MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU MELALUI BENGKEL PENGURUSAN SEKURITI NUKLEAR BERSEPADU
PUTRAJAYA, 27 Julai 2026– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), dengan kerjasama Department of Energy/National Nuclear Security Administration (DOE/NNSA) Amerika Syarikat, menganjurkan Bengkel Pengurusan Sekuriti Nuklear Bersepadu (Integrated Security Management) dari 27 hingga 30 Julai 2026 di Hotel Marriott, Putrajaya.

Bengkel dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin dan menghimpunkan 31 peserta dari Malaysia, Republik Rakyat China, Mongolia, Singapura, Indonesia, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan, Sri Lanka, Filipina dan Vietnam. Program ini menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama serantau, membangunkan kapasiti profesional serta berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam pengurusan sekuriti nuklear.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh sekuriti nuklear di peringkat antarabangsa melalui pembangunan kompetensi, perkongsian kepakaran teknikal dan pemindahan pengetahuan selaras dengan piawaian antarabangsa. Ia juga menyokong pelaksanaan dokumen International Atomic Energy Agency (IAEA), INFCIRC/908, bagi memperkukuh usaha mitigasi ancaman dalaman terhadap sekuriti nuklear.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Muhammad Rawi menegaskan bahawa sekuriti nuklear memerlukan kerjasama erat di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau menekankan bahawa pendekatan Integrated Security Management membolehkan elemen sekuriti diterapkan secara menyeluruh dalam perancangan, operasi dan proses membuat keputusan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan organisasi menghadapi sebarang insiden berkaitan sekuriti nuklear.
Sepanjang bengkel, peserta mengikuti latihan praktikal berasaskan simulasi yang memberi penekanan kepada pengenalpastian ancaman, penilaian risiko dan pelaksanaan tindakan balas secara pantas serta berkesan sekiranya berlaku insiden melibatkan bahan atau kemudahan nuklear.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Nuklear Malaysia terus komited untuk memperkukuh ekosistem sekuriti nuklear negara melalui pembangunan modal insan, pengukuhan kompetensi teknikal dan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa. Usaha ini selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman di samping menyokong aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dalam memperkasa kapasiti sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.