BANGI, 30 Januari 2026- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menganjurkan Misi Pakar IAEA di bawah Projek Kerjasama Teknikal TC MAL7008 bertajuk Supporting National Counterparts in Isotope Hydrology Data Interpretation with Focus on Groundwater Dating and Recharge pada 26 hingga 30 Januari 2026.
Misi ini melibatkan penyertaan pegawai daripada Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS), Nuklear Malaysia serta dua pakar IAEA iaitu Assoc. Prof. Dr. Maksym Gusyev dari Institute of Environmental Radioactivity (IER), Fukushima University dan Dr. Mélanie Vital, Pegawai Teknikal IAEA yang juga merupakan Pegawai Teknikal bagi Projek TC MAL7008.

Pengarah BAS, YBrs. Dr. Rahman Yaccup dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran pakar-pakar IAEA dan merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan IAEA dalam memperkukuh kapasiti teknikal negara. Beliau berharap kerjasama strategik ini dapat mempertingkatkan keupayaan penyelidik Nuklear Malaysia dalam menginterpretasi data isotop hidrologi secara lebih komprehensif seterusnya menyumbang kepada pengurusan sumber air negara yang lebih cekap dan mampan. Inisiatif ini juga selari dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) dan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).


Pelaksanaan misi ini bertujuan memperkukuh keupayaan teknikal negara dalam pengolahan serta interpretasi data isotop dan kualiti air bagi menyokong kajian isotop hidrologi. Penekanan khusus diberikan kepada analisis hubung kait antara sumber air dan kitaran hidrologi termasuk penentuan umur serta kadar imbuhan air tanah.

Sepanjang misi berlangsung, pelbagai pengisian telah dilaksanakan merangkumi sesi ceramah teknikal, pembentangan dan penilaian data projek, selain lawatan teknikal ke makmal-makmal di bawah seliaan BAS. Pendekatan komprehensif ini membolehkan perkongsian kepakaran secara menyeluruh di samping memperkukuh kefahaman peserta terhadap aplikasi teknik isotop dalam pengurusan sumber air tanah.
Secara keseluruhan, Misi Pakar IAEA ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pegawai yang terlibat dalam bidang isotop hidrologi, sekali gus menyokong usaha berterusan negara dalam memperkukuh kapasiti saintifik serta memastikan pengurusan sumber air yang lebih lestari pada masa hadapan.
BANGI, 21 Januari 2026– YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, telah menyampaikan Amanat Ketua Pengarah 2026 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 1/2026, yang dihadiri oleh seluruh warga kerja agensi.
Majlis ini menjadi platform penting bagi Ketua Pengarah untuk berinteraksi dengan warga kerja serta menyampaikan hala tuju strategik agensi pada tahun 2026. Hal ini selaras dengan aspirasi kerajaan dan peranan Nuklear Malaysia sebagai agensi penyelidikan berteraskan sains, teknologi, dan inovasi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa agensi mesti mendukung aspirasi transformasi negara dan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. Setiap dasar, program, dan inisiatif perlu sejajar dengan keutamaan kerajaan serta kerangka DTNN 2030. Fokus termasuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D), mempercepat pemindahan teknologi, serta meningkatkan impak hasil penyelidikan nuklear kepada industri dan masyarakat.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya kerja berintegriti, berprestasi tinggi dan berinovasi di samping mengoptimumkan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab.
Selain itu, YBrs. Dr. Ketua Pengarah menyeru seluruh warga kerja agar terus memperkasa kerjasama antara bahagian, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda "Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi" melalui pelaksanaan inisiatif strategik di bawah DTNN 2030.
Turut hadir ialah barisan Pengurusan Tertinggi Nuklear Malaysia, pengarah-pengarah bahagian serta warga kerja agensi.
PUTRAJAYA, 19 Januari 2026 – YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P), khususnya berkaitan aplikasi sains dan teknologi nuklear serta teknologi sokongan yang berpotensi dimanfaatkan bersama.

Inisiatif ini adalah selaras dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang menekankan pemerkasaan dan penggunaan teknologi nuklear secara menyeluruh bagi memperkukuh aspek keselamatan, kesejahteraan dan pertahanan negara melalui inovasi berteraskan sains dan teknologi.


Perbincangan ini diharapkan dapat mempertingkatkan kerjasama strategik antara Nuklear Malaysia dan JBPM dalam memperkasakan aspek keselamatan, kesiapsiagaan serta inovasi teknologi, demi kesejahteraan dan keselamatan negara. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi DTNN 2030 untuk memperluaskan impak teknologi nuklear dalam sektor awam dan keselamatan.
Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut ialah YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), YBrs. Dr. Hasni binti Hassan, Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, serta pegawai-pegawai Nuklear Malaysia.
BANGI, 6 Januari 2026 –Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Malaysian Institute of Microelectronic Systems (MIMOS) Berhad mengadakan mesyuarat strategik bagi membincangkan hala tuju serta peluang kerjasama dalam memperkasakan penggunaan teknologi nuklear di Malaysia.
Mesyuarat yang berlangsung semalam itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin. Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Teknologi MIMOS Berhad, YBrs. Dr. Zulaikha Kadim.


Fokus utama perbincangan merangkumi integrasi kepakaran kedua-dua pihak dalam bidang mikroeletroknik dan teknologi nuklear bagi memacu inovasi tempatan. Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan, delegasi MIMOS Berhad turut dibawa melawat ke fasiliti SINAGAMA bagi melihat sendiri pengoperasian loji penyinaran gama pelbagai guna agensi tersebut.
Kerjasama ini diharapkan dapat memberi manfaat signifikan kepada kedua-dua organisasi dalam memainkan peranan masing-masing, seterusnya merealisasikan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.








