PERHIMPUNAN BULANAN NUKLEAR MALAYSIA PERKUKUH KESELAMATAN NUKLEAR DAN SEMAMGAT PATRIOTISME
BANGI, 27 Ogos 2026 – Pengukuhan budaya keselamatan dan sekuriti nuklear terus diberi keutamaan oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sebagai asas dalam memastikan pengurusan serta pengoperasian teknologi nuklear dilaksanakan secara selamat, teratur dan bertanggungjawab. Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Perhimpunan Bulanan Nuklear Malaysia Bil. 8/2026 yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Bangi, hari ini.

Perhimpunan yang diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 itu mengetengahkan tema "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati", selain mengangkat Kempen "Keselamatan dan Sekuriti Nuklear – Tanggungjawab Bersama".
Dalam amanatnya, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia menegaskan bahawa keselamatan dan sekuriti perlu dijadikan sebagai nilai serta budaya kerja dan bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan.

Menurut beliau, setiap warga kerja perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, mematuhi prosedur yang ditetapkan, menilai risiko serta sentiasa berusaha menambah baik aspek keselamatan dalam pelaksanaan tugas.
“Budaya keselamatan yang kukuh hanya dapat diwujudkan melalui komitmen dan tanggungjawab bersama seluruh warga kerja. Setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan dan sekuriti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan warga kerja untuk mengamalkan sikap proaktif dalam mengenal pasti risiko serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan kelancaran operasi Agensi.
Perhimpunan turut diserikan dengan pengisian sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 yang menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, kecintaan terhadap negara serta penghayatan nilai perpaduan dalam kalangan warga kerja. Pengisian tersebut turut memberi penekanan terhadap pembentukan jati diri dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kepentingan negara.

Penganjuran perhimpunan bulanan ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam memperkukuh budaya keselamatan dan sekuriti nuklear di samping membentuk warga kerja yang berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah kepada negara.