• MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY (NUKLEAR MALAYSIA) OFFICIAL PORTAL

post-image

JASAMU DIKENANG: NUKLEAR MALAYSIA RAIKAN DR. ROSLI DARMAWAN

BANGI, 2 Julai 2025 - YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merupakan figura penting dalam landskap teknologi nuklear negara. Beliau bukan sahaja seorang pegawai penyelidik yang berdedikasi, malah juga seorang pemimpin berwawasan yang telah mencurahkan lebih 33 tahun berkhidmat cemerlang dalam bidang sains dan teknologi nuklear.

Bermula sebagai Pegawai Penyelidik pada tahun 1991, YBrs. Dr. Rosli telah meniti tangga kerjaya dengan penuh komitmen dan integriti sehingga diberi amanah untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Nuklear Malaysia mulai tahun 2023.

Hari ini bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Nuklear Malaysia Bil. 6/ 2025, telah diadakan Majlis Jasamu Dikenang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Dr. Rosli yang bakal bersara wajib setelah lebih tiga dekad berkhidmat sebagai penjawat awam di Nuklear Malaysia.

Kredibiliti dan kepimpinan yang ditonjolkan oleh YBrs. Dr. Rosli sepanjang tempoh perkhidmatannya telah meletakkan beliau sebagai peneraju dalam barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan Nuklear Malaysia dalam bidang sains dan teknologi nuklear di peringkat nasional dan antarabangsa.

Segala jasa dan komitmen yang telah dicurahkan amat dihargai oleh seluruh warga Nuklear Malaysia. Di bawah kepimpinannya, agensi ini telah berjaya mengorak langkah lebih maju dan berdiri standing dengan negara-negara lain dalam bidang berkaitan.

Bakti dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan telah memberikan impak yang besar kepada negara, khususnya dalam memperkasa perkembangan sains dan teknologi nuklear.

Adalah diharapkan agar YBrs. Dr. Rosli terus menyumbangkan kepakaran dan pengalaman beliau, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan rasmi.

Seluruh warga Nuklear Malaysia mengucapkan Selamat Hari Lahir dan Selamat Bersara kepada YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan.

 

post-image

“PEKERJA KESUMA BANGSA”- TEMA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN NUKLEAR MALAYSIA

BANGI, 30 Mei 2025- Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.5/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan dengan tema "Pekerja Kesuma Bangsa" bersempena dengan sambutan Hari Pekerja anjuran Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi.

YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapan amanatnya menyatakan sebagai agensi utama dalam bidang teknologi nuklear, warga Nuklear Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memastikan aplikasi teknologi ini terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara., sama ada dalam bidang perubatan, industri, pertanian mahupun alam sekitar.

Beliau turut menyeru agar sentiasa mengekalkan semangat kerja berpasukan, berinovasi dalam tugasan dan beriltizam untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti tinggi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil pasukan projek Floating Flood Disaster Command Centre (Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung). Projek ini telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dalam satu majlis perasmian yang berlangsung di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang pada April lalu.

Turut hadir YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Hasni binti Hasan, Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran (BTS), pengarah-pengarah bahagian serta warga Nuklear Malaysia.

 

post-image

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL. 4/2025 & SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI NUKLEAR MALAYSIA

BANGI, 14 April 2025– Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.4/2025 Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Kompleks Bangi hari ini.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, dalam ucapannya telah menyampaikan amanat kepada seluruh warga Nuklear Malaysia yang hadir. Beliau menekankan komitmen agensi dalam memperkukuhkan peranan sebagai peneraju pembangunan teknologi nuklear negara. Sejajar dengan aspirasi 2025, beberapa fokus utama telah digariskan:

  1. Memperkasakan penyelidikan dan inovasi dalam bidang tenaga nuklear dan aplikasi industry;
  2. Memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) dalam merealisasikan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R);
  3. Menganjurkan program latihan dan pembangunan kapasiti bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang nuklear; dan
  4. Mengukuhkan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam forum dan mesyuarat serantau.

Dr. Rosli dalam ucapannya turut menyeru kepada semua warga Nuklear Malaysia agar terus bersatu padu dan komited dalam menerajui bidang teknologi nuklear agar terus membawa Nuklear Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis turut dimeriahkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk jamuan hari raya, aktiviti persembahan bahagian, pertandingan menganyam ketupat serta aktiviti santai yang lain. Suasana penuh mesra ini turut memberikan peluang kepada warga Nuklear Malaysia untuk mengeratkan silaturrahim dalam suasana yang ceria dan harmoni.

Turut hadir YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Nor Pa'iza Mohamad Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan & Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Shukri Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan serta warga Agensi Nuklear Malaysia.