post-image

NUKLEAR MALAYSIA, UoC JALIN KERJASAMA PACU PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI

BANGI, 14 April 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Universiti Cyberjaya (UoC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P) berimpak tinggi. Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Bangi, Nuklear Malaysia.

MoU tersebut ditandatangani oleh YBrs. Dr. Mohammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, bersama YBrs. Prof. Dr. David Whitford, Naib Canselor UoC. Majlis turut disaksikan oleh barisan pengurusan atasan daripada kedua-dua pihak.

Kerjasama ini bertujuan memantapkan sinergi dalam pembangunan teknologi serta perkongsian kepakaran dan kemudahan makmal. Inisiatif ini selari dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memperkasa ekosistem sains, teknologi, dan inovasi (STI) negara melalui pemindahan teknologi serta penyelidikan yang mampu memberi impak nyata kepada masyarakat.

Selain fokus kepada P&P, kolaborasi ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Langkah ini penting bagi melahirkan bakat penyelidik muda yang kompeten dalam bidang teknologi nuklear dan aplikasi berkaitan, sekali gus memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pemeteraian MoU ini merupakan langkah proaktif dalam menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030). Dasar tersebut menekankan pemerkasaan inovasi selain memastikan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab, dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Melalui kerjasama ini, Nuklear Malaysia dan UoC komited untuk terus memperluas jaringan strategik bagi menyokong agenda pembangunan negara ke arah masa hadapan yang berteknologi tinggi dan inklusif.