
AGENSI NUKLEAR MALAYSIA SERTAI PROGRAM MADANI RAKYAT KELANTAN 2025
KOTA BHARU, 9 Ogos 2025– Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menyertai reruai pameran sempena Program MADANI Rakyat 2025 peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung bermula 7 hingga 9 Ogos 2025 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Penyertaan ini merupakan salah satu usaha untuk memupuk kesedaran awam mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian serta peranannya dalam pembangunan negara.
Antara tarikan utama di reruai Nuklear Malaysia ialah AMORA: Autonomous Mobile Robot for Accurate Radiation Detection and Mapping dan Kebuk Awan (Cloud Chamber) yang berjaya menarik perhatian pengunjung dengan demonstrasi teknologi berasaskan penyelidikan nuklear.
Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin bersama Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan turut hadir meninjau reruai tersebut. Mereka juga berpeluang beramah mesra dengan petugas serta pengunjung yang hadir.
Diharapkan penyertaan ini dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear yang selamat, aman dan bertanggungjawab di samping memperkukuh peranan Malaysia dalam memperkasa inovasi berteraskan sains dan teknologi di peringkat nasional.