
Bengkel Sinaran Sempena Karnival STEM SKM Sungkai, Perak
Sungkai, Perak – 10 Julai 2025: Seramai 50 pelajar Tingkatan 3 hingga 5 telah menyertai Bengkel Sinaran sempena Karnival STEM SMK Sungai, Perak. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal tentang kewujudan sinaran semula jadi dalam kehidupan seharian, serta membina kefahaman bahawa teknologi nuklear bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah Nuclear Talk: Pengenalan Agensi Nuklear Malaysia dan Aplikasi Teknologi Nuklear, Mini Eksperimen Kebuk Awan (Cloud Chamber) dan Hakaru-kun.
Bengkel Kebuk Awan dilaksanakan secara manual menggunakan ais kering dan alkohol, tanpa sistem elektrik Peltier. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman unik, malah memperkukuh pemahaman pelajar terhadap konsep sinaran dan zarah radioaktif, di samping mengasah kreativiti dan kemahiran saintifik mereka.
Sementara itu, Bengkel Hakaru-kun memberi peluang kepada pelajar menggunakan alat pengesan sinaran jenis mudah alih buatan Jepun. Alat ini digunakan untuk mengukur dos dedahan sinaran daripada pelbagai sumber, termasuk sinaran latar semula jadi dan sebahagian sinaran dari angkasa lepas.
Bengkel ini secara keseluruhannya telah memberikan pengalaman pembelajaran yang aktif, menyeronokkan dan berimpak tinggi. Nuklear Malaysia berharap agar pendedahan ini dapat memupuk minat pelajar terhadap bidang sains nuklear, serta meningkatkan kesedaran mereka tentang penggunaan teknologi ini secara aman.