post-image

SINERGI NUKLEAR MALAYSIA DAN LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA DORONG PEMBANGUNAN JURUTERA KOMPETEN

BANGI, 27 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Pembangunan Profesional Kejuruteraan bersama Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bertempat di Kompleks Nuklear Malaysia, Bangi.

Mesyuarat ini merupakan kesinambungan daripada lawatan pihak BEM ke Nuklear Malaysia pada 18 Jun 2025, yang telah membuka ruang perbincangan berkenaan pelbagai potensi kerjasama strategik, termasuk:

  • Pembangunan kapasiti dan kompetensi jurutera dalam teknologi nuklear
  • Pemindahan teknologi serta amalan kejuruteraan selamat
  • Pensijilan profesional dalam bidang tenaga dan teknologi nuklear
  • Pengukuhan jaringan strategik antara kedua-dua organisasi

 

Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama yang lebih jelas dan berimpak tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga pakar tempatan yang kompeten, berintegriti tinggi, dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

Kerjasama erat antara Nuklear Malaysia dan BEM ini adalah selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan aspek pembangunan modal insan, pemindahan teknologi, serta pengukuhan jaringan strategik dalam memastikan aplikasi teknologi nuklear dilaksanakan secara aman, selamat, beretika dan berdaya saing.

Dengan inisiatif ini, Nuklear Malaysia yakin bahawa sinergi bersama BEM akan terus memperkukuh ekosistem teknologi nuklear negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan negara.

Turut hadir, YBhg. Laksamana Pertama Dato' Ir. Dr. Ahmad Murad bin Omar, Pengerusi BEM Outreach, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Pengurusan, YBrs. Dr. Nor Pa’iza bin Hasan, Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Ir. Mohd Noramil bin Mohd Daril, Pengarah Eksekutif BEM, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai Nuklear Malaysia.