dalam membina sahsiah diri yang mantap, meningkatkan kefahaman terhadap kemahiran insaniah serta menyokong kesejahteraan emosi dalam persekitaran kerja seharian.

Turut hadir ialah YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan merangkap Penyelaras AKRAB Nuklear Malaysia dan YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran merangkap Pengerusi AKRAB Nuklear Malaysia.