• MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY (NUKLEAR MALAYSIA) OFFICIAL PORTAL

post-image

Delegasi Nuklear Malaysia Sertai Persidangan Antarabangsa EPR2025 di Riyadh, Arab Saudi

RIYADH, 4 Disember 2025 — Persidangan Antarabangsa mengenai Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Nuklear dan Radiologi (EPR2025) anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan kerjasama Nuclear and Radiological Regulatory Commission (NRRC) Arab Saudi telah berlangsung di Riyadh dari 1 hingga 4 Disember 2025. Persidangan empat hari ini diadakan bagi mengenal pasti keutamaan global dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan (EPR), selaras dengan tema Building the Future in an Evolving World.

Acara EPR2025 menghimpunkan lebih 450 peserta daripada 100 negara dan empat organisasi antarabangsa, merangkumi pakar teknikal, pengawal selia, penyelidik serta pasukan respons kecemasan, yang berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing. Persidangan ini dibuka dengan ucapan rasmi daripada Presiden Persidangan, Khaled Al-Eissa, manakala Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi, menyampaikan mesej pembukaan rasmi melalui video.

Lima pegawai daripada Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah terpilih sebagai delegasi rasmi negara dalam persidangan EPR2025 ini. Mereka terlibat secara aktif dalam sesi perkongsian teknikal dan sesi pembentangan poster saintifik yang membincangkan isu berkaitan operasi, kesiapsiagaan, dan tindak balas kecemasan nuklear serta radiologi. Selain itu, delegasi ini turut menonjolkan keupayaan Malaysia dalam memperkukuh kapasiti nasional serta kerjasama serantau. Antara pegawai Nuklear Malaysia yang terlibat adalah Dr. Nur Aira Abd Rahman, Dr. Arymaswati Abdullah, Pn. Suzilawati Muhd Sarowi, Encik Nasaai Masngut dan Dr. Haizum Ruzanna.

Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh oleh delegasi Nuklear Malaysia dalam persidangan antarabangsa EPR2025 ini akan dimanfaatkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan nasional, meningkatkan kapasiti tindak balas, serta membangunkan strategi kecemasan yang lebih bersepadu dan berkesan pada masa hadapan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia, YBrs. Puan Hajah Noraishah Pungut bersama enam delegasi Malaysia yang lain iaitu dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Atom Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

post-image

MOSTI–Nuklear Malaysia Perkukuh Kerjasama Media dalam Memperkasa Promosi Teknologi Nuklear

BANGI, 3 Disember 2025– Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menganjurkan Program Media Showcase bersama pengamal media tempatan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia). Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman media mengenai perkembangan teknologi nuklear negara serta menyokong pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).

Program dimulakan dengan lawatan ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), iaitu satu-satunya reaktor penyelidikan negara yang dikendalikan oleh Nuklear Malaysia. Lawatan ini memberi peluang kepada pengamal media meninjau dengan lebih dekat operasi reaktor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, penyelidikan saintifik dan pelaksanaan aplikasi nuklear dalam sektor industri, perubatan, pertanian dan alam sekitar.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin turut menyampaikan taklimat khas mengenai perkembangan teknologi nuklear di Malaysia, termasuk peranan strategik agensi dalam penyelidikan, aplikasi dan pembangunan kapasiti selaras aspirasi DTNN 2030. Taklimat tersebut meliputi hala tuju penyelidikan, projek keselamatan nuklear, inovasi teknologi, pembangunan kepakaran tempatan, kerjasama antarabangsa serta usaha meningkatkan manfaat sosioekonomi kepada negara.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas sokongan berterusan mereka dan menyeru agar media terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berfakta mengenai teknologi nuklear kepada masyarakat.

Program Media Showcase ini menjadi platform interaktif yang mempertemukan MOSTI, Nuklear Malaysia dan pengamal media bagi memberi pendedahan terhadap demonstrasi teknologi, penjelasan dasar nuklear negara dan peranan MOSTI dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi nasional.

Inisiatif ini turut mengukuhkan hubungan strategik antara MOSTI, institusi penyelidikan dan media sebagai rakan penyampaian maklumat yang tepat dan bertanggungjawab dalam usaha meningkatkan literasi teknologi nuklear di Malaysia.
 

 

post-image

KSU MOSTI Lawat Projek Penaiktarafan Fasiliti Radioanalitikal Forensik Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air di Nuklear Malaysia

BANGI, 3 Disember 2025– Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad hari ini mengadakan lawatan kerja ke Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bagi meninjau perkembangan Projek Menaiktaraf Fasiliti dan Makmal Radioanalitikal Forensik Alam Sekitar serta Pengurusan Sumber Air di Blok 23, Kompleks Bangi.

Projek penaiktarafan tersebut merupakan usaha strategik kerajaan dalam memperkukuh keupayaan negara dalam bidang analitikal dan forensik alam sekitar, khususnya melibatkan pengesanan dan penilaian radioaktiviti serta pencemaran dalam alam sekitar dan sumber air. Langkah ini dijangka meningkatkan ketepatan analisis saintifik, menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (P&P), serta memenuhi keperluan perkhidmatan teknikal negara dalam bidang teknologi nuklear.

Sebagai pusat rujukan negara dalam analisis radioanalitikal forensik dan pemantauan sumber air, Nuklear Malaysia memainkan peranan penting melalui penggunaan teknologi nuklear moden. Agensi ini menjalankan pengesanan radionuklid dalam tanah, air, sedimen dan sampel biologi, sekali gus membolehkan penilaian risiko radiologi dilakukan dengan lebih komprehensif. Keupayaan ini turut menyokong agensi penguatkuasaan dan pihak berkaitan dalam menangani isu pencemaran radioaktif dan cabaran alam sekitar.

Lawatan kerja tersebut turut disertai oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin; Pengarah BIPST Kementerian Ekonomi, YBrs. Puan Zaiton binti Yahya; Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI, YBrs. Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin; pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri; serta pegawai Nuklear Malaysia.

Lawatan ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam memastikan infrastruktur teknikal negara terus diperkasa bagi menyokong pembangunan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.