MEMPERKASA PENULISAN DAN PENERBITAN SAINTIFIK, MEMPERLUAS IMPAK PENYELIDIKAN
IPOH, 18 Ogos 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026 di Hotel Travelodge Ipoh, Perak, sebagai usaha memperkukuh kemahiran profesional dan teknikal dalam menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti, berintegriti serta memenuhi keperluan penerbitan saintifik.
Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan semasa dalam landskap penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), analisis data dan penerbitan akses terbuka, di samping memperkukuh penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.

Seminar telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, dengan tema "Penerbitan Berimpak Tinggi Teras Perkembangan Ilmu".
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penerbitan saintifik merupakan petunjuk penting terhadap sejauh mana hasil penyelidikan dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu, menyelesaikan permasalahan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Menurut beliau, penerbitan berkualiti perlu menjadi medium bagi memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti di peringkat makmal atau institusi, sebaliknya dapat dikongsi, difahami dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak.
"Penerbitan berimpak tinggi adalah cerminan kepada hasil penyelidikan dan kesannya dalam menyelesaikan masalah, memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Seiring perkembangan pesat teknologi, program ini turut menekankan kepentingan pemahaman terhadap integriti akademik, ketepatan data, plagiarisme, etika penggunaan AI dan hak cipta. Sesi bengkel pula memberi peluang kepada peserta memperkasa kemahiran penulisan dan penerbitan serta meningkatkan keupayaan menghasilkan karya saintifik yang berkualiti, berintegriti dan relevan dengan keperluan semasa.
Penglibatan pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, penerbit dan pemain industri turut menekankan kepentingan gabungan kepakaran dalam bidang sains, teknologi, bahasa dan penerbitan bagi memastikan hasil ilmu dan penyelidikan dapat disampaikan dengan tepat, berwibawa serta mudah difahami oleh masyarakat.
Kerjasama Nuklear Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut dizahirkan melalui segmen “Nuklear Untuk Rakyat” (N.U.R) dalam Majalah Dewan Kosmik, selain penerbitan buku dan ensiklopedia serta usaha memperkaya pengistilahan sains dalam Bahasa Melayu. Usaha ini penting bagi memastikan bahan ilmiah dalam Bahasa Melayu sentiasa selari dengan perkembangan istilah sains dan kejuruteraan semasa.
Bagi Nuklear Malaysia, usaha memperkukuh amalan penulisan dan penerbitan saintifik merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aspirasi N.U.R di bawah Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030). Nuklear Malaysia menghasilkan lebih 500 penerbitan ilmiah setiap tahun yang merangkumi jurnal antarabangsa, prosiding persidangan, buku ilmiah, laporan teknikal serta artikel popular dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan DBP, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), PTS Media Group, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan MajalahSains.com. Penglibatan pelbagai institusi dan organisasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penulisan saintifik dan teknikal yang berkualiti, relevan serta berimpak kepada masyarakat.
Melalui penulisan dan penerbitan saintifik yang berterusan, hasil penyelidikan dapat dikembangkan daripada ilmu kepada pengetahuan, diterjemahkan kepada inovasi dan seterusnya memberi nilai tambah kepada masyarakat serta pembangunan negara.