
PENGANJURAN RPCW 2025 PERKUKUH PENGGUNAAN TEKNOLOGI NUKLEAR SECARA SELAMAT
KOTA KINABALU, 18 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) serta Jabatan Tenaga Atom Malaysia (ATOM Malaysia) telah menganjurkan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025), yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri MOSTI menegaskan bahawa keselamatan sinaran bukan sekadar satu pilihan, malah merupakan keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan mahupun keselamatan.
Penganjuran persidangan edisi ke-28 ini membawa tema "Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection", yang menekankan bahawa keselamatan sinaran adalah tunjang utama bagi menjamin kelestarian serta daya tahan tenaga global.
Tema RPCW 2025 ini juga selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi, termasuk sektor tenaga dan air. Selaras dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat bagi memenuhi keperluan masa hadapan, aspek keselamatan sinaran kekal sebagai keutamaan.
Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan seramai 100 peserta yang terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan profesional teknikal. Sepanjang penganjuran RPCW 2025, sebanyak 19 kertas kerja teknikal akan dibentangkan, selain turut melibatkan sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan keselamatan sinaran.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa ucapan perasmian RPCW 2025
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (dari kiri) semasa kunjungan di reruai
Sebahagian daripada peserta yang menghadiri RPCW 2025