post-image

Nuklear Malaysia Jayakan Program STI 100³ di SMK Hang Kasturi

JASIN, MELAKA, 10 April 2026 — Program STI 100³ anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah melabuhkan tirainya di SMK Hang Kasturi dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang memberi impak kepada pelajar dan guru. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkukuh literasi STI selaras dengan Dasar STI Negara (DSTIN) 2021–2030 dan aspirasi Malaysia MADANI.

Pelaksanaan program di sekolah ini telah diselaras oleh Dr. Haizum Ruzanna Sahar, salah seorang daripada 100 Saintis terpilih di bawah inisiatif STI 100³. Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa aktiviti berfasa merangkumi sesi Pengenalan dan Penerokaan Teknologi Realiti Maya (VR), Eksplorasi Teknologi Nuklear, serta Pertandingan Pengucapan Awam bertemakan “Nuklear untuk Rakyat” yang bertujuan membina pemikiran kritis dan keyakinan pelajar dalam menyampaikan idea.

Majlis kemuncak pada 10 April 2026 menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penutupan rasmi program dengan kehadiran lebih 700 peserta. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi bin Ali, Pengarah Kanan (Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi), Nuklear Malaysia, bagi mengiktiraf pelajar yang berjaya menyampaikan idea berkaitan sains nuklear secara kreatif dan berkesan. Program ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan literasi STI serta kefahaman terhadap aplikasi teknologi nuklear dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan.