
LAWATAN KERJA YB TUAN CHANG LIH KANG, MENTERI SAINS, TEKNOLOGI & INOVASI (MOSTI) KE FASILITI REAKTOR TRIGA PUSPATI
BANGI, 21 Januari 2025 :YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), Agensi Nuklear Malaysia sambil diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) serta pegawai-pegawai kanan MOSTI.
Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia serta barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia. Pada sesi lawatan kerja ini, YB Menteri MOSTI telah diberikan penerangan berkaitan dengan fungsi dan peranan RTP sebagai sebuah reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia.
RTP merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia yang mula beroperasi pada 1982. Sepanjang empat dekad yang lalu, RTP telah memainkan peranan penting dalam pembinaan kapasiti manusia, melatih penyelidik, jurutera dan juruteknik yang kini menjadi penyumbang utama kepada komuniti saintifik Malaysia. Reaktor penyelidikan ini juga telah menjadi alat pendidikan yang berharga, menyediakan latihan untuk pelajar dan pengendali serta memainkan peranan penting di dalam inisiatif kesedaran awam yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan tenaga atom secara aman. Dari 2015 hingga kini, lebih 1,000 pelajar, dari universiti tempatan dan antarabangsa telah memanafaat RTP untuk penyelidikan, latihan, dan projek tesis, memperoleh pengetahuan praktikal yang telah melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sains dan teknologi nuklear.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohd. Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta pengarah-pengarah bahagian Nuklear Malaysia.