MALAYSIA-JEPUN JALIN KERJASAMA MENERUSI NTC
BANGI, 27 Februari 2025: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Jepun (JAEA) telah menganjurkan National Training Course (NTC) bermula daripada 17 hingga 28 Februari 2024 bertempat di Kompleks Utama, Nuklear Malaysia. Ketibaan delegasi kedutaan Jepun telah disambut oleh YBrs. Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.
YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia (dari tengah) bergambar kumpulan bersama barisan delegasi daripada kedutaan Jepun serta barisan pengurusan Nuklear Malaysia serta kementerian.
Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk membangunkan dan mengukuhkan modal insan dalam bidang Kejuruteraan Reaktor, Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi dan Nuklear, dan Pemantauan Keradioaktifan Alam Sekitar serta mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan teknikal dalam kalangan tenaga pakar tempatan.
Peserta NTC terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi, antaranya Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (JTA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, serta beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Kepelbagaian latar belakang peserta ini memastikan bahawa pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan secara menyeluruh dalam pelbagai sektor yang berkaitan.
Bagi penganjuran kali ini, kedutaan Jepun di Malaysia yang diwakili Mr. Saito Yukiyoshi telah berkesempatan untuk turut serta dalam sesi simulasi kesiapsiagaan kecemasan radiologi dan nuklear.
Para delegasi daripada kedutaan Jepun turut dibawa melawat ke fasiliti Reaktor Triga PUSPATI (RTP) di Agensi Nuklear Malaysia
Sekitar sesi simulasi bagi Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi & Nuklear yang telah diadakan pada program National Training Course (NTC)
Sepanjang 12 tahun penganjuran NTC di Malaysia (tahun 2012 sehingga tahun 2025), sejumlah 720 orang peserta telah dilatih menerusi kursus NTC dan dijangka jumlah ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. NTC telah memberi sumbangan yang signifikan kepada negara dalam pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang kejuruteraan reaktor, kesiapsiagaan kecemasan radiologi dan nuklear, serta pemantauan keradioaktifan alam sekitar, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran asing. Selain itu, pengukuhan kesiapsiagaan nasional dicapai melalui latihan intensif dan simulasi senario kecemasan yang realistik, yang memastikan Malaysia lebih bersedia dalam menghadapi sebarang insiden radiologi nuklear.
Program ini berhasil memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama dalam bidang teknologi nuklear melalui kolaborasi dengan JAEA dan negara-negara Asia yang lain. NTC turut menyokong kepada pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 sebagai komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan penggunaan teknologi nuklear secara aman bagi pembangunan negara.
Sekitar sesi simulasi bagi Kesiapsiagaan Kecemasan Radiologi & Nuklear yang telah diadakan pada program National Training Course (NTC)
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang nuklear, malah menyumbang kepada pembangunan teknologi nuklear yang selamat dan mampan di Malaysia.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Puan Azilatul Adilah Azizan, Penolong Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi (TSA) MOSTI serta pegawai-pegawai daripada Nuklear Malaysia.