• MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY (NUKLEAR MALAYSIA) OFFICIAL PORTAL

img

KOTA BHARU, 27 April 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah melancarkan dua varieti benih baharu kenaf iaitu MK1 dan MK2. Majlis pelancaran varieti baharu ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.

Varieti baharu hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini menggunakan teknologi penyinaran gama. Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi disamping memberikan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.

Usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.

Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan berkenaan kegunaan kenaf sebagai biokomposit untuk penghasilan bahan binaan yang lebih berdaya saing dan mesra alam.

Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.

Turut hadir YBhg. Dato' Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Datuk Haji Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan YBrs. Dr. Zaiton binti Ahmad, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains,  Nuklear Malaysia.

 

img

KOTA BHARU, 27 April 2025 -YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Projek Jeti Kasih di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.

Jeti ini dibina menggunakan teknologi inovasi struktur terapung biokomposit yang mesra alam, terdiri daripada bahan biokomposit dan modul apungan 'radiation crosslinked HDPE (RX-HDPE)' yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar-pakar penyelidik daripada Nuklear Malaysia.

 

Menariknya, jeti ini juga dimanfaatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat untuk operasi menyelamat mangsa lemas dan kecemasan di sungai berkenaan.

Selain itu, jeti kasih ini juga digunakan oleh penduduk setempat untuk dijadikan sebagai pusat hub operasi menyelamat, pengkalan serta menjadi salah satu daya tarikan ekopelancongan.

 

img

JERANTUT, 15 April 2025 - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Floating Flood Disaster Command Centre(FLOODCOM) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

FLOODCOM merupakan pusat gerakan bencana banjir terapung pertama di Malaysia, yang dibangunkan bagi tujuan pengurusan bencana dan kecemasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Terletak di lokasi strategik di Kampung Bantal, struktur ini memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat, pemindahan mangsa, serta penyaluran bantuan kemanusiaan terutamanya ketika musim banjir.

Selain berfungsi sebagai pusat pengurusan kecemasan, FLOODCOM turut dilengkapi kemudahan komunikasi alternatif menggunakan frekuensi sangat tinggi (VHF) dan frekuensi tinggi (HF) bagi memastikan kesinambungan komunikasi ketika gangguan berlaku. Ia juga berperanan sebagai menara tinjau bagi pemantauan cuaca semasa, paras air sungai serta sebarang kejadian luar jangka.

Menariknya, struktur terapung ini juga berpotensi dijadikan tarikan pelancongan sebagai menara tinjau, sekali gus menambah nilai kepada produk pelancongan tempatan di kawasan Hulu Tembeling.

 

FLOODCOM dibina menggunakan bahan biokomposit mesra alam dan modul apungan jenis radiation crosslinkedHDPE (RX-HDPE) yang dibangunkan sepenuhnya oleh pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia). Pembangunannya melibatkan kajian makmal, pembangunan prototaip serta ujian lapangan sejak tahun 2009.

Projek inovatif ini dibiayai melalui geran di bawah Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai agensi pelaksana. Projek ini dijangka memberikan impak besar kepada komuniti setempat khususnya di mukim Hulu Tembeling.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, YBrs. Encik Abdullah bin Daud; Ketua Pegawai Eksekutif YIM, YBrs. Dr. Sharmila binti Mohamed Salleh; Ketua Pesuruhjaya APM, YAS Datuk KPj. (PA) Aminurrahim bin Mohamed, serta pegawai-pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.

 

img

JERANTUT, 13 Februari 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya meraih kejayaan menerusi Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) apabila mengungguli tiga projek penyelidikan yang dipertandingkan. Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) ini telah diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jerantut, Pahang pada 12 hingga 13 Februari 2025. Hadiah pemenang pertandingan CITEC telah disampaikan oleh YB. Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Bil

Kumpulan Inventor

Tajuk

Pingat

1.

 

Dr. Azuhar bin Ripin, Ts. Dr Mohamad Azman bin Che Mat Isa, Mohd Khalid bin Matori, Ts. Dr. Husaini bin Salleh, Ir., Wan Hazlinda binti Ismail, Asmaliza binti Hashim & Pairu bin Ibrahim

Flexi-Rad Joint as Architectural Radiation Shielding Compound

 

Emas

2.

Mustapha bin Akil, Faiz bin Ahmad, Dr. Zaiton binti Ahmad, Affrida binti Abu Hassan, Shakinah binti Salleh, Dr. Muniroh binti Md. Saad, Norazlina binti Noordin & Mohammad Nazri bin Romli

New Kenaf Mutant (ML5) Developed by Acute Gamma Irradiation

Emas

3.

Dr. Nor Azwin Shukri,Dr. Sarala a/p Selambakkannu,Pn. Norshafarina binti Ismail, Dr. Zulkafli bin Ghazali, En Pairu bin Ibrahim , En. Chan Chang Choy, En. Muhammad Hazim bin Muhammad Sayuti, Pn. Noora'tiqah binti Mohamad Fauzi, Pn. A'liya binti Abdul Laziz  & Dr. Norazrina binti Mat Jali

Radiation Crosslinked Halogen-Free Flame Retardant PVC Compound for Low Voltage Cable with Enhanced Fire Safety Performance

Platinum

 

Projek Flexi-Rad Joint as Architectural Radiation Shielding Compound telah memenangi pingat emas

 

Projek New Kenaf Mutant (ML5) Developed by Acute Gamma Irradiationtelah memenangi pingat emas

 

Projek Radiation Crosslinked Halogen-Free Flame Retardant PVC Compound for Low Voltage Cable with Enhanced Fire Safety Performance telah memenangi pingat Platinum

 

Peserta Nuklear Malaysia yang menyertai Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC 2025)