post-image

BENGKEL PEMBANGUNAN POLISI KESELAMATAN SIBER (PKS) – WADAH DALAM MEMPERKUKUH SISTEM KESELAMATAN MAKLUMAT

MELAKA, 23 Julai 2025:Seiring dengan Akta Sekuriti Siber (Akta 854) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan pelaksanaan Polisi Keselamatan Siber oleh MOSTI, setiap agensi perlu mengambil langkah serius dalam memperkukuh sistem keselamatan maklumat. Sehubungan itu, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Polisi Keselamatan Siber (PKS) Nuklear Malaysia selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Julai 2025 di Hotel Bayview, Melaka.

Bengkel yang turut melibatkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ini diadakan dengan tujuan untuk menghasilkan deraf Polisi Keselamatan Siber Agensi yang komprehensif dan sejajar dengan kehendak semasa, memberikan pemahaman mendalam terhadap struktur dan klausa ISO 27001:2022 dan melatih peserta dalam penyediaan dokumentasi bagi audit dan pensijilan yang bakal dihadapi oleh setiap bahagian di Nuklear Malaysia.

YBrs. Dr. Muhammad Rawi dalam ucapan perasmiannya berkata, bengkel yang dianjurkan ini menjadi platform penting untuk menyemai kesedaran kolektif dalam kalangan warga agensi mengenai tanggungjawab melindungi aset maklumat, khususnya maklumat terperingkat berkaitan teknologi nuklear yang menjadi tunjang kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berharap agar penganjuran bengkel ini mendapat komitmen penuh daripada semua peserta, termasuk wakil pelbagai bahagian, fasilitator serta barisan kepimpinan yang sentiasa menyokong usaha transformasi digital dan keselamatan siber. Komitmen tersebut diyakini mampu menghasilkan pencapaian yang kukuh serta memberi impak positif dalam jangka masa panjang.