
Nuklear Malaysia Terima Kunjungan Hormat dari ISiiC dan PPMU UTM
BANGI, 27 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISiiC) dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Izni Syahrizal bin Ibrahim, Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Universiti, UTM.
Ketibaan rombongan telah disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, bersama barisan pengurusan atasan di Kompleks Utama Nuklear Malaysia, Bangi.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara UTM dan Nuklear Malaysia, khususnya dalam bidang latihan, penyelidikan, perkongsian ilmu, seminar, program pertukaran kakitangan, makmal pengujian, serta pembangunan makmal satelit.
Selain sesi perbincangan, rombongan UTM turut dibawa melawat fasiliti utama Nuklear Malaysia termasuk Makmal Ujian Tanpa Musnah (NDT), Makmal Standard Dosimetri Sekunder (SSDL), dan Makmal Fizik Perubatan (MPL).
Kunjungan hormat ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama serta menggalakkan perkongsian kepakaran antara Nuklear Malaysia dan UTM, sekali gus menyokong pembangunan teknologi nuklear negara yang lebih mampan dan progresif.