• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

img

PUTRAJAYA, 27 Julai 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), dengan kerjasama Department of Energy/National Nuclear Security Administration (DOE/NNSA) Amerika Syarikat, menganjurkan Bengkel Pengurusan Sekuriti Nuklear Bersepadu (Integrated Security Management) dari 27 hingga 30 Julai 2026 di Hotel Marriott, Putrajaya.

Bengkel dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin dan menghimpunkan 31 peserta dari Malaysia, Republik Rakyat China, Mongolia, Singapura, Indonesia, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan, Sri Lanka, Filipina dan Vietnam. Program ini menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama serantau, membangunkan kapasiti profesional serta berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam pengurusan sekuriti nuklear.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh sekuriti nuklear di peringkat antarabangsa melalui pembangunan kompetensi, perkongsian kepakaran teknikal dan pemindahan pengetahuan selaras dengan piawaian antarabangsa. Ia juga menyokong pelaksanaan dokumen International Atomic Energy Agency (IAEA), INFCIRC/908, bagi memperkukuh usaha mitigasi ancaman dalaman terhadap sekuriti nuklear.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Muhammad Rawi menegaskan bahawa sekuriti nuklear memerlukan kerjasama erat di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau menekankan bahawa pendekatan Integrated Security Management membolehkan elemen sekuriti diterapkan secara menyeluruh dalam perancangan, operasi dan proses membuat keputusan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan organisasi menghadapi sebarang insiden berkaitan sekuriti nuklear.

Sepanjang bengkel, peserta mengikuti latihan praktikal berasaskan simulasi yang memberi penekanan kepada pengenalpastian ancaman, penilaian risiko dan pelaksanaan tindakan balas secara pantas serta berkesan sekiranya berlaku insiden melibatkan bahan atau kemudahan nuklear.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Nuklear Malaysia terus komited untuk memperkukuh ekosistem sekuriti nuklear negara melalui pembangunan modal insan, pengukuhan kompetensi teknikal dan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa. Usaha ini selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman di samping menyokong aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dalam memperkasa kapasiti sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

img

SEREMBAN, 22 Julai 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menganjurkan 10th National Seminar on Material and Structural Integrity (SMSI) 2026 pada 22 hingga 23 Julai di Hotel Royale Chulan, Seremban sebagai platform memperkukuh ekosistem integriti bahan dan struktur kejuruteraan ke arah pembangunan negara yang selamat, mampan dan berdaya tahan.

Bertemakan From Advanced Materials to Resilient Infrastructure: Bridging Science and Safety, seminar ini menghimpunkan pengamal industri, jurutera, penyelidik, ahli akademik, badan profesional serta agensi kerajaan bagi berkongsi pengetahuan, memperluas pemindahan teknologi dan mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang sains bahan, integriti struktur serta teknologi pemeriksaan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur masa kini perlu memberi penekanan kepada aspek daya tahan, keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian, selain kekuatan serta reka bentuk fizikal. Menurut beliau, integriti bahan dan struktur bukan sekadar memenuhi keperluan teknikal, malah menjadi asas penting dalam menjamin keselamatan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Penganjuran SMSI 2026 selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan pengukuhan penyelidikan, inovasi, pembangunan modal insan serta penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab. Seminar ini turut memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia dalam menyokong pembangunan infrastruktur negara yang lebih berdaya tahan.

Turut hadir ialah YBrs. Ts. Dr. Mohd. Rodzi bin Ali, Pengarah Kanan ( Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi), Nuklear Malaysia dan wakil-wakil jabatan dan agensi.

 

img

BANGI, 20 Julai 2026– Integriti dalam melaksanakan tugas serta semangat patriotik merupakan tonggak utama dalam memperkukuh peranan penjawat awam, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan teknologi nuklear terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.  Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 7/2026 yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Agensi Nuklear Malaysia.

Bertemakan "Kerja Berintegriti Memacu Jiwa Patriotik: Berbakti Demi Pertiwi", majlis tersebut mengangkat mesej penting mengenai penghayatan nilai integriti, amanah dan patriotisme dalam kalangan warga kerja sebagai pemangkin kepada kecemerlangan organisasi.  Dalam amanatnya, YBrs. Dr. Muhammad Rawi berkata dunia kini berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, termasuk isu keterjaminan tenaga, perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan tenaga global serta peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga yang bersih, selamat dan boleh dipercayai.

Menurut beliau, teknologi nuklear semakin diiktiraf sebagai antara penyelesaian yang berpotensi memenuhi keperluan tersebut. Selain menyediakan sumber tenaga yang stabil dan mampan, teknologi ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bidang perubatan serta aplikasi industri berteknologi tinggi.  "Di Malaysia, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah pembangunan bakat dan kepakaran nuklear secara berterusan, di samping membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan infrastruktur keselamatan dan pengawalseliaan yang mampan perlu diberi perhatian berterusan. Aspek keselamatan, sekuriti dan pematuhan terhadap peraturan mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan yang melibatkan teknologi nuklear.  Pada masa yang sama, usaha mempertingkatkan kefahaman serta penerimaan masyarakat terhadap manfaat teknologi nuklear perlu terus diperkasakan. Ini kerana teknologi tersebut telah terbukti memberikan pelbagai manfaat dalam bidang perubatan, industri, pertanian dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Nuklear Malaysia agar terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan semangat patriotik demi memperkukuh peranan agensi dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear serta menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi bin Ali, barisan pengurusan serta warga Agensi Nuklear Malaysia.

img

BANGI, 20 Julai 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh hubungan strategik dengan komuniti setempat menerusi kunjungan hormat Penghulu Mukim Dengkil, Tuan Muhamad Azaazrin Alias, dan Ketua Kampung Limau Manis, Encik Mohd. Zamri Matimin, kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin di Blok 11, Kompleks Bangi, hari ini.

Pertemuan tersebut menjadi medan untuk membincangkan pelaksanaan Program Santuni MADANI Kampung Limau Manis, Dengkil, di samping meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat. Perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan antara Nuklear Malaysia dengan kepimpinan masyarakat sebagai langkah menyokong pembangunan komuniti yang lebih inklusif, mampan dan berimpak.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Negara Nuklear 2030 (DTNN 2030) yang memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama strategik bersama pemegang taruh, peningkatan penglibatan komuniti serta usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat. Pada masa yang sama, ia turut menyokong agenda Malaysia MADANI melalui kerjasama yang lebih erat antara agensi kerajaan dan komuniti.

Nuklear Malaysia berharap jalinan kerjasama ini akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.) dengan mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat. Melalui pendekatan ini, manfaat penyelidikan, inovasi dan kepakaran nuklear dapat diperluaskan kepada rakyat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.

 

img

BANGI, 15 Julai – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 di Kompleks Nuklear Malaysia, baru-baru ini.  Bengkel selama tiga hari yang bermula pada Isnin itu bertujuan membentangkan status terkini pelaksanaan strategi, langkah dasar, Program Flagship serta pencapaian sasaran yang digariskan di bawah Pelan Tindakan DTNN 2030.

Melalui bengkel ini, lima outcome DTNN 2030 berjaya dibentangkan, termasuk sumbangan teknologi nuklear terhadap pertumbuhan ekonomi negara menerusi peningkatan nilai eksport produk berasaskan teknologi nuklear yang dihasilkan syarikat tempatan.  Pelaksanaan DTNN 2030 dijangka mampu meningkatkan nilai eksport produk nuklear tempatan kepada RM2.403 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus.

Sasaran tersebut menunjukkan peningkatan drastik berbanding data asas bagi tempoh tahun 2016 hingga 2020, yang mana nilai eksport tahunan negara ketika itu sekadar berada pada paras antara RM578 juta hingga RM656 juta.  Malah, bagi tempoh 2021 hingga 2025 sahaja, jumlah nilai eksport produk nuklear tempatan telah mencecah RM6.21 bilion, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan di bawah DTNN 2030.  Pencapaian luar biasa ini membuktikan sains dan teknologi nuklear memberi impak positif yang sangat signifikan kepada ekonomi negara, khususnya dalam mendepani fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Bengkel ini turut menjadi platform utama untuk membentangkan perkembangan dua sasaran strategik negara, iaitu pembangunan Hub Pengeluaran Radioisotop dan Radiofarmaseutikal Berpusat serta Pusat Repositori Sisa Radioaktif Kebangsaan.  Selain daripada itu, sesi perbincangan juga memberi tumpuan kepada isu-isu berbangkit serta langkah penyelesaian bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) Nuklear Malaysia, Dr. Nor Pa'iza Mohamad Hasan.  Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menghimpunkan wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibatsecara langsung dalam memperkukuh pelaksanaan DTNN 2030 serta memacu agenda pembangunan dan pemerkasaan teknologi nuklear yang aman, selamat dan mampan di Malaysia.