post-image

AGENSI NUKLEAR MALAYSIA PERKUKUHKAN LITERASI DALAM PENGURUSAN KUALITI, KESELAMATAN RADIASI DAN KELESTARIAN

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan tiga program utama berkaitan kualiti, keselamatan radiasi dan kelestarian dari 26 hingga 28 Ogos 2025 di Hotel Cititel Midvalley, Kuala Lumpur. Program yang disertai lebih 150 peserta ini dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah.

Antara program yang dilaksanakan ialah Symposium on Quality Management for Sustainability 2025, Kursus Radiation Safety and Health, dan Kursus Radiation Safety Awareness. Simposium bertemakan Driving Excellence Through Quality, Innovation and Sustainability in a Dynamic World ini mendapat sokongan agensi seperti Standards Malaysia, MPC, KIMIA Malaysia dan FMM, serta menampilkan 10 pembentang dan satu sesi forum profesional.

Dr. Muhammad Rawi dalam ucapannya menekankan bahawa budaya kualiti dan keselamatan perlu dijadikan amalan teras organisasi untuk menyokong pembangunan mampan. Kursus keselamatan radiasi pula menumpukan kepada pematuhan piawaian antarabangsa seperti garis panduan IAEA dan Akta 304.

Program ini turut menampilkan reruai interaktif yang mempamerkan teknologi terkini dalam pengurusan kualiti dan keselamatan, serta menyokong aspirasi negara di bawah Ekonomi MADANI, RMK-13, Dasar Kelestarian Negara dan Dasar Tenaga Negara 2050. Nuklear Malaysia optimis kerjasama rentas sektor akan memperkukuh agenda keselamatan dan kelestarian negara.