MISI PAKAR IAEA PERKASA KEUPAYAAN ISOTOP HIDROLOGI NEGARA
BANGI, 30 Januari 2026- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menganjurkan Misi Pakar IAEA di bawah Projek Kerjasama Teknikal TC MAL7008 bertajuk Supporting National Counterparts in Isotope Hydrology Data Interpretation with Focus on Groundwater Dating and Recharge pada 26 hingga 30 Januari 2026.
Misi ini melibatkan penyertaan pegawai daripada Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS), Nuklear Malaysia serta dua pakar IAEA iaitu Assoc. Prof. Dr. Maksym Gusyev dari Institute of Environmental Radioactivity (IER), Fukushima University dan Dr. Mélanie Vital, Pegawai Teknikal IAEA yang juga merupakan Pegawai Teknikal bagi Projek TC MAL7008.

Pengarah BAS, YBrs. Dr. Rahman Yaccup dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran pakar-pakar IAEA dan merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan IAEA dalam memperkukuh kapasiti teknikal negara. Beliau berharap kerjasama strategik ini dapat mempertingkatkan keupayaan penyelidik Nuklear Malaysia dalam menginterpretasi data isotop hidrologi secara lebih komprehensif seterusnya menyumbang kepada pengurusan sumber air negara yang lebih cekap dan mampan. Inisiatif ini juga selari dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) dan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).


Pelaksanaan misi ini bertujuan memperkukuh keupayaan teknikal negara dalam pengolahan serta interpretasi data isotop dan kualiti air bagi menyokong kajian isotop hidrologi. Penekanan khusus diberikan kepada analisis hubung kait antara sumber air dan kitaran hidrologi termasuk penentuan umur serta kadar imbuhan air tanah.

Sepanjang misi berlangsung, pelbagai pengisian telah dilaksanakan merangkumi sesi ceramah teknikal, pembentangan dan penilaian data projek, selain lawatan teknikal ke makmal-makmal di bawah seliaan BAS. Pendekatan komprehensif ini membolehkan perkongsian kepakaran secara menyeluruh di samping memperkukuh kefahaman peserta terhadap aplikasi teknik isotop dalam pengurusan sumber air tanah.
Secara keseluruhan, Misi Pakar IAEA ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pegawai yang terlibat dalam bidang isotop hidrologi, sekali gus menyokong usaha berterusan negara dalam memperkukuh kapasiti saintifik serta memastikan pengurusan sumber air yang lebih lestari pada masa hadapan.











