NUKLEAR MALAYSIA ANJUR SEMINAR ON MATERIAL AND STRUCTURAL INTEGRITY 2026 (SMSI 2026) PERKUKUH INTEGRITI BAHAN DAN INFRASTRUKTUR NEGARA
SEREMBAN, 22 Julai 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menganjurkan 10th National Seminar on Material and Structural Integrity (SMSI) 2026 pada 22 hingga 23 Julai di Hotel Royale Chulan, Seremban sebagai platform memperkukuh ekosistem integriti bahan dan struktur kejuruteraan ke arah pembangunan negara yang selamat, mampan dan berdaya tahan.
Bertemakan From Advanced Materials to Resilient Infrastructure: Bridging Science and Safety, seminar ini menghimpunkan pengamal industri, jurutera, penyelidik, ahli akademik, badan profesional serta agensi kerajaan bagi berkongsi pengetahuan, memperluas pemindahan teknologi dan mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang sains bahan, integriti struktur serta teknologi pemeriksaan.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur masa kini perlu memberi penekanan kepada aspek daya tahan, keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian, selain kekuatan serta reka bentuk fizikal. Menurut beliau, integriti bahan dan struktur bukan sekadar memenuhi keperluan teknikal, malah menjadi asas penting dalam menjamin keselamatan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Penganjuran SMSI 2026 selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan pengukuhan penyelidikan, inovasi, pembangunan modal insan serta penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab. Seminar ini turut memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia dalam menyokong pembangunan infrastruktur negara yang lebih berdaya tahan.

Turut hadir ialah YBrs. Ts. Dr. Mohd. Rodzi bin Ali, Pengarah Kanan ( Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi), Nuklear Malaysia dan wakil-wakil jabatan dan agensi.