INTEGRITI DAN PATRIOTISME ASAS PEMERKASAAN TEKNOLOGI NUKLEAR DEMI NEGARA
BANGI, 20 Julai 2026– Integriti dalam melaksanakan tugas serta semangat patriotik merupakan tonggak utama dalam memperkukuh peranan penjawat awam, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan teknologi nuklear terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 7/2026 yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Agensi Nuklear Malaysia.
Bertemakan "Kerja Berintegriti Memacu Jiwa Patriotik: Berbakti Demi Pertiwi", majlis tersebut mengangkat mesej penting mengenai penghayatan nilai integriti, amanah dan patriotisme dalam kalangan warga kerja sebagai pemangkin kepada kecemerlangan organisasi. Dalam amanatnya, YBrs. Dr. Muhammad Rawi berkata dunia kini berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, termasuk isu keterjaminan tenaga, perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan tenaga global serta peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga yang bersih, selamat dan boleh dipercayai.

Menurut beliau, teknologi nuklear semakin diiktiraf sebagai antara penyelesaian yang berpotensi memenuhi keperluan tersebut. Selain menyediakan sumber tenaga yang stabil dan mampan, teknologi ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bidang perubatan serta aplikasi industri berteknologi tinggi. "Di Malaysia, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah pembangunan bakat dan kepakaran nuklear secara berterusan, di samping membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan infrastruktur keselamatan dan pengawalseliaan yang mampan perlu diberi perhatian berterusan. Aspek keselamatan, sekuriti dan pematuhan terhadap peraturan mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan yang melibatkan teknologi nuklear. Pada masa yang sama, usaha mempertingkatkan kefahaman serta penerimaan masyarakat terhadap manfaat teknologi nuklear perlu terus diperkasakan. Ini kerana teknologi tersebut telah terbukti memberikan pelbagai manfaat dalam bidang perubatan, industri, pertanian dan kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Nuklear Malaysia agar terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan semangat patriotik demi memperkukuh peranan agensi dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear serta menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi bin Ali, barisan pengurusan serta warga Agensi Nuklear Malaysia.





