NUKLEAR MALAYSIA TERIMA PENGIKTIRAFAN MOSTI ATAS PENGLIBATAN AKTIF DALAM PROGRAM RISE
PUTRAJAYA, 27 November 2025 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) semasa Sesi Libat Urus Researcher–Industry Scientific Exchange (RISE) bersama pihak industri, organisasi dan penyedia kepakaran yang berlangsung di Putrajaya. Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, YBrs. Encik Abdullah bin Daud.
Program RISE menghimpunkan kepakaran penyelidik daripada institusi penyelidikan kerajaan (GRI), universiti dan agensi di bawah MOSTI bagi memenuhi keperluan industri melalui aktiviti penyelidikan, konsultasi, pemindahan teknologi dan latihan. Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih 700 pakar dan penyelidik telah terlibat melalui lebih 200 kerjasama dengan syarikat serta organisasi di seluruh negara.

Bagi tempoh 2019 hingga 2024, Nuklear Malaysia sebagai agensi di bawah MOSTI mencatatkan penyertaan tertinggi, melibatkan 70 warga kerja merangkumi 49 penyelidik dan 21 pelaksana teknikal dalam 26 projek berkaitan teknologi nuklear. MOSTI turut mengiktiraf penglibatan ini sebagai salah satu Success Story RISE, khususnya melalui projek Pembangunan Varieti Padi Menggunakan Teknologi Biak Baka Mutasi serta integrasi Teknologi Benih Terawat bagi benih padi mutan dengan kerjasama Syarikat Haji Md. Nor bin Haji Abd. Rahman (M) Sdn. Bhd. Projek tersebut membuktikan potensi teknologi nuklear dalam meningkatkan ketahanan varieti padi dan menyokong peningkatan hasil pertanian negara.
Pengiktirafan ini diharap dapat memperkukuh usaha Nuklear Malaysia untuk terus memperluaskan kerjasama strategik dengan industri serta menggalakkan penglibatan lebih ramai pegawai dalam program RISE pada masa hadapan. Nuklear Malaysia kekal komited dalam memasyarakatkan kepakaran teknologi nuklear demi manfaat industri dan pembangunan teknologi negara.