NUKLEAR MALAYSIA - JBPM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK SELARAS DTNN 2030
PUTRAJAYA, 19 Januari 2026 – YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P), khususnya berkaitan aplikasi sains dan teknologi nuklear serta teknologi sokongan yang berpotensi dimanfaatkan bersama.

Inisiatif ini adalah selaras dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang menekankan pemerkasaan dan penggunaan teknologi nuklear secara menyeluruh bagi memperkukuh aspek keselamatan, kesejahteraan dan pertahanan negara melalui inovasi berteraskan sains dan teknologi.


Perbincangan ini diharapkan dapat mempertingkatkan kerjasama strategik antara Nuklear Malaysia dan JBPM dalam memperkasakan aspek keselamatan, kesiapsiagaan serta inovasi teknologi, demi kesejahteraan dan keselamatan negara. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi DTNN 2030 untuk memperluaskan impak teknologi nuklear dalam sektor awam dan keselamatan.
Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut ialah YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), YBrs. Dr. Hasni binti Hassan, Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, serta pegawai-pegawai Nuklear Malaysia.








