post-image

AGENSI NUKLEAR MALAYSIA GIAT LAKSANA INISIATIF PELAN TINDAKAN DTNN 2030

BANGI, 15 Julai – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 di Kompleks Nuklear Malaysia, baru-baru ini.  Bengkel selama tiga hari yang bermula pada Isnin itu bertujuan membentangkan status terkini pelaksanaan strategi, langkah dasar, Program Flagship serta pencapaian sasaran yang digariskan di bawah Pelan Tindakan DTNN 2030.

Melalui bengkel ini, lima outcome DTNN 2030 berjaya dibentangkan, termasuk sumbangan teknologi nuklear terhadap pertumbuhan ekonomi negara menerusi peningkatan nilai eksport produk berasaskan teknologi nuklear yang dihasilkan syarikat tempatan.  Pelaksanaan DTNN 2030 dijangka mampu meningkatkan nilai eksport produk nuklear tempatan kepada RM2.403 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus.

Sasaran tersebut menunjukkan peningkatan drastik berbanding data asas bagi tempoh tahun 2016 hingga 2020, yang mana nilai eksport tahunan negara ketika itu sekadar berada pada paras antara RM578 juta hingga RM656 juta.  Malah, bagi tempoh 2021 hingga 2025 sahaja, jumlah nilai eksport produk nuklear tempatan telah mencecah RM6.21 bilion, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan di bawah DTNN 2030.  Pencapaian luar biasa ini membuktikan sains dan teknologi nuklear memberi impak positif yang sangat signifikan kepada ekonomi negara, khususnya dalam mendepani fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Bengkel ini turut menjadi platform utama untuk membentangkan perkembangan dua sasaran strategik negara, iaitu pembangunan Hub Pengeluaran Radioisotop dan Radiofarmaseutikal Berpusat serta Pusat Repositori Sisa Radioaktif Kebangsaan.  Selain daripada itu, sesi perbincangan juga memberi tumpuan kepada isu-isu berbangkit serta langkah penyelesaian bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) Nuklear Malaysia, Dr. Nor Pa'iza Mohamad Hasan.  Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menghimpunkan wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibatsecara langsung dalam memperkukuh pelaksanaan DTNN 2030 serta memacu agenda pembangunan dan pemerkasaan teknologi nuklear yang aman, selamat dan mampan di Malaysia.