post-image

KERJASAMA UTHM-AGENSI NUKLEAR MALAYSIA PERKUKUH PEMBANGUNAN MODAL INSAN TEKNOLOGI NUKLEAR

BANGI, 17 Ogos 2026 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh kerjasama penyelidikan dengan institusi pendidikan tinggi dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan pendedahan akademik terhadap teknologi nuklear melalui sesi perbincangan bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Kompleks Bangi, hari ini.

Sesi tersebut diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Nor Akmal binti Mohd Jamail, Ketua Jabatan FKEE, UTHM dan disambut oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia bersama pengarah-pengarah bahagian dan pegawai-pegawai Nuklear Malaysia.

Perbincangan antara kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada cadangan pembangunan silibus kursus “Nuclear Technology for Electrical Energy Generation” yang bakal dibangunkan oleh FKEE, UTHM. Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperluas pengetahuan dan kefahaman pelajar bidang kejuruteraan terhadap teknologi nuklear, khususnya meliputi prinsip, aplikasi serta potensi teknologi nuklear dalam penjanaan tenaga elektrik.

Perbincangan turut merangkumi perkongsian kepakaran dan pengalaman teknikal Nuklear Malaysia bagi menyokong pembangunan kandungan silibus yang relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan pembangunan modal insan negara.

Selain sesi perbincangan, pihak UTHM turut berpeluang melihat sendiri beberapa fasiliti utama Nuklear Malaysia termasuk Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), Makmal Standard Dosimetri Sekunder (SSDL), Makmal Radiographic Testing Digital (RTD) serta makmal-makmal penyelidikan yang berkaitan.

Pendedahan ini memberi gambaran secara langsung mengenai kepelbagaian kemudahan penyelidikan dan kepakaran yang terdapat di Nuklear Malaysia, merangkumi bidang aplikasi teknologi nuklear, dosimetri dan perlindungan sinaran, pencirian serta pengujian bahan, teknologi NDT dan penyelidikan berkaitan.

Selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) usaha ini dilihat dapat memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kapasiti kepakaran serta membangunkan ekosistem pendidikan dan penyelidikan teknologi nuklear yang berdaya saing.

Nuklear Malaysia komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama penyelidikan dengan institusi pendidikan tinggi bagi menyokong pembangunan bakat tempatan serta memperkukuh penguasaan ilmu dan kepakaran dalam bidang teknologi nuklear demi manfaat negara.