
BANGI, 15 Julai 2025- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Insiatif Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 pada 14 hingga 15 Julai 2025 bertempat di Bangi Resort Hotel, Selangor. Bengkel selama dua hari ini telah dihadiri seramai lebih 100 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Teras Strategik (JKTS) dan Jawatankuasa Sektor Utama (JKSU) DTNN 2030 dari pelbagai kementerian, agensi Kerajaan, syarikat milik Kerajaan, universiti awam dan swasta, serta persatuan. Bengkel Pelaksanaan Inisiatif DTNN 2030 telah dirasmikan oleh YBrs Dr Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi).
Matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk melihat dan menilai pencapaian pelaksanaan kesemua oucome, sasaran utama, strategi dan program flagship yang telah digariskan dibawah Pelan Tindakan DTNN 2030 di samping membincangkan isu-isu berbangkit terhadap keberkesanan pelaksanaan pelan tindakan dasar ini. Tiga kertas pertimbangan berkaitan sasaran utama DTNN 2030 juga turut dibentangkan oleh Pengerusi dan wakil JKSU yang terlibat.Hasil laporan pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan dari bengkel ini akan dibawa untuk perhatian dan perbincangan lanjut diperingkat Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear (JTTN) dan Jawatankuasa Pemandu Teknologi Nuklear Kebangsaan (JPTN) yang dijangka akan diadakan pada bulan September dan Oktober 2025.

BANGI, 10 Julai 2025 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Senior Scientist Network Association (SScNA) yang diketuai oleh Penaungnya, YBhg. Datuk Seri Dr. Azhar bin Haji Yahya, hari ini.
Kunjungan ini telah disambut mesra oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi), YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamad Zin di Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.
Sesi interaksi dan perbincangan dua hala yang diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan teknologi dan aplikasi nuklear di Malaysia.
Selain sesi perbincangan, delegasi SScNA turut berpeluang melawat fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI Simulator untuk melihat lebih dekat infrastruktur teknologi nuklear.
Turut hadir dalam kunjungan ini adalah barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia, pengarah-pengarah bahagian dan ahli-ahli persatuan.
Kunjungan hormat ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara SScNA dan Nuklear Malaysia ke arah pembangunan teknologi nuklear negara yang lebih mampan dan progresif.

Sungkai, Perak – 10 Julai 2025: Seramai 50 pelajar Tingkatan 3 hingga 5 telah menyertai Bengkel Sinaran sempena Karnival STEM SMK Sungai, Perak. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal tentang kewujudan sinaran semula jadi dalam kehidupan seharian, serta membina kefahaman bahawa teknologi nuklear bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah Nuclear Talk: Pengenalan Agensi Nuklear Malaysia dan Aplikasi Teknologi Nuklear, Mini Eksperimen Kebuk Awan (Cloud Chamber) dan Hakaru-kun.
Bengkel Kebuk Awan dilaksanakan secara manual menggunakan ais kering dan alkohol, tanpa sistem elektrik Peltier. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman unik, malah memperkukuh pemahaman pelajar terhadap konsep sinaran dan zarah radioaktif, di samping mengasah kreativiti dan kemahiran saintifik mereka.
Sementara itu, Bengkel Hakaru-kun memberi peluang kepada pelajar menggunakan alat pengesan sinaran jenis mudah alih buatan Jepun. Alat ini digunakan untuk mengukur dos dedahan sinaran daripada pelbagai sumber, termasuk sinaran latar semula jadi dan sebahagian sinaran dari angkasa lepas.
Bengkel ini secara keseluruhannya telah memberikan pengalaman pembelajaran yang aktif, menyeronokkan dan berimpak tinggi. Nuklear Malaysia berharap agar pendedahan ini dapat memupuk minat pelajar terhadap bidang sains nuklear, serta meningkatkan kesedaran mereka tentang penggunaan teknologi ini secara aman.

DENGKIL, 9 Julai 2025 – Di bawah inisiatif Program Kerjasama Teknikal oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Teknologi Pemprosesan Sinaran dalam Pelbagai Aplikasi yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025.
Bengkel ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar-pakar jemputan dari IAEA, pegawai penyelidik Nuklear Malaysia, serta wakil industri dan institusi pengajian tinggi yang terlibat secara langsung dalam bidang berkaitan.
Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memperkukuh dan memperluas kapasiti negara dalam mereka bentuk, mengurus serta melaksanakan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) berkaitan teknologi pemprosesan sinaran. Penekanan khusus diberikan kepada aplikasi dalam pemprosesan bahan polimer dan bahan termaju yang berpotensi tinggi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Sepanjang bengkel ini, para peserta didedahkan kepada kepakaran terkini dalam bidang pemprosesan sinaran melalui sesi pembentangan dan perkongsian oleh profesional antarabangsa. Antara topik yang dibincangkan termasuk isu-isu semasa, jurang pengetahuan, inovasi, serta penyelesaian teknikal berdasarkan kejayaan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, bengkel ini turut berperanan sebagai platform untuk merangsang perbincangan strategik dan kolaboratif dalam kalangan peserta, khususnya dalam meneroka potensi teknologi pemprosesan sinaran bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Penglibatan aktif para penyelidik, ahli akademik dan pemegang taruh diharap dapat mewujudkan rangkaian kerjasama yang mantap — sejajar dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030)untuk memperkukuh ekosistem teknologi nuklear negara.

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) komited mendukung aspirasi pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) apabila turut serta dalam program peluncuran STI100³yang berlangsung meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, Kuala Lumpur.
Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dalam sebuah acara penuh simbolik yang menyatukan warga kementerian, agensi kerajaan, ahli akdemik dan warga sekolah.
Program STI 100³ merupakan inisiatif strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaras dengan pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI. Usaha ini menekankan kerjasama rentas sektor, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan dan industri, melalui pendekatan Whole-of-Government bagi memastikan pendidikan STEM yang menyeluruh dan inklusif.
Sebagai salah satu agensi di bawah MOSTI, Nuklear Malaysia berbangga dapatmenyumbang secara langsung kepada pelaksanaan STI100³ yang kini sedang memasuki Kitaran 1 Tahun 2025. Setakat ini, program ini telah mencapai lebih 8,804 padanan saintis dan sekolahsejak ia mula dilaksanakan pada September 2024.
Penyertaan saintis Nuklear Malaysia dalam program ini mencerminkan sokongan agensi terhadap pembangunan STI di peringkat sekolah. Malah, kejayaan ini membuktikan impak program dalam mendekatkan dunia sains dengan komuniti pelajar dan guru. Melalui kerjasama dan pendekatan bersepadu ini, diharapkan lebih ramai pelajar akan tampil meneroka dunia sains dan teknologi sekaligus menyumbang kepada kemajuan negara berteraskan inovasi.
Majlis peluncuran turut disempurnakan dengan kehadiran YB Tuan Wong Kah Who, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan YB Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran, Ahli Parlimen Batu. Nuklear Malaysia pula diwakili oleh Dr. Shukri bin Mohammad, Pengarah Kanan Program Pengurusan.

BANGI, 2 Julai 2025 - YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merupakan figura penting dalam landskap teknologi nuklear negara. Beliau bukan sahaja seorang pegawai penyelidik yang berdedikasi, malah juga seorang pemimpin berwawasan yang telah mencurahkan lebih 33 tahun berkhidmat cemerlang dalam bidang sains dan teknologi nuklear.
Bermula sebagai Pegawai Penyelidik pada tahun 1991, YBrs. Dr. Rosli telah meniti tangga kerjaya dengan penuh komitmen dan integriti sehingga diberi amanah untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Nuklear Malaysia mulai tahun 2023.
Hari ini bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Nuklear Malaysia Bil. 6/ 2025, telah diadakan Majlis Jasamu Dikenang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Dr. Rosli yang bakal bersara wajib setelah lebih tiga dekad berkhidmat sebagai penjawat awam di Nuklear Malaysia.
Kredibiliti dan kepimpinan yang ditonjolkan oleh YBrs. Dr. Rosli sepanjang tempoh perkhidmatannya telah meletakkan beliau sebagai peneraju dalam barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan Nuklear Malaysia dalam bidang sains dan teknologi nuklear di peringkat nasional dan antarabangsa.
Segala jasa dan komitmen yang telah dicurahkan amat dihargai oleh seluruh warga Nuklear Malaysia. Di bawah kepimpinannya, agensi ini telah berjaya mengorak langkah lebih maju dan berdiri standing dengan negara-negara lain dalam bidang berkaitan.
Bakti dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan telah memberikan impak yang besar kepada negara, khususnya dalam memperkasa perkembangan sains dan teknologi nuklear.
Adalah diharapkan agar YBrs. Dr. Rosli terus menyumbangkan kepakaran dan pengalaman beliau, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan rasmi.
Seluruh warga Nuklear Malaysia mengucapkan Selamat Hari Lahir dan Selamat Bersara kepada YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan.

PUTRAJAYA, 25 Jun 2025 - Teknologi nuklear telah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia. Peranan teknologi nuklear dijangka akan semakin meningkat pada masa hadapan. Ini selaras dengan kemajuan pesat industri yang semakin berkembang serta kelebihan teknologi nuklear sebagai penyelesaian secara kos efektif yang merentasi pelbagai sektor.
Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi peluang kerjasama dalam teknologi nuklear di sektor pertanian negara, YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia.
Sesi kunjungan hormat yang berlangsung Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Jabatan Pertanian Putrajaya ini telah membincangkan berkaitan penerokaan aplikasi teknologi eBeam/X-ray yang berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuk industri makanan, pertanian serta perindustrian.
Antara perkara yang turut dibincangkan semasa sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan keperluan pelaksanaan bengkel kajian analisis bagi kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi memperkenalkan teknologi tersebut dengan lebih meluas di Malaysia.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai daripada Nuklear Malaysia.
Diharapkan menerusi sesi kunjungan hormat ini ianya dapat membuka ruang bagi potensi kerjasama yang lebih kukuh selaras dengan hasrat serta keperluan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam memfokuskan kepada peranan teknologi nuklear ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing.

KAJANG, 25 Jun 2025- Karnival STEM di SMK Sungai Ramal berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 300 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Program ini menjadi lebih menarik dengan penyertaan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerusi inisiatif outreach "NEO@School" yang bertujuan memperkenalkan teknologi nuklear secara aman kepada generasi muda.
Antara pengisian utama daripada Unit Jangkau Luar, Bahagian Pengurusan Maklumat, adalah Menjejak Zarah Radioaktif dengan Kebuk Awan. Melalui aktiviti ini pelajar berpeluang melihat sendiri jejak zarah alfa dan beta melalui kebuk awan elektrik, memberikan gambaran visual yang unik terhadap konsep sinaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Selain itu, pelajar juga diperkenalkan dengan alat pengesan sinaran iaitu Meter Tinjau (Survey Meter). Melalui aktiviti "Mr Gamma: Ukur Sinaran" ini pelajar mencuba sendiri bagaimana sinaran dikesan dalam persekitaran harian. Nuklear Malaysia turut menyediakan permainan interaktif STEM yang mencabar minda dan menggalakkan pembelajaran secara santai.
Manakala, Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) membawa Model Gamma Green House (GGH) sebagai ilustrasi kaedah penyinaran dos rendah secara berterusan yang digunakan untuk mengaruh mutasi secara kronik dalam tanaman bagi tujuan pembiakbakaan varieti baharu. Pelajar turut diberi pendedahan kepada teknologi kultur tisu, yang berperanan mempercepatkan proses biak baka mutasi serta menjimatkan masa dan sumber dalam bidang pertanian.
Aplikasi teknologi nuklear dalam penyinaran makanan juga diterangkan dengan menggunakan dua petri dish kacang kuda – satu disinarkan, satu tidak disinarkan. Hasilnya, pelajar dapat melihat sendiri kesan penyinaran terhadap ketahanan makanan, kacang kuda yang disinarkan mempunyai jangka hayat lebih panjang.
Kehadiran pelajar SMK Sg. Ramal yang aktif bertanya dan mencuba aktiviti telah membuktikan keberkesanan pendekatan hands-on dalam menyemai minat terhadap sains dan teknologi nuklear. Program NEO@School terus komited membawa ilmu ke sekolah-sekolah bagi membina generasi celik sains yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Program ini turut melibatkan petugas dari pelbagai bahagian dalam Nuklear Malaysia iaitu En. Mustapha Akil daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Pn. Norzehan Ngadiron dan Pn. Khalilah Dukol daripada Bahagian Pengurusan Maklumat, serta Pn. Leyreina Merry Anak Paul Vencent daripada Bahagian Teknologi Industri.

BANGI, 19 Jun 2025- Pusat Teknologi Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerima kunjungan pasukan pakar antarabangsa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi melaksanakan Integrated Nuclear Safety Assessment for Research Reactors (INSARR) ke atas Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP).
Misi ini bertujuan untuk menilai tahap keselamatan dan amalan pengoperasian RTP yang telah beroperasi lebih 40 tahun serta memberi cadangan penambahbaikan mengikut piawaian antarabangsa terkini. Sepanjang misi, pasukan IAEA telah menyemak dokumentasi teknikal, menjalankan pemerhatian tapak dan mengadakan perbincangan bersama pegawai teknikal RTP.
RTP merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan di Malaysia dan berfungsi penting dalam penghasilan radioisotop, latihan akademik serta penyelidikan pelbagai disiplin sejak tahun 1982. Melalui sokongan teknikal dan kerjasama berterusan dengan IAEA, RTP terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan sains dan teknologi nuklear negara.
Misi INSARR ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan nuklear, ketelusan operasi dan penambahbaikan secara berterusan.

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai pameran sempena Seminar Potensi Air Bawah Tanah di Parlimen Malaysia. Seminar ini menghimpunkan pakar-pakar dari pelbagai agensi bagi berkongsi dan membincangkan pendekatan strategik dalam pengurusan sumber air negara.
Dalam pameran ini, Nuklear Malaysia telah mempamerkan dan memfokuskan kepada aplikasi teknologi nuklear dalam pengurusan sumber air. Antara yang diketengahkan ialah kaedah pengukuran radon dalam air, iaitu gas radioaktif semula jadi yang digunakan sebagai penyurih (tracer) bagi mengesan interaksi antara air bawah tanah dan air permukaan.
YB Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Rakyat mengunjungi reruai pameran Nuklear Malaysia
Sesi perkongsian matlumat dan informasi
Kaedah ini membolehkan interaksi hidraulik dikenal pasti secara lebih tepat dan saintifik. Turut dipamerkan ialah teknik pengukuran keradioaktifan dalam air mineral sebagai langkah pemantauan keselamatan dan kualiti air.
Diharap penglibatan aktif Nuklear Malaysia dalam program seumpama ini dapat mempertingkatkan penerimaan penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian terutamanya dalam memyokong pengurusan sumber air secara mampan melalui pendekatan sains dan teknologi.

BANGI, 18 Jun 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang diketuai oleh YBrs. Ir. Fam Yew Hin, Ahli Lembaga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Korporat BEM, hari ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan pemahaman mengenai aplikasi teknologi dan penyelidikan nuklear dalam pelbagai sektor kejuruteraan dan industri.
Ketibaan delegasi BEM disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia. Sesi dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai peranan, kepakaran dan pencapaian diikuti dengan sesi perbincangan dan interaksi bersama pengurusan tertinggi agensi.
Perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam bidang pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi, pensijilan profesional dan pengukuhan kecekapan kejuruteraan dalam aplikasi teknologi nuklear secara selamat dan beretika.
Diharapkan kunjungan ini dapat membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mantap pada masa hadapan sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan profesional kejuruteraan dan aplikasi teknologi nuklear di Malaysia.

Sungkai, 13 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit, Sungkai, Perak melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), sekali gus membuka ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan serta pembangunan komuniti setempat.
Bagi memulakan kerjasama ini, satu mesyuarat pelarasan telah diadakan di Bilik Gerakan sekolah dengan dihadiri oleh delegasi Nuklear Malaysia yang diketuai oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan, Dr. Shukri bin Mohd, bersama enam pegawai dari pelbagai bahagian.
Mereka telah disambut mesra oleh Pengetua SMK Sungai Kruit, Encik Amran Marhamdan. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Puan Nor Azizah binti Mohamad dan Puan Noor Aida Ahmad, serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Encik Mohd Halmi bin Miswan dan Encik Mohd Azizul Zamry.
Mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada pembentangan cadangan projek berdasarkan keperluan dan keutamaan pihak sekolah. Tiga projek utama yang dicadangkan ialah penaiktarafan Dewan Jauhari, penaiktarafan astaka padang sekolah, dan pelaksanaan program kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Encik Amran, penaiktarafan Dewan Jauhari akan memberi manfaat bukan sahaja kepada warga sekolah tetapi juga komuniti setempat kerana ia sering digunakan sebagai pusat pemindahan sementara ketika musim banjir serta lokasi utama penganjuran program akademik berskala besar. Penaiktarafan astaka pula dijangka meningkatkan motivasi pelajar dan kualiti penganjuran aktiviti sukan padang di peringkat daerah.
"Program kecemerlangan STEM pula akan direka bentuk bagi memberi manfaat kepada pelajar sekolah ini dan juga sekolah-sekolah sekitar, selaras dengan matlamat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam bidang sains dan teknologi," tambah beliau.
Kesemua cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada Nuklear Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. Pihak-pihak terlibat beriltizam untuk merealisasikan agenda Sekolah Angkat Madani ini dengan harapan agar impaknya dapat dirasai secara menyeluruh oleh warga sekolah dan masyarakat.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan holistik, perpaduan dan kesejahteraan rakyat melalui kerjasama merentas agensi.

BANGI, 16 Jun 2025 - Dr. Kirsten Cutler, Senior Strategist for Nuclear Energy Innovation, U.S. Department of State bersama Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur telah mengadakan kunjungan hormat ke Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) pada 16 Jun 2025. Kunjungan hormat ini bertujuan meneroka potensi kerjasama dua hala antara Amerika Syarikat dan Nuklear Malaysia dalam bidang penggunaan tenaga dan teknologi nuklear secara aman.
Mesyuarat sempena kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan (Program Pengkomersilan & Perancangan Teknologi), Nuklear Malaysia dan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Sokongan Teknikal, Bahagian Pengkomersilan Teknologi dan Bahagian Pengurusan Maklumat serta Bahagian Antarabangsa dan Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Antara topik perbincangan dalam kunjungan Dr. Kirsten Cutler ialah Program Foundational Infrastructure for Responsible Use of Small Modular Reactor Technology (FIRST) iaitu inisiatif Kerajaan A.S. yang menyokong usaha negara rakan strategik dalam membangunkan kapasiti dan infrastruktur berkaitan reaktor modular kecil (SMR) dan teknologi reaktor nuklear termaju.
Kunjungan hormat Dr. Kirsten Cutler, Senior Strategist For Nuclear Energy Innovation, U.S. Department of State ke Agensi Nuklear Malaysia

BANGI, 13 Jun 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat dari Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur yang diketuai oleh En. Shivakumar Nair, Timbalan Pesuruhanjaya Tinggi Singapura pada 13 Jun 2025. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk meneroka potensi hubungan kerjasama dua hala antara Singapura dan Nuklear Malaysia mengenai penggunaan tenaga dan teknologi nuklear secara aman.
Perbincangan semasa kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan turut dihadiri oleh Pengurusan Atasan dan wakil-wakil dari Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Sokongan Teknikal serta Pusat Teknologi Reaktor.
Perbincangan turut merangkumi teknologi dan kemudahan nuklear yang terdapat di Nuklear Malaysia, termasuk pelbagai produk yang telah dihasilkan melalui aplikasi teknologi nuklear. Dalam sesi tersebut, Nuklear Malaysia juga telah menawarkan kepada Singapura untuk menyertai program latihan dalam bidang reaktor penyelidikan nuklear yang dikendalikan oleh Nuklear Malaysia.

BANGI, 11 Jun 2025 - Seramai 50 orang peserta daripada pelbagai bahagian dan latar belakang perkhidmatan telah menyertai Kursus Pemerkasaan Jati Diri anjuran AKRAB Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang berlangsung pada 10 hingga 11 Jun 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.
Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif susulan daripada dapatan UjianDepression, Anxiety, Stress Scale (DASS) tahun 2023 yang menunjukkan seramai 32 kakitangan berumur antara 31 hingga 40 tahun mencatatkan skor kebimbangan pada tahap rendah. Meskipun jumlah tersebut tidak besar, dapatan ini menjadi indikator awal terhadap keperluan melaksanakan intervensi yang lebih berfokus, khususnya dalam aspek kesedaran kendiri dan pengurusan tekanan secara berkesan.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan menyifatkan kursus ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh nilai peribadi, membina kekuatan dalaman serta mempertingkat penghayatan elemen kerohanian dalam kalangan warga kerja.
Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan psikologi penjawat awam tidak seharusnya hanya bergantung pada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan kesedaran diri yang mendalam serta kejelasan terhadap tujuan dan peranan masing-masing.
"Kita mahu melahirkan warga kerja yang seimbang bukan sahaja cekap dalam tugas, malah stabil dari segi emosi dan berdaya tahan dalam menangani tekanan kerja dengan bijaksana," katanya.
Kursus ini diharap dapat memberi manfaat menyeluruh kepada para peserta khususnya dalam membina sahsiah diri yang mantap, meningkatkan kefahaman terhadap kemahiran insaniah serta menyokong kesejahteraan emosi dalam persekitaran kerja seharian.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan merangkap Penyelaras AKRAB Nuklear Malaysia dan YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran merangkap Pengerusi AKRAB Nuklear Malaysia.

BANGI, 30 Mei 2025- Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.5/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan dengan tema "Pekerja Kesuma Bangsa" bersempena dengan sambutan Hari Pekerja anjuran Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi.
YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapan amanatnya menyatakan sebagai agensi utama dalam bidang teknologi nuklear, warga Nuklear Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memastikan aplikasi teknologi ini terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara., sama ada dalam bidang perubatan, industri, pertanian mahupun alam sekitar.
Beliau turut menyeru agar sentiasa mengekalkan semangat kerja berpasukan, berinovasi dalam tugasan dan beriltizam untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti tinggi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil pasukan projek Floating Flood Disaster Command Centre (Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung). Projek ini telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dalam satu majlis perasmian yang berlangsung di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang pada April lalu.
Turut hadir YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Hasni binti Hasan, Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS), pengarah-pengarah bahagian serta warga Nuklear Malaysia.

KUALALUMPUR, 30 Mei 2025 –Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya memenangi dua pingat emas menerusi pertandingan 36th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2025). Pertandingan yang dianjurkan oleh C.I.S Network Sdn. Bhd ini telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 29 hingga 30 Mei 2025. Dua projek penyelidikan Nuklear Malaysia telah berjaya meraih kemenangan seperti berikut :
Bil |
Kumpulan Inventor |
Tajuk |
Pingat |
1.
|
Dr. Mohd Noorul Ikhsan bin Mohamed @ Ahmad,Dr. Ilham Mukriz bin Zainal Abidin & Asyraf Ariff bin Abu Bakar |
WINDR–53 (Smart Winder for Industrial Radiography Application) |
Emas |
2. |
Ts. Dr. Mohd Amirul Syafiq bin Mohd Yunos, Dr Soleha binti Mohamat Yusuff, Rayvin Josman & Nurliyana binti Abdullah. |
Binturong Scan: An Innovative Bi-folding Interface Scanning Tools using Robust Nucleonic Gauge for Early Detection of Interface Level Problems in Horizontal Vessels and Pipelines |
Emas |
Penyertaan dalam ITEX 2025 ini bukan sahaja menonjolkan hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan, malah turut menjadi platform yang kondusif kepada penyelidik untuk meneroka, mewujudkan peluang kerjasama dan jaringan promosi produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penyertaan Nuklear Malaysia dalam ITEX 2025
Dr. Soleha binti Mohamat Yusuff mewakili Nuklear Malaysia menerima kedua-dua pingat emas di ITEX 2025
Pertandingan ini juga memberi pendedahan dan maklumat kepada pelbagai kumpulan sasar termasuk pemain industri dan orang awam mengenai aplikasi teknologi nuklear. Hal ini secara tidak langsung menyokong usaha negara dalam memperkukuh agenda inovasi dan pemindahan teknologi tempatan ke persada global.
KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025– Sebuah buku ilmiah bertajuk "Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan" telah dilancarkan hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta turut dihadiri oleh Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menegaskan bahawa MOSTI komited untuk memperluas penggunaan teknologi strategik termasuk teknologi nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar. Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam hasil penyelidikan saintifik, malah memperkukuh usaha MOSTI untuk menyampaikan ilmu dan inovasi kepada rakyat secara inklusif dan berterusan.
Pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan. Penerbitan buku ini juga merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan MOSTI dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman disamping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.
Usaha ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara. Sejak awal 1990-an, Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih 30 varieti mutan tanaman dan sekitar 60% daripadanya adalah tanaman hiasan berbunga dan landskap.
Turut hadir, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato' Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Syukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP dan YM. Tengku Fauziah binti Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Umum.

TAWAU, 11 Mei 2025- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Program MADANI Rakyat yang telah berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Sabah. Penyertaan Nuklear Malaysia ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk kesedaran awam mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
Antara tarikan utama di reruai kali ini adalah pameran Struktur Hidrodinamik Terapung Biokomposit (SHARK), yang merupakan inisiatif pembangunan struktur terapung menggunakan bahan biokomposit termaju. SHARK bertujuan untuk menggantikan penggunaan kayu bakau dalam pembinaan jeti terapung, sangkar akuakultur, dan bot pontoon dengan bahan biokomposit yang lebih lestari, mesra alam, dan tahan lama.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, turut meluangkan masa untuk mengunjungi reruai MOSTI dan berinteraksi dengan para petugas serta pengunjung.
Diharapkan dengan penyertaan ini, kesedaran masyarakat tentang aplikasi teknologi nuklear yang selamat dan lestari akan terus dipertingkatkan, sekaligus memperkukuh peranan Malaysia dalam memajukan inovasi berteraskan sains dan teknologi di peringkat nasional.

BANGI, 8 Mei 2025: Bagi memastikan kesedaran dan kefahaman dalam menangani isu-isu ICT serta memberi kesedaran kepada peserta berkaitan kaedah untuk mengoptimakan penggunaan teknologi ICT sedia ada, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Program Hari Bersama ICT Nuklear Malaysia Tahun 2025 (HBICT2025) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11 dengan tema "Celik Digital Pemangkin Nuklear Madani".
YBrs. Dr. Rosli, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapan perasmiannya berkata, Revolusi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996 dan ICT memainkan peranan penting dalam mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang bersepadu bagi membolehkan rakyat berinteraksi.
Ujarnya lagi, apabila berlakunya revolusi maka akan wujud persekitaran dengan pelbagai cabaran yang akan menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dan dapat memenuhi jangkaan dan keperluan pelanggan dan pemegang taruh.
Antara pengisian utama program ini termasuklah ceramah berkenaan dasar keselamatan siber, taklimat pengurusan media sosial organisasi serta perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman jenayah siber dan aplikasi internet benda (IoT) dalam penyelidikan dan pembangunan nuklear.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Mohamad Safuan bin Sulaiman, Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Aplikasi (PTM) serta warga Nuklear Malaysia.
BANGI, 5 Mei 2025— Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, telah merasmikan Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mei di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Bangi, Agensi Nuklear Malaysia. Bengkel ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Penyelia Kawasan (JKPK), Agensi Nuklear Malaysia.
Dalam ucapannya, Dr. Rosli Darmawan menegaskan bahawa sebagai organisasi yang tersenarai dalam Sasaran Penting Keutamaan 1 serta diwartakan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), aspek keselamatan dan sekuriti nuklear menjadi tanggungjawab penting, bukan sahaja untuk agensi tetapi juga untuk negara.
Sekitar sesi taklimat semasa berlangsungnya Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan (lima dari kiri) bergambar kumpulan bersama para peserta Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 yang hadir.
Beliau berharap bengkel ini dapat terus menjadi platform utama dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kecekapan peserta untuk mengurus serta menangani sebarang insiden kecemasan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penyelia Kawasan, YBrs. Encik Yii Mei Wo.

PUTRAJAYA, 2 Mei 2025— Sempena Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan Khas sebagai Rakan Strategik MPOB.
Majlis yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya ini menyaksikan YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi menyampaikan sijil kepada YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.
Acara ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-25 MPOB dan menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam memajukan industri sawit negara.
Nuklear Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MPOB atas pengiktirafan ini dan berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan demi memajukan industri sawit negara.
Turut hadir YBhg. Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), YBhg. Dato' Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi dan YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
MYANMAR, 2 Mei 2025 -Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di arena antarabangsa melalui penglibatan aktif dalam inisiatif keselamatan infrastruktur global. Baru-baru ini, dua pakar dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), iaitu YBrs. Dr. Mohd Noorul Ikhsan bin Mohamed dan Encik Nor Azreen bin Masenwat, telah menyertai Misi Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT). Misi ini berlangsung selama lima hari, bermula dari 28 April hingga 2 Mei 2025 di Myanmar.
Misi ini bertujuan untuk membantu Myanmar menilai kerosakan struktur akibat gempa bumi yang melanda negara tersebut pada 28 Mac 2025. Menerusi teknologi NDT, pemeriksaan dapat dilakukan tanpa merosakkan struktur sedia ada, sekali gus memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap integriti dan keselamatan struktur tersebut untuk kegunaan jangka panjang.
Penyertaan Malaysia dalam misi ini menunjukkan kepakaran negara dalam teknologi NDT serta komitmen negara terhadap keselamatan infrastruktur di peringkat serantau dan global. Sebagai negara anggota aktif IAEA, Malaysia melalui Nuklear Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknikal dan memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam pengurusan bencana.
Misi di Myanmar ini turut mengukuhkan penglibatan Malaysia dalam pelbagai operasi bantuan teknikal IAEA, termasuk di Mexico (2017), Albania (2019), Lubnan (2021), Ecuador (2023), Turkiye (2024), dan Syria (2024). Ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam menyumbang kepakaran bagi keselamatan sejagat, khususnya dalam bidang kejuruteraan awam pasca-bencana.
Komitmen berterusan Nuklear Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju dalam teknologi NDT, tetapi juga memperlihatkan peranan strategik Malaysia sebagai rakan global yang dipercayai dalam memperkasa keselamatan struktur dan kelestarian infrastruktur di seluruh dunia.

KOTA BHARU, 27 April 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah melancarkan dua varieti benih baharu kenaf iaitu MK1 dan MK2. Majlis pelancaran varieti baharu ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.
Varieti baharu hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini menggunakan teknologi penyinaran gama. Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi disamping memberikan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.
Usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.
Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan berkenaan kegunaan kenaf sebagai biokomposit untuk penghasilan bahan binaan yang lebih berdaya saing dan mesra alam.
Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.
Turut hadir YBhg. Dato' Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Datuk Haji Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan YBrs. Dr. Zaiton binti Ahmad, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains, Nuklear Malaysia.

KOTA BHARU, 27 April 2025 -YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Projek Jeti Kasih di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.
Jeti ini dibina menggunakan teknologi inovasi struktur terapung biokomposit yang mesra alam, terdiri daripada bahan biokomposit dan modul apungan 'radiation crosslinked HDPE (RX-HDPE)' yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar-pakar penyelidik daripada Nuklear Malaysia.
Menariknya, jeti ini juga dimanfaatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat untuk operasi menyelamat mangsa lemas dan kecemasan di sungai berkenaan.
Selain itu, jeti kasih ini juga digunakan oleh penduduk setempat untuk dijadikan sebagai pusat hub operasi menyelamat, pengkalan serta menjadi salah satu daya tarikan ekopelancongan.

DENGKIL, 20 April 2025– Meriah dan penuh kemesraan! YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan menyantuni komuniti Kg. Sungai Buah bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dataran Tasik Impian.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada dua inisiatif terbaik di bawah Kerajaan MADANI iaitu Program Santuni MADANI dan Program Kampung Angkat MADANI. Program Santuni MADANI (Satu Pemimpin Satu Kampung) ini bertujuan mendekatkan pemimpin dengan komuniti melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti setempat.
Sementara itu, Program Kampung Angkat MADANI pula memfokuskan kepada pembangunan kampung secara menyeluruh, di mana Nuklear Malaysia mengambil peranan aktif dalam membimbing dan membantu menaik taraf sesebuah kampung. Di bawah inisiatif ini, Kg. Sungai Buah secara rasmi menjadi Kampung Angkat kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.
Dalam majlis yang sama, Dr. Rosli turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penduduk, berkongsi senyuman dan mengeratkan silaturrahim.
Pelbagai pengisian turut memeriahkan majlis, antaranya penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak, pertandingan nyanyian lagu raya, pertandingan busana raya serta kemuncak acara iaitu pertunjukan bunga api.
Turut hadir, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM serta YBrs. Tuan Haji Izaham bin Haji Ishak, Ketua Kampung Sungai Buah yang sama-sama menyokong inisiatif memperkasa komuniti ini.

JERANTUT, 15 April 2025 - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Floating Flood Disaster Command Centre(FLOODCOM) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
FLOODCOM merupakan pusat gerakan bencana banjir terapung pertama di Malaysia, yang dibangunkan bagi tujuan pengurusan bencana dan kecemasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Terletak di lokasi strategik di Kampung Bantal, struktur ini memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat, pemindahan mangsa, serta penyaluran bantuan kemanusiaan terutamanya ketika musim banjir.
Selain berfungsi sebagai pusat pengurusan kecemasan, FLOODCOM turut dilengkapi kemudahan komunikasi alternatif menggunakan frekuensi sangat tinggi (VHF) dan frekuensi tinggi (HF) bagi memastikan kesinambungan komunikasi ketika gangguan berlaku. Ia juga berperanan sebagai menara tinjau bagi pemantauan cuaca semasa, paras air sungai serta sebarang kejadian luar jangka.
Menariknya, struktur terapung ini juga berpotensi dijadikan tarikan pelancongan sebagai menara tinjau, sekali gus menambah nilai kepada produk pelancongan tempatan di kawasan Hulu Tembeling.
FLOODCOM dibina menggunakan bahan biokomposit mesra alam dan modul apungan jenis radiation crosslinkedHDPE (RX-HDPE) yang dibangunkan sepenuhnya oleh pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia). Pembangunannya melibatkan kajian makmal, pembangunan prototaip serta ujian lapangan sejak tahun 2009.
Projek inovatif ini dibiayai melalui geran di bawah Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai agensi pelaksana. Projek ini dijangka memberikan impak besar kepada komuniti setempat khususnya di mukim Hulu Tembeling.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, YBrs. Encik Abdullah bin Daud; Ketua Pegawai Eksekutif YIM, YBrs. Dr. Sharmila binti Mohamed Salleh; Ketua Pesuruhjaya APM, YAS Datuk KPj. (PA) Aminurrahim bin Mohamed, serta pegawai-pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.

BANGI, 14 April 2025– Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.4/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi hari ini.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, dalam ucapannya telah menyampaikan amanat kepada seluruh warga Nuklear Malaysia yang hadir. Beliau menekankan komitmen agensi dalam memperkukuhkan peranan sebagai peneraju pembangunan teknologi nuklear negara. Sejajar dengan aspirasi 2025, beberapa fokus utama telah digariskan:
- Memperkasakan penyelidikan dan inovasi dalam bidang tenaga nuklear dan aplikasi industry;
- Memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam merealisasikan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R);
- Menganjurkan program latihan dan pembangunan kapasiti bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang nuklear; dan
- Mengukuhkan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam forum dan mesyuarat serantau.
Dr. Rosli dalam ucapannya turut menyeru kepada semua warga Nuklear Malaysia agar terus bersatu padu dan komited dalam menerajui bidang teknologi nuklear agar terus membawa Nuklear Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Majlis turut dimeriahkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk jamuan hari raya, aktiviti persembahan bahagian, pertandingan menganyam ketupat serta aktiviti santai yang lain. Suasana penuh mesra ini turut memberikan peluang kepada warga Nuklear Malaysia untuk mengeratkan silaturrahim dalam suasana yang ceria dan harmoni.
Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan & Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta warga Agensi Nuklear Malaysia.

OSAKA, 9 April 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mencatat satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila wakilnya, Encik Mohammad Malek Faizal Azizi daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains, meraih Anugerah Pembentang Oral Terbaik di 12th International Conference on Chemical and Biological Sciences (ICCBS 2025) yang berlangsung di Osaka, Jepun.
Anugerah berprestij ini dianugerahkan kepada beliau atas pembentangan bertajuk Preliminary Evaluation of A Colorimetric Loop-Mediated Isothermal Amplification (cLAMP) Assay for Rapid Detection of Pantoea ananatis in Bacterial Leaf Blight Disease of Rice. Pembentangan ini mengetengahkan pembangunan awal satu kaedah diagnostik molekul yang bersifat pantas, mudah digunakan serta berpotensi untuk diaplikasikan terus di lapangan.
Kajian ini merupakan inisiatif penting dalam menyokong sistem pemantauan awal penyakit tanaman, khususnya bagi tanaman padi mutan yang sedang dibangunkan melalui penyelidikan oleh Nuklear Malaysia. Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan peranan agensi tersebut dalam memajukan sains dan teknologi nuklear untuk sektor pertanian negara.
Pembentangan berkenaan projek Preliminary Evaluation of A Colorimetric Loop-Mediated Isothermal Amplification (cLAMP) Assay for Rapid Detection of Pantoea ananatis in Bacterial Leaf Blight Disease of Rice
Penyerahan Anugerah Pembentang Oral Terbaik oleh Pengerusi sesi, Profesor Florentina Matei

Vienna, Austria – Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga mengenai Aplikasi Sains dan Teknologi Sinaran (ICARST 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 7 hingga 11 April 2025 di Ibu Pejabat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Persidangan berprestij ini bertindak sebagai platform perkongsian untuk perkembangan terkini aplikasi sains dan teknologi sinaran yang menghimpunkan saintis, innovator, wakil industri komuniti sains dan teknologi nuklear dari seluruh dunia.
Kunjungan dari peserta ICARST 2025 ke reruai NDT Nuklear Malaysia.
Dr. Noraishah Othman sebagai panel jemputan untuk sesi "The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session".
ICARST 2025 adalah yang terbesar dalam sejarah penganjuran kerana melibatkan 499 peserta bersemuka dan 367 peserta atas talian, serta 120 pegawai lain dalam kalangan pempamer, wakil kedutaan dan staff teknikal IAEA. Antara intipati penting yang mengisi perbincangan ICARST 2025 adalah seperti cabaran pembinaan loji perintis baharu pemprosesan sinaran, penglibatan aktif komuniti untuk perlindungan alam sekitar dan rawatan sisa, perkhidmatan ujian tanpa musnah, pemuliharaan artifak sejarah, inisiatif pemprosesan semula bahan plastik dan penggunaan teknologi penyurih dan punca terkedap dalam proses industri
Pn. Ruzalina Baharin sebagai panel untuk sesi "The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session".
Pembentangan Oral oleh Pn. Nadira Kamarudin, Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin dan Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos.
Pembentangan Poster
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) amat berbangga kerana 13 orang pegawainya telah dijemput oleh IAEA untuk menjayakan ICARST 2025 menerusi pembentangan oral dan poster, pengerusi sesi, ahli forum diskusi dan juri Anugerah Profesional Muda. Pegawai Nuklear Malaysia turut mengisi barisan panel segmen khas antaranya adalah Dr. Noraishah Othman - Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies, Dr. Ting Teo Ming- Spotlight on the NUTEC Plastics, Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin - Enhancing Global Collaboration in NDT, Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos -Radiotracer and Sealed Sources Certification for Industrial Excellence for Disaster Recovery Enhancement, Pn. Nadira Kamarudin - Radiation-Based Technology for Preservation of Cultural Heritage Objects dan Pn Ruzalina Baharin - Flagship Initiatives, Success Stories & Future Perspectives.
Pada ICARST 2025, Nuklear Malaysia turut mengadakan pameran perkhidmatan dan sumbangan ujian tanpa musnah di peringkat kebangsaan dan serantau. Penyertaan aktif pegawai Nuklear Malaysia di ICARST 2025 ini bukan sahaja mencerminkan kepakaran serta sumbangan Malaysia dalam bidang aplikasi sinaran, malah mengukuhkan lagi jaringan kerjasama antarabangsa. Peluang ini turut memberi ruang kepada pegawai Nuklear Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama strategik, sejajar dengan usaha negara memperkasa pembangunan lestari menerusi teknologi nuklear yang selamat dan inovatif.
BANGI, 27 Februari 2025: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Jepun (JAEA) telah menganjurkan National Training Course (NTC) bermula daripada 17 hingga 28 Februari 2024 bertempat di Kompleks Utama, Nuklear Malaysia. Ketibaan delegasi kedutaan Jepun telah disambut oleh YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.
YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia (dari tengah) bergambar kumpulan bersama barisan delegasi daripada kedutaan Jepun serta barisan pengurusan Nuklear Malaysia serta kementerian.
Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk membangunkan dan mengukuhkan modal insan dalam bidang Kejuruteraan Reaktor, Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi dan Nuklear, dan Pemantauan Keradioaktifan Alam Sekitar serta mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan teknikal dalam kalangan tenaga pakar tempatan.
Peserta NTC terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi, antaranya Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (JTA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, serta beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Kepelbagaian latar belakang peserta ini memastikan bahawa pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan secara menyeluruh dalam pelbagai sektor yang berkaitan.
Bagi penganjuran kali ini, kedutaan Jepun di Malaysia yang diwakili Mr. Saito Yukiyoshi telah berkesempatan untuk turut serta dalam sesi simulasi kesiapsiagaan kecemasan radiologi dan nuklear.
Para delegasi daripada kedutaan Jepun turut dibawa melawat ke fasiliti Reaktor Triga PUSPATI (RTP) di Agensi Nuklear Malaysia
Sekitar sesi simulasi bagi Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi & Nuklear yang telah diadakan pada program National Training Course (NTC)
Sepanjang 12 tahun penganjuran NTC di Malaysia (tahun 2012 sehingga tahun 2025), sejumlah 720 orang peserta telah dilatih menerusi kursus NTC dan dijangka jumlah ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. NTC telah memberi sumbangan yang signifikan kepada negara dalam pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang kejuruteraan reaktor, kesiapsiagaan kecemasan radiologi dan nuklear, serta pemantauan keradioaktifan alam sekitar, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran asing. Selain itu, pengukuhan kesiapsiagaan nasional dicapai melalui latihan intensif dan simulasi senario kecemasan yang realistik, yang memastikan Malaysia lebih bersedia dalam menghadapi sebarang insiden radiologi nuklear.
Program ini berhasil memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama dalam bidang teknologi nuklear melalui kolaborasi dengan JAEA dan negara-negara Asia yang lain. NTC turut menyokong kepada pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 sebagai komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan penggunaan teknologi nuklear secara aman bagi pembangunan negara.
Sekitar sesi simulasi bagi Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi & Nuklear yang telah diadakan pada program National Training Course (NTC)
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang nuklear, malah menyumbang kepada pembangunan teknologi nuklear yang selamat dan mampan di Malaysia.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Puan Azilatul Adilah Azizan, Penolong Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi (TSA) MOSTI serta pegawai-pegawai daripada Nuklear Malaysia.

JERANTUT, 13 Februari 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya meraih kejayaan menerusi Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) apabila mengungguli tiga projek penyelidikan yang dipertandingkan. Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) ini telah diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jerantut, Pahang pada 12 hingga 13 Februari 2025. Hadiah pemenang pertandingan CITEC telah disampaikan oleh YB. Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Bil |
Kumpulan Inventor |
Tajuk |
Pingat |
1.
|
Dr. Azuhar bin Ripin, Ts. Dr Mohamad Azman bin Che Mat Isa, Mohd Khalid bin Matori, Ts. Dr. Husaini bin Salleh, Ir., Wan Hazlinda binti Ismail, Asmaliza binti Hashim & Pairu bin Ibrahim |
Flexi-Rad Joint as Architectural Radiation Shielding Compound
|
Emas |
2. |
Mustapha bin Akil, Faiz bin Ahmad, Dr. Zaiton binti Ahmad, Affrida binti Abu Hassan, Shakinah binti Salleh, Dr. Muniroh binti Md. Saad, Norazlina binti Noordin & Mohammad Nazri bin Romli |
New Kenaf Mutant (ML5) Developed by Acute Gamma Irradiation |
Emas |
3. |
Dr. Nor Azwin Shukri,Dr. Sarala a/p Selambakkannu,Pn. Norshafarina binti Ismail, Dr. Zulkafli bin Ghazali, En Pairu bin Ibrahim , En. Chan Chang Choy, En. Muhammad Hazim bin Muhammad Sayuti, Pn. Noora'tiqah binti Mohamad Fauzi, Pn. A'liya binti Abdul Laziz & Dr. Norazrina binti Mat Jali |
Radiation Crosslinked Halogen-Free Flame Retardant PVC Compound for Low Voltage Cable with Enhanced Fire Safety Performance |
Platinum |
Projek Flexi-Rad Joint as Architectural Radiation Shielding Compound telah memenangi pingat emas
Projek New Kenaf Mutant (ML5) Developed by Acute Gamma Irradiationtelah memenangi pingat emas
Projek Radiation Crosslinked Halogen-Free Flame Retardant PVC Compound for Low Voltage Cable with Enhanced Fire Safety Performance telah memenangi pingat Platinum
Peserta Nuklear Malaysia yang menyertai Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC 2025)

BANGI, 28 Januari 2025: Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah diadakan dengan tema Memperkasakan Perkhidmatan Awam sempena Perhimpunan Bulanan Bil.1/2025 di sini hari ini.
Dalam ucapan amanatnya, YBrs. Dr. Rosli Darmawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas dedikasi serta komitmen warga kerja Nuklear Malaysia dalam menjayakan agenda sains, teknologi dan inovasi nuklear sama ada di peringkat agensi dan negara.
"Pendekatan kerangka MADANI itu sendiri cukup luas dengan mengambil kira permasalahan keadilan sejagat. Dalam menyantuni rakyat melalui keprihatinan Agensi Nuklear Malaysia juga tidak ketinggalan. Pelbagai program telah dan akan terus dilaksanakan misalnya Kampung Angkat MADANI dan program SANTUNI MADANI".
Ujarnya lagi, ini adalah salah satu usaha penglibatan serta sumbangan agensi kerajaan khususnya Nuklear Malaysia dalam membantu rakyat meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat. Inovasi sosial memainkan peranan yang cukup penting dalam mencipta penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi, bagi mengatasi cabaran-cabaran sosial di peringkat akar umbi.
Bagi memperkuat komitmen terhadap nilai-nilai integriti, etika dan profesionalisme dalam kalangan warga Nuklear Malaysia, turut berlangsung acara lafaz ikrar integriti yang telah dipimpin oleh Encik Fitry Kamaruzzaman, Ketua Unit Integriti Agensi Nuklear Malaysia.
Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, pengarah-pengarah bahagian serta warga kerja agensi.

BANGI, 21 Januari 2025 :YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), Agensi Nuklear Malaysia sambil diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) serta pegawai-pegawai kanan MOSTI.
Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia serta barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia. Pada sesi lawatan kerja ini, YB Menteri MOSTI telah diberikan penerangan berkaitan dengan fungsi dan peranan RTP sebagai sebuah reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia.
RTP merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia yang mula beroperasi pada 1982. Sepanjang empat dekad yang lalu, RTP telah memainkan peranan penting dalam pembinaan kapasiti manusia, melatih penyelidik, jurutera dan juruteknik yang kini menjadi penyumbang utama kepada komuniti saintifik Malaysia. Reaktor penyelidikan ini juga telah menjadi alat pendidikan yang berharga, menyediakan latihan untuk pelajar dan pengendali serta memainkan peranan penting di dalam inisiatif kesedaran awam yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan tenaga atom secara aman. Dari 2015 hingga kini, lebih 1,000 pelajar, dari universiti tempatan dan antarabangsa telah memanafaat RTP untuk penyelidikan, latihan, dan projek tesis, memperoleh pengetahuan praktikal yang telah melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sains dan teknologi nuklear.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohd. Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta pengarah-pengarah bahagian Nuklear Malaysia.