post-image

SEMAKAN SEPARUH PENGGAL: NUKLEAR MALAYSIA PERKUKUH PENJAJARAN SKU SELARI DTNN 2030

PORT DICKSON, 8 Februari 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerusi Bahagian Perancangan Dasar dan Hubungan Antarabangsa (BPA) telah menganjurkan Bengkel Semakan Separuh Penggal Wawasan Nuklear Malaysia, Penjajaran Sasaran Kerja Utama (SKU) 2025/2026 serta Pengenalan Pelan Pengurusan Risiko 2026–2030. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Februari 2026 ini diadakan di Hotel Lexis, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penganjuran bengkel ini bertujuan menilai tahap pencapaian pelaksanaan Wawasan Nuklear Malaysia (WNM) di samping memperkukuh penjajaran Sasaran Kerja Utama (SKU) bagi tahun 2025/2026. Langkah ini penting bagi memastikan perancangan strategik agensi selari dengan keperluan dan aspirasi WNM 2030 serta Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).

 

Bengkel ini turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan SKU, pemantapan pengurusan risiko dan penjajaran hala tuju strategik agensi secara menyeluruh bagi menyokong pelaksanaan teras-teras utama DTNN 2030, khususnya dalam aspek tadbir urus berkesan, keselamatan nuklear, pembangunan kapasiti dan kelestarian aplikasi teknologi nuklear negara.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif agensi perlu terus diperkasakan agar seiring dengan aspirasi strategik DTNN 2030, sekali gus memperkukuh peranan Nuklear Malaysia sebagai peneraju pelaksanaan dasar teknologi nuklear negara.

 

Dalam pengisian bengkel yang sama, satu taklimat berkaitan Pelan Pengurusan Risiko 2026–2030 telah disampaikan oleh YBrs. Encik Ag. Mohd Ismail bin A.M. Nordin dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Taklimat tersebut memberi penekanan kepada pendekatan pengurusan risiko yang menyeluruh dan berstruktur bagi menyokong pencapaian objektif strategik serta pengoperasian agensi selaras dengan keperluan tadbir urus dan keselamatan yang ditetapkan.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam memperkukuh perancangan strategik, meningkatkan kecekapan pengurusan serta memastikan pelaksanaan teknologi nuklear negara dilaksanakan secara selamat, berkesan dan berimpak tinggi sejajar dengan agenda pembangunan negara yang mampan di bawah DTNN 2030.