AGENSI NUKLEAR MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM SANTUNI MADANI
BANGI, 20 Julai 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh hubungan strategik dengan komuniti setempat menerusi kunjungan hormat Penghulu Mukim Dengkil, Tuan Muhamad Azaazrin Alias, dan Ketua Kampung Limau Manis, Encik Mohd. Zamri Matimin, kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin di Blok 11, Kompleks Bangi, hari ini.
Pertemuan tersebut menjadi medan untuk membincangkan pelaksanaan Program Santuni MADANI Kampung Limau Manis, Dengkil, di samping meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat. Perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan antara Nuklear Malaysia dengan kepimpinan masyarakat sebagai langkah menyokong pembangunan komuniti yang lebih inklusif, mampan dan berimpak.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Negara Nuklear 2030 (DTNN 2030) yang memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama strategik bersama pemegang taruh, peningkatan penglibatan komuniti serta usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat. Pada masa yang sama, ia turut menyokong agenda Malaysia MADANI melalui kerjasama yang lebih erat antara agensi kerajaan dan komuniti.
Nuklear Malaysia berharap jalinan kerjasama ini akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.) dengan mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat. Melalui pendekatan ini, manfaat penyelidikan, inovasi dan kepakaran nuklear dapat diperluaskan kepada rakyat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.