post-image

MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU MENERUSI MESYUARAT PENYELARAS (CDM) KE-26, FNCA

TOKYO, 6 Februari 2026– Penyertaan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam Mesyuarat Penyelaras ke-26 (Coordinators Meeting, CDM),Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama nuklear serantau. Mesyuarat yang dianjurkan oleh Japan Atomic Energy Commission (JAEC), Cabinet Office of Japan (CAO) dengan kerjasama Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT), Jepun telah berlangsung di Mita Conference Hall, Tokyo serta secara maya melalui platform Webex.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohammed Zin telah membentangkan cadangan projek baharu Malaysia bertajuk Public Information on Nuclear Energy di bawah sektor tematik Nuclear Infrastructure Strengthening. Cadangan projek bagi tempoh 2026 hingga 2028 ini memberi tumpuan kepada pembangunan garis panduan komunikasi awam nuklear peringkat serantau, pengukuhan kapasiti negara anggota serta peningkatan tahap kefahaman masyarakat terhadap teknologi nuklear melalui pendekatan komunikasi yang lebih terselaras dan berstruktur.

Mesyuarat turut membincangkan laporan kemajuan pelaksanaan projek-projek FNCA sedia ada, perancangan aktiviti bagi tahun mendatang serta penyelarasan kerjasama teknikal antara negara anggota. Perbincangan juga merangkumi aspek pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran dan hala tuju strategik kerjasama nuklear serantau bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada pembangunan sosioekonomi negara anggota.

Penyertaan ini membuka ruang kepada Malaysia memperluas jaringan kerjasama teknikal serta memperkukuh peranan negara sebagai rakan strategik dalam pembangunan infrastruktur nuklear di rantau Asia. Melalui platform FNCA, Malaysia berpeluang menyumbang kepakaran serta memanfaatkan perkongsian ilmu dan pengalaman negara anggota ke arah pembangunan teknologi nuklear yang selamat, berkesan dan mampan.