• MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY (NUKLEAR MALAYSIA) OFFICIAL PORTAL

img

BANGI, 30 Mei 2025- Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.5/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan dengan tema "Pekerja Kesuma Bangsa" bersempena dengan sambutan Hari Pekerja anjuran Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi.

YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapan amanatnya menyatakan sebagai agensi utama dalam bidang teknologi nuklear, warga Nuklear Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memastikan aplikasi teknologi ini terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara., sama ada dalam bidang perubatan, industri, pertanian mahupun alam sekitar.

Beliau turut menyeru agar sentiasa mengekalkan semangat kerja berpasukan, berinovasi dalam tugasan dan beriltizam untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti tinggi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil pasukan projek Floating Flood Disaster Command Centre (Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung). Projek ini telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dalam satu majlis perasmian yang berlangsung di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang pada April lalu.

Turut hadir YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Hasni binti Hasan, Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS), pengarah-pengarah bahagian serta warga Nuklear Malaysia.

 

img

KUALALUMPUR, 30 Mei 2025 –Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya memenangi dua pingat emas menerusi pertandingan 36th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2025). Pertandingan yang dianjurkan oleh C.I.S Network Sdn. Bhd ini telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 29 hingga 30 Mei 2025. Dua projek penyelidikan Nuklear Malaysia telah berjaya meraih kemenangan seperti berikut :

Bil

Kumpulan Inventor

Tajuk

Pingat

1.

 

Dr. Mohd Noorul Ikhsan bin Mohamed @ Ahmad,Dr. Ilham Mukriz bin Zainal Abidin & Asyraf Ariff bin Abu Bakar

WINDR–53 (Smart Winder for Industrial Radiography Application)

Emas

2.

Ts. Dr. Mohd Amirul Syafiq bin Mohd Yunos, Dr Soleha binti Mohamat Yusuff, Rayvin Josman & Nurliyana binti Abdullah.

Binturong Scan: An Innovative Bi-folding Interface Scanning Tools using Robust Nucleonic Gauge for Early Detection of Interface Level Problems in Horizontal Vessels and Pipelines

Emas

Penyertaan dalam ITEX 2025 ini bukan sahaja menonjolkan hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan, malah turut menjadi platform yang kondusif kepada penyelidik untuk meneroka, mewujudkan peluang kerjasama dan jaringan promosi produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penyertaan Nuklear Malaysia dalam ITEX 2025

 

Dr. Soleha binti Mohamat Yusuff mewakili Nuklear Malaysia menerima kedua-dua pingat emas di ITEX 2025

 

Pertandingan ini juga memberi pendedahan dan maklumat kepada pelbagai kumpulan sasar termasuk pemain industri dan orang awam mengenai aplikasi teknologi nuklear. Hal ini secara tidak langsung menyokong usaha negara dalam memperkukuh agenda inovasi dan pemindahan teknologi tempatan ke persada global.

 

img

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025– Sebuah buku ilmiah bertajuk "Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan" telah dilancarkan hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta turut dihadiri oleh Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menegaskan bahawa MOSTI komited untuk memperluas penggunaan teknologi strategik termasuk teknologi nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar. Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam hasil penyelidikan saintifik, malah memperkukuh usaha MOSTI untuk menyampaikan ilmu dan inovasi kepada rakyat secara inklusif dan berterusan.

Pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan. Penerbitan buku ini juga merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan MOSTI dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman disamping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.

Usaha ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara. Sejak awal 1990-an, Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih 30 varieti mutan tanaman dan sekitar 60% daripadanya adalah tanaman hiasan berbunga dan landskap.

Turut hadir, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato' Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Syukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP dan YM. Tengku Fauziah binti Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Umum.

 

img

TAWAU, 11 Mei 2025- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Program MADANI Rakyat yang telah berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Sabah. Penyertaan Nuklear Malaysia ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk kesedaran awam mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.

Antara tarikan utama di reruai kali ini adalah pameran Struktur Hidrodinamik Terapung Biokomposit (SHARK), yang merupakan inisiatif pembangunan struktur terapung menggunakan bahan biokomposit termaju. SHARK bertujuan untuk menggantikan penggunaan kayu bakau dalam pembinaan jeti terapung, sangkar akuakultur, dan bot pontoon dengan bahan biokomposit yang lebih lestari, mesra alam, dan tahan lama.

 

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, turut meluangkan masa untuk mengunjungi reruai MOSTI dan berinteraksi dengan para petugas serta pengunjung.

Diharapkan dengan penyertaan ini, kesedaran masyarakat tentang aplikasi teknologi nuklear yang selamat dan lestari akan terus dipertingkatkan, sekaligus memperkukuh peranan Malaysia dalam memajukan inovasi berteraskan sains dan teknologi di peringkat nasional.

 

img

BANGI, 8 Mei 2025: Bagi memastikan kesedaran dan kefahaman dalam menangani isu-isu ICT serta memberi kesedaran kepada peserta berkaitan kaedah untuk mengoptimakan penggunaan teknologi ICT sedia ada, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Program Hari Bersama ICT Nuklear Malaysia Tahun 2025 (HBICT2025) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11 dengan tema "Celik Digital Pemangkin Nuklear Madani".

 

YBrs. Dr. Rosli, Ketua Pengarah  Nuklear Malaysia dalam ucapan perasmiannya berkata, Revolusi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996 dan ICT memainkan peranan penting dalam mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang bersepadu bagi membolehkan rakyat berinteraksi.

Ujarnya lagi, apabila berlakunya revolusi maka akan wujud persekitaran dengan pelbagai cabaran yang akan menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dan dapat memenuhi jangkaan dan keperluan pelanggan dan pemegang taruh.

Antara pengisian utama program ini termasuklah ceramah berkenaan dasar keselamatan siber, taklimat pengurusan media sosial organisasi serta perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman jenayah siber dan aplikasi internet benda (IoT) dalam penyelidikan dan pembangunan nuklear.

Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Mohamad Safuan bin Sulaiman, Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Aplikasi (PTM) serta warga Nuklear Malaysia.

 

img

BANGI, 5 Mei 2025— Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, telah merasmikan Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mei di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Bangi, Agensi Nuklear Malaysia. Bengkel ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Penyelia Kawasan (JKPK), Agensi Nuklear Malaysia.

Dalam ucapannya, Dr. Rosli Darmawan menegaskan bahawa sebagai organisasi yang tersenarai dalam Sasaran Penting Keutamaan 1 serta diwartakan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), aspek keselamatan dan sekuriti nuklear menjadi tanggungjawab penting, bukan sahaja untuk agensi tetapi juga untuk negara.

Sekitar sesi taklimat semasa berlangsungnya Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025

 

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan (lima dari kiri) bergambar kumpulan bersama para peserta Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 yang hadir.

 

Beliau berharap bengkel ini dapat terus menjadi platform utama dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kecekapan peserta untuk mengurus serta menangani sebarang insiden kecemasan dengan lebih sistematik dan berkesan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penyelia Kawasan, YBrs. Encik Yii Mei Wo.

 

img

PUTRAJAYA, 2 Mei 2025— Sempena Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan Khas sebagai Rakan Strategik MPOB.

Majlis yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya ini menyaksikan YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi menyampaikan sijil kepada YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Acara ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-25 MPOB dan menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam memajukan industri sawit negara.

Nuklear Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MPOB atas pengiktirafan ini dan berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan demi memajukan industri sawit negara.

Turut hadir YBhg. Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), YBhg. Dato' Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi dan YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

 

img

MYANMAR, 2 Mei 2025 -Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di arena antarabangsa melalui penglibatan aktif dalam inisiatif keselamatan infrastruktur global. Baru-baru ini, dua pakar dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), iaitu YBrs. Dr. Mohd Noorul Ikhsan bin Mohamed dan Encik Nor Azreen bin Masenwat, telah menyertai Misi Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT). Misi ini berlangsung selama lima hari, bermula dari 28 April hingga 2 Mei 2025 di Myanmar.

Misi ini bertujuan untuk membantu Myanmar menilai kerosakan struktur akibat gempa bumi yang melanda negara tersebut pada 28 Mac 2025. Menerusi teknologi NDT, pemeriksaan dapat dilakukan tanpa merosakkan struktur sedia ada, sekali gus memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap integriti dan keselamatan struktur tersebut untuk kegunaan jangka panjang.

Penyertaan Malaysia dalam misi ini menunjukkan kepakaran negara dalam teknologi NDT serta komitmen negara terhadap keselamatan infrastruktur di peringkat serantau dan global. Sebagai negara anggota aktif IAEA, Malaysia melalui Nuklear Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknikal dan memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam pengurusan bencana.

Misi di Myanmar ini turut mengukuhkan penglibatan Malaysia dalam pelbagai operasi bantuan teknikal IAEA, termasuk di Mexico (2017), Albania (2019), Lubnan (2021), Ecuador (2023), Turkiye (2024), dan Syria (2024). Ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam menyumbang kepakaran bagi keselamatan sejagat, khususnya dalam bidang kejuruteraan awam pasca-bencana.

Komitmen berterusan Nuklear Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju dalam teknologi NDT, tetapi juga memperlihatkan peranan strategik Malaysia sebagai rakan global yang dipercayai dalam memperkasa keselamatan struktur dan kelestarian infrastruktur di seluruh dunia.