post-image

KUNJUNGAN HORMAT DAN PERBINCANGAN KERJASAMA NUKLEAR MALAYSIA BERSAMA PUSAT PENGAJIAN SAINS KESIHATAN USM

BANGI, 10 Februari 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat dan sesi perbincangan kerjasama bersama YBrs. Prof. Dr. Shaharum Samsuddin, daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama baharu dalam bidang sains nuklear dan kesihatan. Usaha ini selari dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dalam memperkasakan aplikasi teknologi nuklear secara aman dan bertanggungjawab bagi menyokong sosioekonomi negara.

Sesi perbincangan memfokuskan kepada peluang penyelidikan dan pembangunan (P&P), perkongsian kepakaran serta fasiliti, pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi khususnya dalam bidang perubatan, keselamatan sinaran dan kesihatan awam. Inisiatif ini sejajar dengan teras DTNN 2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi nuklear.

YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia menyambut baik hasrat kerjasama yang dicadangkan dan menyatakan komitmen Nuklear Malaysia untuk meneroka kolaborasi strategik bersama pihak USM yang dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.