post-image

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Pembangunan Siklotron 30 MeV Bil. 1/2026

BANGI, 2 April 2026 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Pembangunan Siklotron 30 MeV pada 2 April 2026, bertempat di Bilik Persidangan, Nuklear Malaysia.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, dan dihadiri oleh seramai 35 orang ahli Jawatankuasa Pelaksana yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC).

Tujuan mesyuarat pertama ini diadakan adalah untuk membincangkan hala tuju projek pembangunan Siklotron 30 MeV di Malaysia, di samping membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Pembangunan Siklotron 30 MeV.

Jawatankuasa ini ditubuhkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Teknologi Nuklear Kebangsaan (JPTN) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Seri Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 12 Disember 2025.

Pembangunan kemudahan Siklotron 30 MeV ini merupakan salah satu daripada 13 sasaran utama Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 serta menyokong pelaksanaan Pelan Strategik Negara untuk Program Kawalan Kanser 2021–2025.

Kemudahan ini dijangka berperanan sebagai hab pengeluaran radioisotop perubatan berpusat di Malaysia, sekali gus mempertingkatkan perkhidmatan perubatan nuklear negara, termasuk dalam aspek pengesanan dan rawatan kanser.