Web Analytics Made Easy - Statcounter
  • PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

KEMUDAHAN PENYINARAN TERVULKAN SUSU GETAH ASLI

Loji RAYMINTEX merupakan sebuah loji perintis yang menjalankan penyinaran dan pemvulkanan lateks getah asli menggunakan sinaran gama. Loji ini telah ditauliahkan pada Mac 1996. Ia berupaya menghasilkan lateks getah asli tervulkan menggunakan sinaran gama (RVNRL) sebanyak 6000 tan dalam setahun sekiranya diisikan dengan punca radioaktif kobalt-60 sehingga 1 MCi. RVNRL ini boleh dibekalkan kepada industri pembuatan produk celupan lateks getah dan industri berkaitan untuk memenuhi keperluan pelanggan, promosi, pengkomersilan dan pemindahan teknologi.

RVNRL yang dihasilkan oleh Loji RAYMINTEX mempunyai sifat-sifat fizikal dan mekanikal yang dapat memenuhi keperluan/spesifikasi kebanyakan produk celupan lateks getah asli. Lateks getah asli perlu divulkan sebelum digunakan oleh industri pembuat produk celupan lateks getah seperti sarung tangan, belon, sarung jari, puting bayi, pelapik gigi dan lain-lain.

Berikut adalah kelebihan/kebaikan RVNRL:

  • RVNRL mempunyai kestabilan yang tinggi dan tempoh penyimpanan yang lebih lama,
  • Modulus yang rendah dapat menghasilkan produk yang lebih lembut dan selesa,
  • Bebas dari nitrosamina dan rendah nitrosatables (bahan karsinogenik),
  • Bebas dari alahan yang disebabkan oleh bahan pemecut,
  • Kandungan abu yang lebih rendah dan tidak menghasilkan gas pembakaran asid apabila sisa produk RVNRL dilupuskan secara pembakaran,
  • Tiada masalah pewarnaan/pencemaran tembaga (copper staining), produk getah sesuai digunakan oleh industri elektronik,
  • Mesra alam, kilang-kilang pembuat produk getah tidak menghasilkan efluen yang mempunyai kandungan zink yang tinggi.
img01 img02

 

Selain menghasilkan RVNRL pada skala loji perintis, aktiviti penyelidikan turut dijalankan di Loji RAYMINTEX dengan tujuan meningkatkan mutu RVNRL supaya dapat diperluaskan penggunaannya di dalam pelbagai industri pembuatan produk celupan lateks getah asli dan industri berkaitan. Loji RAYMINTEX bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan industri produk getah untuk membangunkan produk daripada RVNRL. Loji RAYMINTEX telah berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2000 pada bulan November 2003 dan dinaik taraf ke ISO 9001:2015 yang terkini. Ini adalah untuk memastikan RVNRL dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh Loji RAYMINTEX dapat sentiasa memenuhi kehendak pelanggan dan pihak berminat berkaitan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.