
NUKLEAR MALAYSIA, LKTN LANCAR VARIETI BENIH BAHARU KENAF
KOTA BHARU, 27 April 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah melancarkan dua varieti benih baharu kenaf iaitu MK1 dan MK2. Majlis pelancaran varieti baharu ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.
Varieti baharu hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini menggunakan teknologi penyinaran gama. Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi disamping memberikan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.
Usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.
Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan berkenaan kegunaan kenaf sebagai biokomposit untuk penghasilan bahan binaan yang lebih berdaya saing dan mesra alam.
Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.
Turut hadir YBhg. Dato' Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Datuk Haji Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Nuklear Malaysia dan YBrs. Dr. Zaiton binti Ahmad, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains, Nuklear Malaysia.