
NUKLEAR MALAYSIA SUMBANG TEKNOLOGI DALAM INDUSTRI PERTANIAN
MELOR, 8 Ogos 2025: YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berkesempatan untuk mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Penanaman Varieti Benih Padi Baharu di Melor, Kelantan.
Projek penanaman varieti benih padi baharu yang menggunakan teknologi nuklear ini dibangunkan di bawah Projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF), iaitu salah satu inisiatif pembiayaan di bawah Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Projek ini dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih di Kelantan, termasuk Melor dan Pasir Mas, melibatkan kawasan seluas lima hektar.
Projek ini dibangunkan hasil kerjasama dengan pelbagai agensi seperti UPM, UKM, UiTM serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam industri padi. Menerusi projek SRF bertajuk 'Development and Commercialization of Climate-Resilient Rice Varieties to Increase National Yield Production', sebanyak 10 titisan padi termaju telah berjaya dihasilkan.
Kajian ini memberi penumpuan kepada penghasilan varieti padi yang tahan terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu, seperti banjir kilat dan kemarau panjang. Dapatan awal menunjukkan bahawa beberapa titisan padi termaju berpotensi untuk tumbuh dalam keadaan kekurangan air, matang lebih awal, menghasilkan hasil yang tinggi serta tahan terhadap penyakit utama tanaman padi.
Projek ini sejajar dengan usaha untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber makanan negara, disamping memperkasa petani dengan ilmu serta teknologi pertanian moden. Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan dan kecukupan makanan negara, serta mentransformasikan sektor pertanian menerusi kaedah yang lebih efisien, iaitu biak baka mutasi.
Turut hadir, YBrs. Dr. Nor Pa'iza bin Mohamad Hasan, Pengarah Kanan, Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi serta pegawai-pegawai penyelidik daripada Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) Nuklear Malaysia.