post-image

BENGKEL PEMANTAPAN ISMS DAN POLISI KESELAMATAN SIBER (PKS) AGENSI NUKLEAR MALAYSIA: MEMPERKASA TATA KELOLA KESELAMATAN MAKLUMAT SIBER AGENSI

DENGKIL, 11 Jun 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melalui Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Bahagian Sokongan Teknikal (BST) telah mengadakan Bengkel Pemantapan ISMS dan Polisi Keselamatan Siber (PKS) bertempat di Dewan Besar, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Dengkil, Selangor. Bengkel yang berlangsung dari 9 hingga 11 Jun 2026 ini memfokuskan kepada pembangunan polisi, pemantapan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS), serta pematuhan penuh terhadap Akta Keselamatan Siber 2024. Objektif utama bengkel ini adalah untuk memastikan tadbir urus dan infrastruktur keselamatan siber agensi sentiasa kukuh, mampan, dan selaras dengan perundangan negara terkini demi melindungi infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII).

Program yang disempurnakan oleh Y. Brs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal Nuklear Malaysia ini dihadiri oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada wakil setiap bahagian di Nuklear Malaysia. Beberapa penceramah pakar daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), iaitu Y. Brs. Ts. Dr. Nurul Aisyah Sim binti Abdullah dan Puan Mageswary a/p Muniandy, serta penceramah daripada Nuklear Malaysia, iaitu Puan Siti Nurbahyah binti Hamdan telah dijemput untuk berkongsi maklumat dan kepakaran masing-masing. Manakala Ts. Mohd Dzul Aiman Bin Aslan pula bertindak sebagai fasilitator program. Pengisian program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta berhubung ancaman siber berkaitan teknologi maklumat (IT) dan teknologi operasi (OT) yang semakin meningkat pada masa kini, di samping memperkukuh kefahaman berkaitan undang-undang yang terlibat, polisi dalaman serta pendekatan pengurusan risiko yang boleh dilaksanakan di peringkat agensi.

 

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Atom Malaysia atas kesudian menyediakan kemudahan tempat yang amat selesa sepanjang bengkel ini berlangsung. Melalui penganjuran bengkel ini, Nuklear Malaysia membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan mendepani ancaman siber.