post-image

MALAYSIA JADI TUAN RUMAH MESYUARAT KE-8 ASEAN NPSR 2025

KUALA LUMPUR, 8 September 2025 - Malaysia, melalui Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN Nuclear Power Safety Research (ASEAN NPSR) 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 10 September 2025 di Hotel Corus, Kuala Lumpur.

YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN NPSR2025 di Hotel Corus, Kuala Lumpur.

Buat pertama kalinya sejak mesyuarat ini berlangsung pada 2017, program ini diadakan di Malaysia, dengan menghimpunkan seramai 27 peserta dari Indonesia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Malaysia, serta bakal anggota ASEAN, Timor Leste.

Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi penyelidik, ahli akademik, jurutera, dan pembuat dasar ASEAN untuk membincangkan kemajuan program tenaga nuklear di rantau ini, berkongsi amalan terbaik, serta memperkukuh rangkaian keselamatan nuklear.

Antara tumpuan utama mesyuarat kali ini termasuk:

  • Status kemajuan Program Tenaga Nuklear di negara ASEAN
  • Analisis kemalangan nuklear & model sebaran atmosfera
  • Teknologi Small Modular Reactor (SMR)
  • Penilaian keselamatan kebarangkalian (PSA) & analisis kebolehpercayaan manusia (HRA)

Penganjuran mesyuarat ini turut memperkukuh usaha kerjasama serantau dalam penyelidikan (P&P), pembangunan sumber manusia, dan pengukuhan rangka kerja keselamatan nuklear selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.

Sesi bergambar bersama para peserta Program Mesyuarat Tahunan Ke-8 ASEAN NPSR 2025

Sebagai peneraju dalam penyelidikan dan teknologi nuklear di rantau ini, Nuklear Malaysia memainkan peranan penting dalam penganjuran mesyuarat tahunan ini, yang dijangka menghasilkan pelan tindakan kerjasama penyelidikan keselamatan nuklear ASEAN sebagai panduan untuk inisiatif bersama pada masa hadapan.