post-image

MALAYSIA KONGSI STRATEGI KOMUNIKASI NUKLEAR DAN PENGLIBATAN PEMEGANG TARUH DI FNCA, TOKYO

TOKYO, 5 Februari2026 — Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuhkan peranan strategiknya di peringkat serantau menerusi penyertaan aktif dalam Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) 2026 yang dianjurkan oleh Japan Atomic Energy Commission (JAEC), Cabinet Office of Japan (CAO) di Mita Conference Hall, Tokyo dan secara dalam talian melalui Webex.


Wakil Malaysia, Dr. Haizum Ruzanna Sahar telah membentangkan kajian kes dan laporan kemajuan negara menerusi tajuk Malaysian Perspective: Building Public Trust in Nuclear Technology. Pembentangan tersebut memperincikan naratif strategi dan inisiatif komunikasi awam yang diterajui Nuklear Malaysia khususnya dalam memperkukuh kepercayaan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi nuklear. Beliau turut menekankan keberkesanan komunikasi risiko, pemerkasaan pendidikan nuklear serta penglibatan aktif pemegang taruh. Sesi tersebut diteruskan dengan diskusi interaktif melalui slot soal jawab (Q&A) bersama pakar-pakar antarabangsa bagi memperincikan amalan terbaik serta strategi mendepani cabaran komunikasi di peringkat global.

Menerusi program FNCA 2026 ini juga, Dr. Haizum Ruzanna turut diundang sebagai panelis jemputan bagi sesi forum yang bertemakan Challenges and Opportunities for Introducing Nuclear Power Programmes. Forum yang dipengerusikan oleh Dr. Susan E. Pickett, Ketua Pejabat SerantauAgensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Tokyo ini memfokuskan kepada analisis cabaran kritikal dan peluang strategik bagi negara-negara yang sedang merancang atau membangunkan program tenaga nuklear. Penglibatan ini membuktikan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam memastikan setiap langkah pembangunan teknologi nuklear negara selari dengan piawaian global serta mendapat kepercayaan masyarakat.

Turut hadir bersama ialah Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohammed Zin; Chairman of the Japan Atomic Energy Commission (JAEC), Dr. Uesaka Mitsuru; Commissioner, Japan Atomic Energy Commission (JAEC) Mr. Naoi Yosuke; serta delegasi daripada negara-negara anggota FNCA di Asia termasuk Jepun, Australia, Korea dan lain-lain.