
PERDANA MENTERI TERUJA LIHAT INOVASI NUKLEAR MALAYSIA DI PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 KELANTAN
KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa mengunjungi reruai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sempena Program MADANI Rakyat 2025 (PMR 2025) yang berlangsung di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim (dari tengah) teruja mendengar penerangan berkaitan teknologi nuklear yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) (dari kanan) semasa lawatan beliau di reruai Nuklear Malaysia.
Kunjungan beliau disambut oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi. YAB Perdana Menteri turut menerima taklimat ringkas mengenai peranan Nuklear Malaysia serta teknologi yang dipamerkan pada program kali ini.
Program MADANI Rakyat yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi mempamerkan inovasi dan perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Keilmuan, Kesejahteraan dan Keterangkuman dalam pembangunan negara.
Bagi edisi PMR 2025 Kelantan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai penganjur bersama.
PMR 2025 Kelantan menampilkan pelbagai tarikan istimewa dengan menyediakan lebih 150 perkhidmatan touchpoint yang melibatkan 21 reruai kementerian, agensi dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Nuklear Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian singgah di reruai serta memberi ruang untuk berkongsi perkembangan penyelidikan dan inovasi teknologi nuklear negara.