• MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY (NUKLEAR MALAYSIA) OFFICIAL PORTAL

post-image

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025 “MEMPERKASA PERKHIDMATAN AWAM AGENSI NUKLEAR MALAYSIA”

BANGI, 28 Januari 2025: Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah diadakan dengan tema Memperkasakan Perkhidmatan Awam sempena Perhimpunan Bulanan Bil.1/2025 di sini hari ini.

Dalam ucapan amanatnya, YBrs. Dr. Rosli Darmawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas dedikasi serta komitmen warga kerja Nuklear Malaysia dalam menjayakan agenda sains, teknologi dan inovasi nuklear sama ada di peringkat agensi dan negara.

"Pendekatan kerangka MADANI itu sendiri cukup luas dengan mengambil kira permasalahan keadilan sejagat. Dalam menyantuni rakyat melalui keprihatinan Agensi Nuklear Malaysia juga tidak ketinggalan. Pelbagai program telah dan akan terus dilaksanakan misalnya Kampung Angkat MADANI dan program SANTUNI MADANI".

Ujarnya lagi, ini adalah salah satu usaha penglibatan serta sumbangan agensi kerajaan khususnya Nuklear Malaysia dalam membantu rakyat meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat. Inovasi sosial memainkan peranan yang cukup penting dalam mencipta penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi, bagi mengatasi cabaran-cabaran sosial di peringkat akar umbi.

Bagi memperkuat komitmen terhadap nilai-nilai integriti, etika dan profesionalisme dalam kalangan warga Nuklear Malaysia, turut berlangsung acara lafaz ikrar integriti yang telah dipimpin oleh Encik Fitry  Kamaruzzaman, Ketua Unit Integriti Agensi Nuklear Malaysia.

Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, pengarah-pengarah bahagian serta warga kerja agensi.

 

post-image

LAWATAN KERJA YB TUAN CHANG LIH KANG, MENTERI SAINS, TEKNOLOGI & INOVASI (MOSTI) KE FASILITI REAKTOR TRIGA PUSPATI

BANGI, 21 Januari 2025 :YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), Agensi Nuklear Malaysia sambil diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) serta pegawai-pegawai kanan MOSTI.

Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia serta barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia. Pada sesi lawatan kerja ini, YB Menteri MOSTI telah diberikan penerangan berkaitan dengan fungsi dan peranan RTP sebagai sebuah reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia.

RTP merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia yang mula beroperasi pada 1982.  Sepanjang empat dekad yang lalu, RTP telah memainkan peranan penting dalam pembinaan kapasiti manusia, melatih penyelidik, jurutera dan juruteknik yang kini menjadi penyumbang utama kepada komuniti saintifik Malaysia. Reaktor penyelidikan ini juga telah menjadi alat pendidikan yang berharga, menyediakan latihan untuk pelajar dan pengendali serta memainkan peranan penting di dalam inisiatif kesedaran awam yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan tenaga atom secara aman. Dari 2015 hingga kini, lebih 1,000 pelajar, dari universiti tempatan dan antarabangsa telah memanafaat RTP untuk penyelidikan, latihan, dan projek tesis, memperoleh pengetahuan praktikal yang telah melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sains dan teknologi nuklear.

Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohd. Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta pengarah-pengarah bahagian Nuklear Malaysia.