TOKYO, 27 November 2025 - Malaysia melalui Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai 26th Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) Ministerial Level Meeting yang berlangsung di Tokyo, Jepun. Mesyuarat anjuran Cabinet Office, Government of Japan ini merupakan penting bagi negara anggota membincangkan kerjasama serantau dalam pembangunan dan aplikasi teknologi nuklear.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs Dr Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, sebagai Penyelaras Kebangsaan FNCA, telah mewakili negara dalam mesyuarat tersebut dan membentangkan Country Report di bawah topik Role of Nuclear Energy, yang merangkumi perancangan negara untuk menilai potensi tenaga nuklear bagi menyokong keperluan tenaga negara. Selain itu, YBrs Dr Muhammad Rawi turut mempengerusikan Session 3: Country Reports highlighting "Nuclear Energy and Nuclear Science", iaitu sesi yang memberi peluang kepada negara anggota berkongsi pencapaian dan perkembangan terkini dalam bidang tenaga nuklear dan sains nuklear.


Delegasi daripada Nuklear Malaysia turut mengadakan lawatan teknikal ke Emulsion Flow Technologies Ltd. (EFT) di Tokai-mura, Ibaraki. Lawatan ini dijalankan bagi meninjau teknologi dan penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat tersebut serta meneroka potensi kerjasama teknikal yang boleh dibangunkan bersama dengan Nuklear Malaysia bagi menyokong pembangunan sains dan teknologi nuklear negara.
Penyertaan Malaysia dalam program ini membantu memperkukuhkan kerjasama serantau serta membuka peluang untuk penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perkongsian teknologi dalam bidang sains dan teknologi nuklear.
PUTRAJAYA, 27 November 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) semasa Sesi Libat Urus Researcher–Industry Scientific Exchange (RISE) bersama pihak industri, organisasi dan penyedia kepakaran yang berlangsung di Putrajaya. Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, YBrs. Encik Abdullah bin Daud.
Program RISE menghimpunkan kepakaran penyelidik daripada institusi penyelidikan kerajaan (GRI), universiti dan agensi di bawah MOSTI bagi memenuhi keperluan industri melalui aktiviti penyelidikan, konsultasi, pemindahan teknologi dan latihan. Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih 700 pakar dan penyelidik telah terlibat melalui lebih 200 kerjasama dengan syarikat serta organisasi di seluruh negara.

Bagi tempoh 2019 hingga 2024, Nuklear Malaysia sebagai agensi di bawah MOSTI mencatatkan penyertaan tertinggi, melibatkan 70 warga kerja merangkumi 49 penyelidik dan 21 pelaksana teknikal dalam 26 projek berkaitan teknologi nuklear. MOSTI turut mengiktiraf penglibatan ini sebagai salah satu Success Story RISE, khususnya melalui projek Pembangunan Varieti Padi Menggunakan Teknologi Biak Baka Mutasi serta integrasi Teknologi Benih Terawat bagi benih padi mutan dengan kerjasama Syarikat Haji Md. Nor bin Haji Abd. Rahman (M) Sdn. Bhd. Projek tersebut membuktikan potensi teknologi nuklear dalam meningkatkan ketahanan varieti padi dan menyokong peningkatan hasil pertanian negara.
Pengiktirafan ini diharap dapat memperkukuh usaha Nuklear Malaysia untuk terus memperluaskan kerjasama strategik dengan industri serta menggalakkan penglibatan lebih ramai pegawai dalam program RISE pada masa hadapan. Nuklear Malaysia kekal komited dalam memasyarakatkan kepakaran teknologi nuklear demi manfaat industri dan pembangunan teknologi negara.
SUNGKAI, 13 November 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melaksanakan inisiatif Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kruit (SMK Sungai Kruit), Sungkai, Perak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai usaha memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat sekolah luar bandar.
Program berteraskan nilai Malaysia MADANI ini bertujuan memperkasa komuniti pendidikan melalui inisiatif mampan, memupuk kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan serta menjadi pemangkin peningkatan kualiti hidup dan pembelajaran.

Pemilihan SMK Sungai Kruit, Sungkai, Perak sebagai Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia adalah berdasarkan komitmen tinggi pihak sekolah terhadap pendidikan STEM serta penglibatan aktif pelajar dan guru dalam pelbagai aktiviti sains dan inovasi.
Terletak di kawasan luar bandar, sekolah ini mencerminkan usaha berterusan Nuklear Malaysia memperluas akses pendidikan STEM dan diharap menjadi pusat rujukan komuniti bagi pembelajaran sains serta inovasi sosial untuk melahirkan masyarakat celik sains dan berdaya cipta.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin berkata, "sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi menaik taraf lantai serta memasang sistem pembesar suara di dewan sekolah. Inisiatif ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal malah bertujuan memperkukuh ekosistem pembelajaran yang kondusif untuk pelajar dan warga sekolah. Ia juga mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam menyokong Dasar Pendidikan Negara serta Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan penerapan ilmu sains dan teknologi nuklear secara bertanggungjawab, beretika dan berimpak tinggi kepada masyarakat".

"Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi di samping mendukung agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan insan melalui pendidikan yang inklusif dan berasaskan sains," tambah beliau.
Pada majlis sama, Nuklear Malaysia turut melancarkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menghimpunkan lebih 500 pelajar dari daerah Sungkai, Muallim, Batang Padang dan Kinta Selatan. Karnival ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang STEM selaras dengan usaha melahirkan generasi celik sains, berfikiran kritikal dan berinovasi tinggi yang mampu menyokong pembangunan negara berasaskan sains dan teknologi. Antara pengisian menarik adalah pameran robotik dan pertandingan STEM Explorace yang disertai oleh pelajar dari sekolah-sekolah yang terlibat.

Sejak tahun 1972, Nuklear Malaysia telah melaksanakan pelbagai program jangkau luar (Outreach) bagi memperkukuh kesedaran awam tentang sains dan teknologi nuklear melalui tiga inisiatif utama iaitu Program NEO@Schools, Nuclear Nexus@Community dan Explore@Nuclear.
Melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dan Karnival STEM ini, Nuklear Malaysia berhasrat memperkukuh pengetahuan STEM dan nuklear di peringkat akar umbi, seiring dengan usaha kerajaan memperkasakan pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat di bawah gagasan Malaysia MADANI.
BANGI, 3 November 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia)telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear (JTTN) Bil. 1/2025 pada 3 November 2025, bertempat di Bilik Persidangan, Nuklear Malaysia.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 33 orang ahli JTTN yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian, agensi kerajaan, Syarikat Milik Kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, syarikat swasta serta persatuan.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Nuklear Malaysia.
Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk membentangkan pencapaian outcome dan tiga kertas pertimbangan berkaitan sasaran utama Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. Selain itu, mesyuarat turut meneliti dan mencadangkan pindaan terhadap dua sasaran pelan tindakan DTNN 2030.

Hasil perbincangan Mesyuarat JTTN Bil. 1/2025ini akan diangkat untuk perbincangan lanjut di peringkat Jawatankuasa Pemandu Teknologi Nuklear Kebangsaan (JPTN) yang dijadualkan akan bersidang pada bulan Disember 2025.




