post-image

NLET 2025 PERKASA KEPIMPINAN SERANTAU DALAM TRANSISI TENAGA NUKLEAR

PUTRAJAYA, 8 September 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menganjurkan program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025 di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang berlangsung dari 8 hingga 14 September 2025 di Hotel Dorsett, Putrajaya.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip. Seramai 25 orang peserta dari 17 negara menyertai program ini. Penyertaan tersebut terdiri daripada penggubal dasar, jurutera, dan penyelidik yang mewakili pelbagai agensi tenaga serta institusi penyelidikan negara masing-masing.

YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI semasa Majlis Perasmian Program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025 di Hotel Dorsett, Putrajaya.

 

MTCP adalah inisiatif yang diterajui oleh KLN yang bertujuan untuk menggalakkan kerjasama pembangunan dan perkongsian pengetahuan antara negara-negara membangun, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda Kerjasama Selatan-Selatan.

Sesi penyerahan cenderahati oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia (dari kanan) kepada YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI (dari kiri)

 

Sepanjang program ini, para peserta mengikuti siri pembentangan yang disampaikan oleh pakar-pakar dari Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (ATOM Malaysia), MyPOWER Corporation, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan Malaysia Energy Literacy Program (MELP).

Antara komponen utama program adalah projek integrasi dasar selama dua hari, yang memberi pendedahan kepada peserta dalam membangunkan cadangan dasar peralihan tenaga berdasarkan latar belakang dan keperluan negara masing-masing. Selain itu, peserta turut dibawa melawat beberapa fasiliti strategik, termasuk reaktor penyelidikan nuklear negara, loji tenaga solar, loji janakuasa berasaskan arang batu dan gas asli, serta fasiliti pengurusan sisa radioaktif.

Sesi bergambar kumpulan bersama peserta Program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025

 

Penganjuran NLET 2025 ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan tenaga rendah karbon serta pelaksanaan teknologi nuklear yang selamat dan bertanggungjawab, sejajar dengan aspirasi global untuk mencapai Net Zero Emission menjelang tahun 2050.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, serta Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran NLET.