• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

Produk Penyelidikan dan Pembangunan

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) adalah sebuah agensi kerajaan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), khidmat dan latihan dalam bidang teknologi nuklear bagi pembangunan negara. Seterusnya, berfungsi menggalakkan penggunaan, pemindahan dan pengkomersialan hasil R&D teknologi nuklear kepada masyarakat. Nuklear Malaysia berperanan dalam menyediakan penyelidikan yang cemerlang untuk menjana teknologi nuklear dan produk baru bagi memenuhi keperluan aplikasi teknologi dalam pelbagai bidang seperti industri, perubatan, pemprosesan sinaran, alam sekitar dan pertanian. Antara produk yang dihasilkan Nuklear Malaysia telah disenaraikan di dalam katalog ini untuk tujuan pemasaran dan pemindahan teknologi. Selain jualan, Nuklear Malaysia juga menawarkan kerjasama melalui MoA, MoU, NDA, dan khidmat dengan mana-mana syarikat yang berminat untuk membangunkan dan memasarkan produk ke tahap yang lebih berjaya. Teknologi Nuklear Pemacu Wawasan Negara



Perkhidmatan

Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) merupakan reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia yang ditauliahkan pada tahun 1982 bagi menghasilkan sumber neutron untuk pengeluaran radioisotop, perkhidmatan analitik, alat latihan dalam Nuklear, Sains, dan Kejuruteraan yang mematuhi amalan, piawaian kebangsaan dan antarabangsa, keperluan perlesenan dalam pengurusan keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan nuklear.

Makmal Kimia Analisis (ACA) merupakan salah satu makmal yang ditubuhkan di bawah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar, Agensi Nuklear Malaysia. Makmal ini memainkan peranan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi penting, iaitu: menyediakan perkhidmatan analisis kimia untuk kumpulan penyelidikan dalam agensi, komuniti penyelidikan di universiti dan agensi kerajaan yang lain; menyediakan perkhidmatan analisis komersial kepada sektor swasta; dan menyediakan kemudahan latihan dan panduan kepada pelajar-pelajar universiti dalam mengendalikan peralatan analisis. Makmal ini mengaplikasikan kawalan kualiti dan amalan jaminan kualiti yang baik bagi memberikan output berkualiti tinggi di mana ianya memenuhi piawaian antarabangsa.

Terkini, Makmal Kimia Analisis dilengkapi dengan pelbagai kemudahan instrumen analisis seperti Sistem Spektrometri Gama untuk analisis pengaktifan neutron (NAA), Spektrometri Jisim Plasma Gandingan Aruhan (ICPMS), Spektrometri Penyerapan Atom (AAS), Ion Chromatography (IC) dan Pengukur Unsur CHNS. Dengan kemudahan analitikal tersebut, makmal ini berkeupayaan menyediakan pelbagai keperluan analisis bagi komuniti penyelidikan dan sektor swasta, terutamanya dalam analisis unsur. Selain itu, makmal ini juga mengendalikan pelbagai jenis sampel untuk analisis termasuk tanah, sedimen, air, zarah/debu udara, bahan biologi, seramik, bahan geologi, mineral dan lain-lain.

Makmal Kawalan Mutu Mikrobiologi ditubuhkan pada tahun 1982 selari dengan penubuhan Jabatan Isotop. Pada awal penubuhannya, aktiviti hanya tertumpu kepada kerja-kerja penyelidikan sahaja.  Setelah penjana Tc-99m dikomersilkan pada tahun 1990, ujian rutin mikrobiologi dijalankan bagi memenuhi keperluan pengesahan kualiti produk penjana Tc-99m yang dihasilkan oleh Jabatan Isotop. Aktiviti makmal kemudiannya diluaskan skopnya apabila perkhidmatan ujian mikrobiologi ditawarkan kepada pihak luar Nuklear Malaysia. Kini, kebanyakan sampel ujian adalah terdiri dari produk radiofarmaseutikal serta peranti perubatan.

Manakala Makmal Biodosimetri pula ditubuhkan di Agensi Nuklear Malaysia pada Jun 1990. Aktiviti utama adalah melakukan ujian aberasi kromosom menggunakan teknik disentrik untuk menganalisa dos dedahan pekerja sinaran industri di Malaysia. Alat utama yang digunakan adalah Sistem Pencarian Metafasa yang membantu dalam pencarian dan penangkapan imej kromosom pada peringkat metafasa. Di samping melakukan servis, Makmal Biodosimetri juga melakukan penyelidikan dan projek kerjasama dengan pihak luar seperti pihak LPTA, IMR dan universiti.

Makmal pengeluaran radioisotop ditubuhkan untuk mengeluarkan dan mengedar radioisotop, radiofarmaseutikal dan kit radiofarmaseutikal untuk hospital dan penguna lain di seluruh Malaysia. Makmal ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti:

  1. Hot-cells untuk pengeluaran penjana Tc-99m
  2. Hot-cells untuk pengeluaran pelbagai radioisotop lain
  3. Hot-cells untuk pengeluaran I-131
  4. Hot-cells untuk pengeluaran Ir-192
  5. Clean room dan freeze dryer untuk penyediaan kit radiofarmaseutikal yang aseptic
  6. Clean room dengan pensijilan GMP untuk penyediaan generator Tc-99m dan kit aseptik radiofarmasutikal
  7. Peralatan untuk kawalan kualiti seperti penganalisa pelbagai saluran, pembilang gama automatik, High Performance Liquid Chromatography (HPLC), kalibrator dos, peralatan polargrafi, peralatan pengujian Pyrogen dan peralatan pengujian sterilisasi.

Selain itu, terdapat juga makmal yang menjalankan ujian khidmat analisis fitofarmaseutikal merangkumi ujian phytochemistry, antidiabetic test, antioxidant test, toxicologival test, molecular/animal imaging.

SSDL merupakan pusat kebangsaan bagi penentukuran alat-alat pengukur sinaran seperti dosimeter yang digunakan di dalam pusat radioterapi dan untuk perlindungan sinaran. Keperluan bagi penentukuran alat-alat pengukur sinaran termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), Peraturan-Peraturan Perlindungan Sinaran (Standard Keselamatan Asas) 1988 (pindaan 2010). Makmal Tentukuran SSDL mendapat pengiktirafan standard MS ISO/IEC 17025 sejak Julai 2004.

Semua pengukuran dan kalibrasi adalah dapat di kesan kepada piawaian makmal utama dan piawaian antarabangsa yang lain. SSDL juga bertanggung jawab sebagai pusat pemantauan dos dedahan peribadi pekerja sinaran di Malaysia dengan membekalkan dan menganalisa Lencana OSL, Lencana TLD dan cincin TLD. SSDL turut membekalkan dosimeter dos  aras tinggi jenis Ceric Cerrous dan Fricke untuk kegunaan industri pemprosesan sinaran di Malaysia .

Pusat Khidmat Penyinaran Alur Elektron (ALURTRON) mempunyai dua mesin alur elektron iaitu mesin bertenaga tinggi 3.0 MeV (EPS-3000) dan bertenaga rendah 200 keV (Curetron). Kedua-dua mesin ini dilengkapi dengan beberapa sistem penghantaran produk serta disokong oleh makmal QA/QC untuk ujian dosimetri dan polimer.

Mesin EPS-3000 digunakan dengan meluas dalam penyinaran secara komersial bagi tujuan Taut-silang penebat wayar dan kabel, Taut-silang tiub kecut haba, Taut-silang bahan polimer, Taut-silang dan pensterilan produk farmaseutikal seperti sarung tangan, picagari dan pembalut luka, Pensterilan produk perubatan, Rawatan gas serombong (flue gas) dan Rawatan sisa air industri dan kumbahan.

Manakala Curetron bertenaga rendah 200 keV pula digunakan untuk rawatan permukaan pelbagai aplikasi industri berasaskan kayu, plastik dan keluli, termasuk papan partikel, papan fiber, kerajang aluminium dan dakwat.

Khidmat penyinaran yang diberikan ALURTRON adalah cepat, efisien, seragam dan pengendalian terbaik. Ini adalah kerana sistem kawalan mesin EPS-3000 dapat menjalankan proses penyinaran dengan cara mengubah masa penyinaran dan mampu mencapai keseragaman dos untuk produk lebar yang berpermukaan luas. Proses ini dijalankan pada suhu bilik dengan kemampuan produktiviti yang tinggi.

Loji RAYMINTEX merupakan sebuah loji perintis yang menjalankan pemvulkanan susu getah asli menggunakan sinaran gama yang dikenali sebagai susu getah asli tervulkan menggunakan sinaran gama (RVNRL). RVNRL yang dihasilkan oleh Loji RAYMINTEX mempunyai sifat-sifat fizikal dan mekanikal yang dapat memenuhi keperluan/spesifikasi kebanyakan produk celupan susu getah asli. Antara kelebihan/kebaikan RVNRL utama ialah:

  1. Kestabilan yang tinggi dan tempoh penyimpanan yang lebih lama
  2. Produk yang lebih lembut dan selesa kerana modulus yang rendah
  3. Bebas dari nitrosamina dan rendah nitrosatables (bahan karsinogenik)
  4. Bebas dari alahan yang disebabkan oleh bahan pemecut
  5. Kandungan abu yang lebih rendah dan tidak menghasilkan gas pembakaran asid yang tinggi apabila dibakar
  6. Tiada masalah pewarnaan/pencemaran tembaga (copper staining), produk getah sesuai digunakan oleh industri elektronik
  7. Mesra alam, kilang-kilang pembuat produk getah tidak menghasilkan efluen yang mempunyai kandungan zink yang tinggi

RVRNL sesuai untuk tujuan pembuatan sarung tangan, belon, puting bayi dan lain-lain produk yang mudah dieksploitasi oleh pengguna.

RAYMINTEX juga menjalankan aktiviti penyelidikan dengan tujuan mempertingkatkan mutu RVNRL untuk menyokong promosi dan pengkomersilan teknologi RVNRL, dan pembagaian pemprosesan sinaran.

Loji Penyinaran MINTec-Sinagama menggunakan tenaga pengion dalam bentuk sinaran gamma dari sumber Cobalt-60. Loji penyinaran ini beroperasi dengan kemudahan iradiasi JS10000 (IR-219) yang mampu menyinari pelbagai produk yang memerlukan dos yang berbeza secara serentak. Pada masa kini, MINTec-Sinagama mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001: 2015 dan ISO 13485: 2016. Pada mulanya MINTec-Sinagama direka sebagai kemudahan perintis serba guna untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan. Aktiviti loji Sinagama kemudiannya dipelbagaikan untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai untuk pensterilan produk perubatan dan bahan pembungkusan, pencemaran makanan, farmaseutikal, herba dan makanan haiwan, dan pembasmian serangga dalam komoditi pertanian, termasuk untuk tujuan kuarantin.

MINTec-Sinagama juga menyediakan perkhidmatan pensterilan tisu dan tulang melalui penyinaran gamma untuk tujuan perbankan tisu kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti hospital dan Bank Tisu Negara.

Pusat Khidmat Ujian Tanpa Musnah (NDT) memberi perkhidmatan  dan latihan pengujian NDT dalam sektor industri minyak & gas, tenaga, aeroangkasa, pembuatan dan pengangkutan. Ia terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Teknologi NDT Termaju (LENDT) dan NDT-MSI. 

Kumpulan LENDT menawarkan perkhidmatan pengujian NDT termaju seperti Ujian Radiografi–Digital (RT-D), Ujian Ultrasonik Tatasusun Berfasa (PAUT), Termografi Inframerah (IRT) dan Laser Shearografi.Agensi Nuklear Malaysia melalui kumpulan LENDT telah mendapat pengiktirafan International Atomic Energy Agency Collaborating Centre (ICC) for Advanced NDT yang berperanan sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam bidang NDT termaju.

NDT-MSI pula menyediakan perkhidmatan seperti pemantauan dan pencirian sub-permukaan menggunakan radar penembusan tapak (GPR), pengukuran eletromagnetik tapak (GEM) dan mengukur ketumpatan dan kelembapan tapak menggunakan tolok ketumpatan nuklear, rundingcara dan pengujian NDT dalam struktur konkrit, pemantauan tangki simpanan menggunakan pancaran akustik (AE) dan verifikasi dan penyenggaraan radas penyinaran dalam industri.

Kumpulan Teknologi Penilaian Loji (PAT) adalah kumpulan penyelidikan di bawah Bahagian Teknologi Industri (BTI) di Nuklear Malaysia dan telah bertapak lebih dari 30 tahun dalam pengoperasian dan penyelenggaraan industri Malaysia. Penyelidikan utama PAT adalah dalam aplikasi teknologi sumber radioaaktif terkedap dan teknologi penyurih dalam industri.

Isotop radioaktif, terutama dalam bentuk punca terkedap dan tidak terkedap telah digunakan dalam spektrum industri proses yang luas bagi penyelesaian masalah proses, pemantauan, pengendalian, pemeriksaan, pengoptimuman dan banyak tujuan lain.

Aktiviti PAT termasuk menyediakan perkhidmatan diagnostik proses melalui imbasan turus penyulingan, imbasan paip, imbasan paras mengunakan teknik gama dan neutron serta teknik penyurih di loji petrokimia, loji minyak & gas, loji rawatan air dan kemudahan lain dengan menggunakan rangkaian instrumen/peralatan nukleonik canggih.

PAT secara aktif mempromosikan teknik punca terkedap dan tidak terkedap, X-ray, Mikro dan Gama Tomografi Berkomputer dan Pengiraan Berkomputer Mekanik Bendalir melalui seminar kebangsaan dan antrabangsa, menyediakan latihan, perkhidmatan dan perundingan teknikal kepada pihak yang berminat.

Kumpulan Aplikasi Penyurih Alam Sekitar (e-Tag) merupakan satu kumpulan dalam Bahagian Teknologi Sisa & Alam Sekitar. Kumpulan eTag menyediakan khidmat penyelidikan merangkumi bidang geofizik, pengukuran hidrologi serta aplikasi teknik penyurih berfokuskan “related problem-solving”.

Kumpulan e-Tag menyediakan perkhidmatan yang merangkumi 4 kategori utama iaitu Analisa Makmal, Penilaian & Pengurusan Sumber Air, Teknik Geofizik serta kajian Sedimentologi. Analisis makmal utama yang ditawarkan adalah IRMS serta WDXRF. IRMS (Isotope Ratio Mass Spectrometry) digunakan untuk analisis isotop stabil sementara WDXRF (Wavelength Dispersive X-ray Fluorescence) digunakan untuk menganalisa elemen yang terkandung di dalam unsur.

Analisis makmal lain yang juga ditawarkan adalah seperti kemudahan Analisa 14C menggunakan kaedah penyerapan, Analisa 3H menggunakan pengayaan elektrolitik dan pengukuran Radon in-situ dalam udara dan air. Untuk Penilaian & Pengurusan  Sumber Air pula, e-Tag menawarkan khidmat seperti kajian sumber air tanah, kajian pencemaran air tanah, kajian berkaitan empangan serta kajian pencerobohan air masin.

Sinaran tidak mengion (NIR) adalah radiasi bertenaga rendah, di mana spektrumnya meliputi radiasi Frekuensi Lampau Rendah (ELF), Frekuensi Radio (RF), sinaran inframerah, Cahaya Nampak, LASER dan ultra-ungu (UV). Di Agensi Nuklear Malaysia terdapat 3 makmal utama NIR  iaitu makmal Frekuensi Radio & Gelombang Mikro, makmal Frekuensi Lampau Rendah dan makmal Ultraviolet & LASER.

Selain dari menjalankan penyelidikan dan pembangunan di bidang keselamatan sinaran tidak mengion di Malaysia, Kumpulan NIR bertanggungjawab untuk menyediakan khidmat sokongan teknikal dan kepakaran NIR, menawarkan penilaian keselamatan, khidmat nasihat, kursus dan latihan kepada sektor industri, agensi-agensi kerajaan dan orang awam.  Kumpulan NIR telah mendapat akreditasi MS ISO/IEC 17020 untuk penilaian keselamatan frekuensi  Radio (RF) dari 300kHz sehingga 18GHz.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kumpulan NIR adalah seperti berikut:

  • Perkhidmatan Penilaian Keselamatan Sinaran Tidak Mengion - RF, ELF, LASER & UV
  • Perkhidmatan Penilaian Keselamatan Sinaran Tidak Mengion (ELF, RF & UV) Barangan Pengguna
  • Projek Kerjasama dengan syarikat dalam bidang keselamatan NIR
  • Program Kesedaran Awam & Penglibatan dalam Pameran

Pusat Pembangunan Prototaip dan Loji (PDC) serta Pusat instrumental dan automasi (PIA) merupakan unit di bawah Bahagian Sokongan Teknikal (BST) yang diwujudkan khusus untuk memberikan khidmat kejuruteraan dan sokongan teknikal kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan di Agensi Nuklear Malaysia.

 PDC merupakan pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan mekanikal khususnya dalam pembangunan prototaip dan membangunkan kemudahan loji rintis. Ia menyediakan perkhidmatan seperti pembangunan sistem automasi untuk penyelidikan dan pembangunan, merekabentuk kejuruteraan, fabrikasi dan pemesinan,  pemasangan komponen dan pembuatan peralatan mekanikal yang digunakan dalam bidang nuklear dan radiasi. PDC menyediakan khidmat meleraikan peralatan penyinaran dan memiliki kemudahan Mobile Hot Cell yang berupaya mengendalikan bahan radioatif punca terkedap gama beraktiviti sehingga 2000 Curie Cobalt 60.

Sementara itu, PIA pula menyediakan dua perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan operasi dan penyenggaraan yang berkaitan dengan penyenggaraan, pengujian, pentauliahan, latihan dan khidmat runding cara dan penyelidikan dan pembangunan peralatan elektronik serta instrumentasi. Ia meliputi peralatan penyelidikan dan makmal; sistem komunikasi (sistem telefon/PABX dan siaraya) dan sistem keselamatan yang merangkumi sistem kawalan akses & perimeter dan sistem penggera kebakaran.

Makmal Radiokimia dan Alam Sekitar (RAS) adalah unit di bawah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS) yang bertanggungjawab untuk membangunkan dan memantapkan teknik analisis keradioaktifan dalam sampel alam sekitar dan makanan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai salah satu pusat kemudahan penyelidikan.

Terkini makmal RAS juga menyediakan perkhidmatan radioanalisis untuk keperluan agensi kerajaan dan komersial. Makmal RAS mengamalkan QA/QC dan mempunyai prosedur pengurusannya sendiri di yang mana ia makmal ini telah diakreditasi dengan MS ISO/IEC 17025: 2017 sejak Disember 2005 oleh Jabatan Standard Malaysia bagi skop analisis keradioaktifan gamma.

Kini, makmal RAS adalah satu-satunya makmal kebangsaan yang diluluskan dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan analisis pengukuran keradioaktifan dalam sampel makanan untuk tujuan eksport dan air mineral serta air minuman berbungkus sebagai sebahagian daripada syarat perlesenan KKM.

Kumpulan Fizik Kesihatan menyediakan khidmat kepakaran dalam pemantauan dan analisis dalam bidang keselamatan sinaran dan nuklear yang merangkumi bidang keselamatan radiologi dan keselamatan alam sekitar.

Ujian Kebocoran Punca Terkedap adalah salah satu keperluan pematuhan perlindungan sinaran bagi pengendalian peralatan sinaran punca terkedap. Ujian kebocoran adalah ujian calitan/sapuan yang dijalankan ke atas punca terkedap bertujuan untuk memastikan integriti bekas punca/perisaian punca terkedap bagi mengesan pencemaran dan kebocoran sinaran.

Nuklear Malaysia menyediakan penguji kebocoran yang bertauliah untuk menentukan kebocoran sumber radiasi yang digunakan dalam industri dan aplikasi lain. Aktiviti pengujian integriti sumber terkedap dilakukan secara tahunan bagi memenuhi keperluan undang-undang (Akta 304).

MPL merupakan pemegang Lesen Kelas H KKM/R/0725 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semenjak tahun 2000 bagi perkhidmatan Ujian Kawalan Mutu (QA) Radas sinar x diagnostik perubatan, ujian ketebalan kesetaraan plumbum bilik sinar x perubatan dan tentukuran dose calibrator perubatan nuklear. 

MPL juga merupakan satu-satunya makmal standard yang menawarkan perkhidmatan tentukuran peralatan ujian kawalan mutu (QA) Radas sinar x diagnostik perubatan di Malaysia dan Asia tenggara.  Makmal Standard ini telah diakreditasi MS ISO/IEC 17025 oleh Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) semenjak tahun 2011.  Selain itu, MPL juga ada menawarkan ujian ketebalan kesetaraan plumbum sampel perisai perlindungan sinaran dan PPE, ujian intergriti PPE, ujian serakan sinaran serta tentukuran pembilang Tiroid.

WasTeC adalah Pusat Pengurusan Sisa Radioaktif Kebangsaan yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi pengurusan sisa beradioaktif di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 1984 sebagai salah satu unit di dalam Agensi Nuklear Malaysia yang dikenali sebagai Unit Pengurusan Sisa (PPS) sebelum dijenamakan semula sebagai WasTeC dan diletakkan di bawah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS).

WasTeC menjalankan khidmat pungutan, perawatan, pengkondisian, penyimpanan dan pelupusan sisa radioaktif yang diperolehi dari industri pembuatan, hospital, sekolah, institusi pengajian dan makmal-makmal penyelidikan. Sisa-sisa yang diterima merangkumi sisa pepejal, cecair dan bahan radioaktif punca terkedap terpakai atau Disused Sealed Radioactive Sources (DSRS). WasTeC juga menawarkan perkhidmatan dalam bidang pengurusan sisa pepejal perbandaran (MSW).

WasTeC dilengkapi dengan tenaga kerja profesional dan mahir serta kemudahan yang diperlukan untuk aktiviti pengurusan sisa radioaktif. Pelanggan untuk perkhidmatan ini terdiri daripada pelbagai sektor, yang menggunakan bahan-bahan radioaktif dalam operasi mereka seperti industri, perubatan, institusi pengajian tinggi dan lain-lain. Perkhidmatan yang ditawarkan WasTeC juga telah mendapat penarafan ISO 9001:2015 bagi sistem pengurusan kualiti oleh SIRIM sejak tahun 2018.

Makmal Teknologi Sinaran (MTS) di bawah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS) menumpu kepada aktiviti pemprosesan, pengujian dan analisa sampel berasaskan polimer. Ia dilengkapi dengan loji pandu yang menempatkan mesin memproses polimer separa industri, makmal-makmal analisa dengan peralatan saintifik yang moden serta pegawai yang berkemahiran dalam bidang memproses polimer. Ia juga berpengalaman dalam membangunkan kaedah ujian mengikut keperluan pelanggan untuk mematuhi piawaian antarabangsa seperti ISO, BS, ASTM dan sebagainya. Makmal ini menyediakan pelbagai jenis khidmat pengujian dan analisa kepada pihak akademik, industri dan pelanggan loji pandu.

1. Pemprosesan/Penyediaan Sampel Polimer

Pelbagai mesin pemprosesan polimer berskala makmal dan loji pandu yang dibuka untuk sewaan. Mesin-mesin ini sesuai digunakan bagi kerja-kerja penghasilan produk termoplastik, termoset, komposit, adunan polimer, biopolimer, getah dan membran.

2. Pencirian Bahan

Khidmat ujian ini terdiri daripada pencirian sifat fizikal, mekanikal, termal, kimia, larutan cair dan morfologi permukaan sampel. Kebiasaannya, ujian-ujian ini direka untuk mengkaji perubahan yang terhasil daripada pengubahsuaian yang dilakukan ke atas bahan termasuk polimer.

Kumpulan Teknologi Bahan (MTEG) menjalankan aktiviti R&D&I&C dalam bidang seramik, metalurgi, perlindungan kakisan, bahan nano, biomaterial, pelindung radiasi, kerosakan radiasi, bahan elektronik, mineral, sensor, pemeliharaan warisan, pemprosesan mineral, instrumen nuklear serta pemodelan dan simulasi.

MTEG memperoleh kepercayaan yang baik dan pendekatan inovatif dalam melakukan pelbagai pencirian dan ujian terhadap sifat mekanikal, struktur mikro, morfologi, terma, fizikal dan kimia bahan dalam pelbagai keadaan. MTEG bukan sahaja mampu bertindak sebagai penyelesai masalah teknikal pelanggan dalam sains dan kejuruteraan bahan, malah ia juga merupakan pusat perkhidmatan sehenti yang menyediakan perkhidmatan pencirian bahan yang penting untuk kajian bahan, pembangunan dan pengkomersialan produk.

Makmal-makmal di MTEG menyediakan perkhidmatan pemprosesan, sintesis, dan pencirian bahan serta dilengkapi dengan pelbagai peralatan penting dan canggih seperti XRD, FESEM / EDX / WDX, SEM / EDX, EDXRF, WDXRF, Spectrometer Confocal Raman, AFM, STA , SAXS, SANS, Neutron Radiografi, UV-Vis Spectrometer, Photoluminescence Spectrometer, Spark Emission Spectrometer, Particle-Size Analyzer, Potentiostat, Corrosion Analyzer, Hardness Tester, Universal Testing Machines, Spin Coater, Sputter Coater dan Electrospinning System.

Makmal Teknologi Agro dan Biosains (TAB) merupakan satu pusat khidmat di Bahagian Agroteknologi dan Biosains yang menawarkan pelbagai khidmat dalam bidang agroteknologi dan biosains.

Dengan kepakaran dan kemudahan yang ada di pusat khidmat ini, pelanggan boleh terus memohon untuk mendapatkan khidmat yang disediakan ataupun hadir untuk perbincangan terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pegawai pakar bidang yang terlibat.

Khidmat di TAB meliputi penyinaran gama, khidmat luaran dan konsultansi, kursus, pengeluaran dan analisis.

Pusat khidmat TAB mempunyai kemudahan dan peralatan-peralatan utama seperti:

  1.  Makmal kultur tisu (Makmal Flora Vitro dan Makmal Inkubasi Blok 61)
  2. Kebuk penyinaran Biobeam GM8000
  3. Rumah Hijau Gama
  4. Alat Photostimulated luminescence (PSL)
  5. Makmal Mikrobiologi
  6. Kemudahan Rekabentuk Bio Rumah Kaca Transgenik