post-image

TEKNOLOGI NUKLEAR PERKASA KOMUNITI: SANTUNI RAKYAT KELANTAN DEMI ASPIRASI MADANI

TUMPAT, 8 OGOS 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus mengorak langkah mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat melalui Program Satelit Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat bersempena Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di Jeti Kasih, Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.

Dengan tema “Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat” program ini mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyantuni rakyat melalui nilai keilmuan, kesejahteraan dan keterangkuman yang memperlihatkan bagaimana teknologi, inovasi dan penyelidikan (P&P) boleh dimanfaatkan secara langsung dalam kehidupan seharian masyarakat.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Projek Jeti Terapung Biokomposit yang menggunakan bahan mesra alam dan modul apungan khas hasil inovasi penyelidik Nuklear Malaysia. Jeti Kasih ini adalah salah satu inisiatif di bawah Kampung Angkat MADANI Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang berperanan sebagai pusat bantuan banjir, laluan operasi pasukan penyelamat dan tarikan pelancongan di Sungai Kelantan.

Selain itu, Projek Penanaman Padi di bawah Dana Penyelidikan Strategik (SRF) MOSTI juga diketengahkan. Berdasarkan hasil kajian ini, sebanyak 10 titisan padi termaju telah berjaya dihasilkan dengan kerjasama strategik seperti UPM, UKM, UiTM dan lain-lain pihak yang terlibat dalam industri padi di kawasan Melor dan Pasir Mas. Hasil awal kajian mendapati terdapat varieti benih padi yang mampu tumbuh dalam keadaan kekurangan air, matang awal, hasil tinggi dan juga tahan kepada penyakit utama tanaman padi.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pemilik Bot dan Rakit Pasir Pekan dengan penganjuran pertandingan memancing yang menjadi antara tarikan utama.

Turut diadakan pertandingan mewarna canting kemerdekaan, sukan rakyat, perkongsian ilmu berkaitan teknologi nuklear dan pameran interaktif teknologi nuklear serta pameran bergerak daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) agensi di bawah KPWKM.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang menegaskan pentingnya pendekatan "turun padang secara berfokus" dalam memperluas kefahaman dan kesedaran terhadap teknologi yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Komitmen ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan pemindahan ilmu, pengaplikasian sains dan teknologi secara inklusif dan merakyatkan teknologi nuklear untuk masa depan negara yang lebih lestari.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia, YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KPWKM.