
BANGI, 27 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISiiC) dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Izni Syahrizal bin Ibrahim, Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Universiti, UTM.
Ketibaan rombongan telah disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, bersama barisan pengurusan atasan di Kompleks Utama Nuklear Malaysia, Bangi.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara UTM dan Nuklear Malaysia, khususnya dalam bidang latihan, penyelidikan, perkongsian ilmu, seminar, program pertukaran kakitangan, makmal pengujian, serta pembangunan makmal satelit.
Selain sesi perbincangan, rombongan UTM turut dibawa melawat fasiliti utama Nuklear Malaysia termasuk Makmal Ujian Tanpa Musnah (NDT), Makmal Standard Dosimetri Sekunder (SSDL), dan Makmal Fizik Perubatan (MPL).
Kunjungan hormat ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama serta menggalakkan perkongsian kepakaran antara Nuklear Malaysia dan UTM, sekali gus menyokong pembangunan teknologi nuklear negara yang lebih mampan dan progresif.

DENGKIL, 27 Ogos 2025– Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, telah menerima lawatan daripada pasukan Jabatan Pertanian Negeri Sabah ke plot penyelidikan biak baka varieti padi baharu di Agensi Nuklear Malaysia, Dengkil.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau potensi penggunaan benih titisan padi mutan termaju dalam usaha memperkukuh pembangunan varieti padi baharu di Sabah.
Terdahulu, pasukan ini turut melawat tapak kajian titisan padi mutan termaju di Sanglang, Kedah. Delegasi daripada Jabatan Pertanian Sabah terdiri daripada tiga orang pegawai iaitu En. Mohd Sabrie Salim (Pembiakbaka Padi), Pn. Noor Albannia Natasya Jabi (Ahli Entomologi), dan Pn. Norhayati Ahmad (Bahagian Biosekuriti & Kuarantin Tumbuhan).
Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam pembangunan varieti padi melalui teknik mutasi teraruh, yang berupaya meningkatkan daya tahan tanaman terhadap penyakit, mempercepatkan kitaran pembiakbakaan serta menghasilkan varieti padi dengan ciri agronomi yang lebih baik.
Usaha ini selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sekuriti makanan dan memastikan kelestarian sektor pertanian, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Lawatan ini diharapkan dapat membuka ruang kepada kerjasama strategik antara Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian Sabah dalam memperluas penggunaan teknologi nuklear bagi pembangunan industri padi negara, khususnya di Sabah.

BANGI, 27 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Pembangunan Profesional Kejuruteraan bersama Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bertempat di Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.
Mesyuarat ini merupakan kesinambungan daripada lawatan pihak BEM ke Nuklear Malaysia pada 18 Jun 2025, yang telah membuka ruang perbincangan berkenaan pelbagai potensi kerjasama strategik, termasuk:
- Pembangunan kapasiti dan kompetensi jurutera dalam teknologi nuklear
- Pemindahan teknologi serta amalan kejuruteraan selamat
- Pensijilan profesional dalam bidang tenaga dan teknologi nuklear
- Pengukuhan jaringan strategik antara kedua-dua organisasi
Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama yang lebih jelas dan berimpak tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga pakar tempatan yang kompeten, berintegriti tinggi, dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Kerjasama erat antara Nuklear Malaysia dan BEM ini adalah selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan aspek pembangunan modal insan, pemindahan teknologi, serta pengukuhan jaringan strategik dalam memastikan aplikasi teknologi nuklear dilaksanakan secara aman, selamat, beretika dan berdaya saing.
Dengan inisiatif ini, Nuklear Malaysia yakin bahawa sinergi bersama BEM akan terus memperkukuh ekosistem teknologi nuklear negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan negara.
Turut hadir, YBhg. Laksamana Pertama Dato' Ir. Dr. Ahmad Murad bin Omar, Pengerusi BEM Outreach, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Pengurusan, YBrs. Dr. Nor Pa’iza bin Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Ir. Mohd Noramil bin Mohd Daril, Pengarah Eksekutif BEM, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai Nuklear Malaysia.

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan tiga program utama berkaitan kualiti, keselamatan radiasi dan kelestarian dari 26 hingga 28 Ogos 2025 di Hotel Cititel Midvalley, Kuala Lumpur. Program yang disertai lebih 150 peserta ini dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah.
Antara program yang dilaksanakan ialah Symposium on Quality Management for Sustainability 2025, Kursus Radiation Safety and Health, dan Kursus Radiation Safety Awareness. Simposium bertemakan Driving Excellence Through Quality, Innovation and Sustainability in a Dynamic World ini mendapat sokongan agensi seperti Standards Malaysia, MPC, KIMIA Malaysia dan FMM, serta menampilkan 10 pembentang dan satu sesi forum profesional.
Dr. Muhammad Rawi dalam ucapannya menekankan bahawa budaya kualiti dan keselamatan perlu dijadikan amalan teras organisasi untuk menyokong pembangunan mampan. Kursus keselamatan radiasi pula menumpukan kepada pematuhan piawaian antarabangsa seperti garis panduan IAEA dan Akta 304.
Program ini turut menampilkan reruai interaktif yang mempamerkan teknologi terkini dalam pengurusan kualiti dan keselamatan, serta menyokong aspirasi negara di bawah Ekonomi MADANI, RMK-13, Dasar Kelestarian Negara dan Dasar Tenaga Negara 2050. Nuklear Malaysia optimis kerjasama rentas sektor akan memperkukuh agenda keselamatan dan kelestarian negara.

KOTA KINABALU, 18 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) serta Jabatan Tenaga Atom Malaysia (ATOM Malaysia) telah menganjurkan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025), yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menegaskan bahawa keselamatan sinaran bukan sekadar satu pilihan, malah merupakan keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan mahupun keselamatan.
Penganjuran persidangan edisi ke-28 ini membawa tema "Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection", yang menekankan bahawa keselamatan sinaran adalah tunjang utama bagi menjamin kelestarian serta daya tahan tenaga global.
Tema RPCW 2025 ini juga selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi, termasuk sektor tenaga dan air. Selaras dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat bagi memenuhi keperluan masa hadapan, aspek keselamatan sinaran kekal sebagai keutamaan.
Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan seramai 100 peserta yang terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan profesional teknikal. Sepanjang penganjuran RPCW 2025, sebanyak 19 kertas kerja teknikal akan dibentangkan, selain turut melibatkan sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan keselamatan sinaran.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa ucapan perasmian RPCW 2025
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (dari kiri) semasa kunjungan di reruai
Sebahagian daripada peserta yang menghadiri RPCW 2025

KUCHING, 13 Ogos 2025 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai Persidangan Padi Kebangsaan 2025 yang telah berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre Kuching, Sarawak.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pada majlis penutupan rasmi persidangan.
Dua poster penyelidikan yang menerima anugerah tersebut adalah:
1. "Ketulenan Benih Padi NMR152: Inisiatif Bioteknologi oleh Agensi Nuklear Malaysia"
- Penyelidik utama: Dr. Wan Dalila Wan Chik (Nuklear Malaysia)
2. "Titisan dan Adaptasi Titisan Biakbaka Siri-UPM dalam Ujian Pelbagai Lokasi, Projek SRF APP MOSTI Nuklear Malaysia kerjasama UPM"
- Penyelidik: Muhammad Mursyid Mohamad Shukri (GRA SRF, Universiti Putra Malaysia)
Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan penyelidikan Nuklear Malaysia serta komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan sektor pertanian negara melalui penggunaan teknologi nuklear yang selamat, inovatif dan mampan. Projek-projek ini dilaksanakan dengan sokongan Skim Dana Penyelidikan Strategik (SRF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Persidangan yang menghimpunkan penyelidik, agensi kerajaan, pemain industri dan petani dari seluruh negara ini membincangkan hala tuju serta inovasi terkini dalam sektor penanaman padi.
Sepanjang persidangan, Nuklear Malaysia turut mempamerkan hasil penyelidikan terkini melibatkan aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti padi melalui teknik mutasi teraruh dan pendekatan bioteknologi.
Penyertaan ini sekali gus memperkukuh kerjasama rentas agensi dan institusi bagi menjayakan pembangunan varieti padi baharu yang lebih tahan, berkualiti dan berdaya saing demi memastikan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.

KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah meluangkan masa mengunjungi reruai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sempena Program MADANI Rakyat 2025 yang berlangsung di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri diberi taklimat oleh pegawai penyelidik mengenai teknologi AMoRA hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) Nuklear Malaysia. Teknologi ini direka untuk menangani cabaran dalam proses pemetaan sinaran yang sebelum ini dijalankan secara manual dan berisiko tinggi.Robot ini beroperasi secara automatik untuk menjana titik pensampelan, merekod data sinaran serta menghasilkan peta sinaran terperinci tanpa memerlukan kehadiran manusia di kawasan berbahaya.
Reruai Nuklear Malaysia turut menampilkan Kebuk Awan (Cloud Chamber) iaitu peralatan khas untuk menjejak dan memeta sinaran yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera. Demonstrasi ini berjaya menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri aplikasi penyelidikan nuklear secara langsung.
Penyertaan Nuklear Malaysia dalam Program MADANI Rakyat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pelbagai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian serta peranannya dalam menyokong pembangunan negara.
Program MADANI Rakyat yang berlangsung selama tiga hari ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi mempamerkan inovasi dan perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Keilmuan, Kesejahteraan dan Keterangkuman dalam pembangunan negara.
Turut hadir, YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pegawai-pegawai kementerian.

KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai reruai pameran sempena Program MADANI Rakyat 2025 peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung bermula 7 hingga 9 Ogos 2025 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Penyertaan ini merupakan salah satu usaha untuk memupuk kesedaran awam mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian serta peranannya dalam pembangunan negara.
Antara tarikan utama di reruai Nuklear Malaysia ialah AMORA: Autonomous Mobile Robot for Accurate Radiation Detection and Mapping dan Kebuk Awan (Cloud Chamber) yang berjaya menarik perhatian pengunjung dengan demonstrasi teknologi berasaskan penyelidikan nuklear.
Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin bersama Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan turut hadir meninjau reruai tersebut. Mereka juga berpeluang beramah mesra dengan petugas serta pengunjung yang hadir.
Diharapkan penyertaan ini dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear yang selamat, aman dan bertanggungjawab di samping memperkukuh peranan Malaysia dalam memperkasa inovasi berteraskan sains dan teknologi di peringkat nasional.

KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa mengunjungi reruai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sempena Program MADANI Rakyat 2025 (PMR 2025) yang berlangsung di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim (dari tengah) teruja mendengar penerangan berkaitan teknologi nuklear yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) (dari kanan) semasa lawatan beliau di reruai Nuklear Malaysia.
Kunjungan beliau disambut oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi. YAB Perdana Menteri turut menerima taklimat ringkas mengenai peranan Nuklear Malaysia serta teknologi yang dipamerkan pada program kali ini.
Program MADANI Rakyat yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi mempamerkan inovasi dan perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Keilmuan, Kesejahteraan dan Keterangkuman dalam pembangunan negara.
Bagi edisi PMR 2025 Kelantan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai penganjur bersama.
PMR 2025 Kelantan menampilkan pelbagai tarikan istimewa dengan menyediakan lebih 150 perkhidmatan touchpoint yang melibatkan 21 reruai kementerian, agensi dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Nuklear Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian singgah di reruai serta memberi ruang untuk berkongsi perkembangan penyelidikan dan inovasi teknologi nuklear negara.

TUMPAT, 8 OGOS 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus mengorak langkah mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat melalui Program Satelit Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat bersempena Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di Jeti Kasih, Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.
Dengan tema “Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat” program ini mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyantuni rakyat melalui nilai keilmuan, kesejahteraan dan keterangkuman yang memperlihatkan bagaimana teknologi, inovasi dan penyelidikan (P&P) boleh dimanfaatkan secara langsung dalam kehidupan seharian masyarakat.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Projek Jeti Terapung Biokomposit yang menggunakan bahan mesra alam dan modul apungan khas hasil inovasi penyelidik Nuklear Malaysia. Jeti Kasih ini adalah salah satu inisiatif di bawah Kampung Angkat MADANI Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang berperanan sebagai pusat bantuan banjir, laluan operasi pasukan penyelamat dan tarikan pelancongan di Sungai Kelantan.
Selain itu, Projek Penanaman Padi di bawah Dana Penyelidikan Strategik (SRF) MOSTI juga diketengahkan. Berdasarkan hasil kajian ini, sebanyak 10 titisan padi termaju telah berjaya dihasilkan dengan kerjasama strategik seperti UPM, UKM, UiTM dan lain-lain pihak yang terlibat dalam industri padi di kawasan Melor dan Pasir Mas. Hasil awal kajian mendapati terdapat varieti benih padi yang mampu tumbuh dalam keadaan kekurangan air, matang awal, hasil tinggi dan juga tahan kepada penyakit utama tanaman padi.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pemilik Bot dan Rakit Pasir Pekan dengan penganjuran pertandingan memancing yang menjadi antara tarikan utama.
Turut diadakan pertandingan mewarna canting kemerdekaan, sukan rakyat, perkongsian ilmu berkaitan teknologi nuklear dan pameran interaktif teknologi nuklear serta pameran bergerak daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) agensi di bawah KPWKM.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang menegaskan pentingnya pendekatan "turun padang secara berfokus" dalam memperluas kefahaman dan kesedaran terhadap teknologi yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Komitmen ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan pemindahan ilmu, pengaplikasian sains dan teknologi secara inklusif dan merakyatkan teknologi nuklear untuk masa depan negara yang lebih lestari.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia, YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KPWKM.

MELOR, 8 Ogos 2025: YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan untuk mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Penanaman Varieti Benih Padi Baharu di Melor, Kelantan.
Projek penanaman varieti benih padi baharu yang menggunakan teknologi nuklear ini dibangunkan di bawah Projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF), iaitu salah satu inisiatif pembiayaan di bawah Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Projek ini dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih di Kelantan, termasuk Melor dan Pasir Mas, melibatkan kawasan seluas lima hektar.
Projek ini dibangunkan hasil kerjasama dengan pelbagai agensi seperti UPM, UKM, UiTM serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam industri padi. Menerusi projek SRF bertajuk 'Development and Commercialization of Climate-Resilient Rice Varieties to Increase National Yield Production', sebanyak 10 titisan padi termaju telah berjaya dihasilkan.
Kajian ini memberi penumpuan kepada penghasilan varieti padi yang tahan terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu, seperti banjir kilat dan kemarau panjang. Dapatan awal menunjukkan bahawa beberapa titisan padi termaju berpotensi untuk tumbuh dalam keadaan kekurangan air, matang lebih awal, menghasilkan hasil yang tinggi serta tahan terhadap penyakit utama tanaman padi.
Projek ini sejajar dengan usaha untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber makanan negara, disamping memperkasa petani dengan ilmu serta teknologi pertanian moden. Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan dan kecukupan makanan negara, serta mentransformasikan sektor pertanian menerusi kaedah yang lebih efisien, iaitu biak baka mutasi.
Turut hadir, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan, Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi serta pegawai-pegawai penyelidik daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) Nuklear Malaysia.

BANGI, 5 Ogos 2025 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan program Basic Radiation Knowledge for School Education (BRSE): Japan - Malaysia Alumni Engagement bertempat di Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM). Program ini menghimpunkan enam alumni dari Nuklear Malaysia yang pernah mengikuti latihan BRSE di Jepun, dan turut dihadiri oleh dua delegasi dari Jepun iaitu Mr. Ohkura Takehisa dan Ms. Yoko Watanabe yang mewakili Integrated Support Centre for Nuclear Nonproliferation, Security and Human Resource Development (ISCN) di bawah Agensi Tenaga Atom Jepun (JAEA).
Penganjuran sesi ini adalah bertujuan untuk menilai keberkesanan program BRSE dari sudut pembangunan sumber manusia serta impaknya terhadap kerjaya alumni yang telah menyertai latihan BRSE di Jepun. Pada masa yang sama, para alumni turut berpeluang untuk berkongsi pelaksanaan inisiatif pendidikan dan kesedaran awam berkaitan teknologi nuklear di peringkat kebangsaan, selain memberi maklum balas dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan kesinambungan program yang lebih berkesan pada masa hadapan.
Sebagai pelengkap kepada sesi ini, turut diadakan Pameran Mini Program Jangkau Luar Pendidikan Nuklear (NEO) yang mempamerkan bahan pendidikan interaktif, meter tinjau serta pencapaian inisiatif NEO Nuklear Malaysia. Pameran ini memberi gambaran menyeluruh tentang usaha berterusan agensi dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap kegunaan aman teknologi nuklear.
Program BRSE: Japan - Malaysia Alumni Engagement ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pendidikan nuklear, malah berjaya mengumpulkan input berharga daripada setiap alumni khususnya untuk memperkasa pembangunan modal insan negara dalam bidang teknologi nuklear. Hasil perbincangan dan pertukaran pandangan yang dicapai diyakini dapat menyumbang kepada pelaksanaan program yang lebih inklusif, berkesan dan relevan dengan keperluan semasa.