
Teknologi Nuklear Perkukuh Usaha Pembangunan Padi Baharu di Sabah
DENGKIL, 27 Ogos 2025– Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, telah menerima lawatan daripada pasukan Jabatan Pertanian Negeri Sabah ke plot penyelidikan biak baka varieti padi baharu di Agensi Nuklear Malaysia, Dengkil.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau potensi penggunaan benih titisan padi mutan termaju dalam usaha memperkukuh pembangunan varieti padi baharu di Sabah.
Terdahulu, pasukan ini turut melawat tapak kajian titisan padi mutan termaju di Sanglang, Kedah. Delegasi daripada Jabatan Pertanian Sabah terdiri daripada tiga orang pegawai iaitu En. Mohd Sabrie Salim (Pembiakbaka Padi), Pn. Noor Albannia Natasya Jabi (Ahli Entomologi), dan Pn. Norhayati Ahmad (Bahagian Biosekuriti & Kuarantin Tumbuhan).
Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam pembangunan varieti padi melalui teknik mutasi teraruh, yang berupaya meningkatkan daya tahan tanaman terhadap penyakit, mempercepatkan kitaran pembiakbakaan serta menghasilkan varieti padi dengan ciri agronomi yang lebih baik.
Usaha ini selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sekuriti makanan dan memastikan kelestarian sektor pertanian, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Lawatan ini diharapkan dapat membuka ruang kepada kerjasama strategik antara Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian Sabah dalam memperluas penggunaan teknologi nuklear bagi pembangunan industri padi negara, khususnya di Sabah.