post-image

NUKLEAR MALAYSIA RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA DI ICEEB 2025, KOREA SELATAN

JEJU, 26 Julai 2025 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus melakar kejayaan apabila wakilnya, Dr. Asma Aris dinobatkan sebagai Pembentang Oral Terbaik di 14th International Conference on Environment, Energy and Biotechnology (ICEEB 2025) yang berlangsung di Jeju National University, Korea Selatan.

Persidangan ini menghimpunkan lebih 100 penyelidik dari seluruh dunia termasuk Jepun, China, Korea, Turkiye, Kanada, Qatar, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Pengiktirafan diberikan kepada penyelidikan Dr. Asma yang bertajuk Characterisation of Quality, Physicochemical Properties and Microbial Diversity of Soil in Non-Granary Rice Cultivation Area. Kajian ini mengetengahkan pemprofilan mikroorganisma tanah dalam sistem tanaman padi mutan termaju (advanced rice mutant lines) di luar jelapang padi dengan memberi tumpuan terhadap tiga komponen utama kesihatan tanah dari ciri fizikal, kimia dan biologi serta hubungannya dengan pencapaian hasil tanaman.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Sesi iaitu Associate Professor Yukichika Kawata dari Universiti Kindai, Jepun. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam penyelidikan berimpak tinggi serta penglibatan aktif di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara, Agensi Nuklear Malaysia kekal komited dalam menerajui inovasi sains dan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, seiring dengan slogan "Nuklear untuk Rakyat".